Isnin, 1 Disember 2025

Kabinet Baharu Sabah Telah Ditubuhkan


KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yakin Jemaah Menteri yang baharu dilantik berupaya memacu kemajuan negeri menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Beliau merakamkan tahniah kepada semua menteri yang mengangkat sumpah jawatan hari ini, di samping mengingatkan bahawa amanah itu membawa tanggungjawab besar dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Tanggungjawab ini besar maknanya dan saya berharap agar anda memikul amanah ini dengan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Berkhidmat kepada rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan laksanakan tugas dengan penuh integriti.


“Saya yakin dan percaya ahli Jemaah Menteri mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk memimpin di kementerian masing-masing ke arah membawa kemajuan dan pembangunan lebih cemerlang dan gemilang terhadap negeri dan pada masa sama, memastikan kesinambungan program pembangunan sebagaimana yang telah kita rancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teks kenyataan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini.

Sementara itu, Joachim yang juga Pemangku Presiden PBS turut mengesahkan Kerajaan Sabah yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah sebuah Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mengesahkan pembabitan secara rasmi Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Sabah yang baharu manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) belum mengesahkan penyertaan mereka.

Sebanyak 10 anggota Kabinet Sabah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Semua yang mengangkat sumpah terdiri daripada tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta masing-masing satu ADUN Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada PRN ke-17, GRS yang dipimpin oleh Hajiji berjaya memenangi 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Parti Warisan (Warisan) pula mendapat 25 kerusi diikuti Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR (dua) manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang satu kerusi.

Senarai Kabinet Sabah:

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

Timbalan Ketua Menteri I & Menteri Kerja Raya dan Utiliti - Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS)

Timbalan Ketua Menteri II & Menteri Kewangan - Datuk Seri Masidi Manjun (GRS)

Timbalan Ketua Menteri III & Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan - Datuk Ewon Benedick (UPKO)

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan - Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (GRS)

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan - Datuk Jamawi Jaafar (PH)

Menteri Pembangunan Luar Bandar - Datuk Rubin Balang (GRS)

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi - Datuk James Ratib (GRS)

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar - Datuk Jafry Ariffin (BN)

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat - Datuk Julita Mojungki (GRS)

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif - Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS)

-- BERNAMA

(Diambil daripada artikel BERNAMA bertajuk "Hajiji Yakin Kabinet Baharu Pacu Kemajuan Sabah" bertarikh 1 Disember 2025)