Isnin, 14 November 2011

Kesaksian Billy Graham: "Dia Juruselamatku! Dia Jaguhku"

Billy Graham, penginjil terkemuka dari Amerika
Kesaksian Peribadi Billy Graham

Tahukah anda bagaimana Billy Graham telah diselamatkan? Bacalah kesaksiannya sendiri peristiwa yang berlaku pada November 1934...

Aku tidak akan melupakan hari pertamaku di sekolah menengah. Babe Ruth “raja pemukul besbol” telah datang ke kampung halamanku di Charlotte, North Carolina untuk mengambil bahagian dalam permainan pertunjukan. Kami semua berada di baris depan menjerit dan memekik dengan sekuat hati.

Ayahku, yang telah membawa kami ke permainan itu, mengatur supaya aku dapat berjabat tangan dengan Babe yang hebat itu. Aku tidak dapat melupakan perasaan yang tersangat seronok semasa berjabat tangan dengan pemain yang menjadi idola kami semua anak-anak muda. Aku tidak mencuci tanganku selama lebih kurang tiga hari. Hari berikutnya di sekolah, aku dicemburui oleh semua kawan-kawanku.
Semasa tahun-tahun terakhirku di sekolah menengah, cita-cita paling kuatku ialah untuk menjadi pemain besbol professional. Aku mengimpikan bermain di Wrigley Field di Chicago dan Yankee Stadium di New York. Aku selalu membaca habis halaman sukan akhbar.

Apabila aku berumur enambelas tahun, aku diundang ke sebuah gereja. Aku diberitahu bahawa seorang pengkhutbah yang bersifat juang (a fighting preacher) telah dijemput untuk berkhutbah. Aku tertarik, apa saja yang berkenaan pergaduhan atau perlawanan itulah saja yang aku mahu. Aku tinggalkan pelajaranku dan pergi ke gereja. Aku berasa takjub, ianya kempen penginjilan yang hebat, dan 5,000 orang telah terkumpul. 
Billy Graham masa muda
Aku duduk di bahagian belakang bangunan, dengan perasaan yang ingin tahu aku memerhatikan kejadian-kejadian yang aneh itu. Aku tidak pasti apakah yang akan belaku seterusnya. Aku selalu menganggap agama sebagai sesuatu untuk orang yang lemah dan sebagai seorang yang ingin menjadi ahli sukan, aku tidak mempunyai masa untuk hal-hal tersebut. Ianya sesuai untuk orang-orang tua dan untuk orang perempuan, tetapi tidak untuk “lelaki sejati” yang bertenaga. Aku pernah pergi ke gereja sekali-sekala, tetapi itu sajalah.

Seorang lelaki yang sangat tinggi tegap berdiri dan mulai berkhutbah. Aku tidak pernah mendengar sesiapapun berkhutbah seperti itu. Pada pertengahan khutbahnya, dia menudingkan jarinya ke arahku dan berkata, “Anak muda, engkau adalah orang yang berdosa.”
Aku sangka dia sedang berbicara kepadaku. Jadi aku cepat-cepat tunduk kepala di belakang orang yang ada di depanku untuk menyembunyikan mukaku! Kurang asam betul dia memanggilku orang berdosa!

“Aku ini cukup baik kalau dibanding dengan sesiapapun,” aku berkata dengan diriku, “Aku punya hidup yang baik, bersih dan bermoral. Aku juga anggota gereja walaupun aku jarang-jarang pergi.”
Tetapi kemudian orang itu mula mengucapkan Firman Tuhan “Kerana semua orang telah berbuat dosa dan telah kehilangan kemuliaan Allah” (Roma 3:23). "Tidak ada yang benar, seorangpun tidak,” dan lain-lain lagi. Untuk pertama kalinya dalam hidupku aku menyedari bahawa aku orang berdosa, dan bahawa jiwaku menuju ke neraka dan aku sesungguhnya memerlukan seorang Juruselamat.
Tetapi sewaktu orang itu memberi undangan mimbar, aku bergegas keluar dari situ dan menuju ke rumahku.

Aku tidak akan lupa pergumulan yang berlaku selepas itu. Sepanjang malam aku bergumul dan melawan. Pada hari berikutnya, aku tidak sabar lagi menunggu untuk senja tiba, sebab aku ingin lagi masuk kebaktian itu. Pada kali ini aku duduk dekat bahagian depan.
"Kristus adalah Juruselamat dan Jaguhku!"
Apabila pengkhutbah itu berdiri kali ini, dia kelihatan tersenyum kepadaku. Dia mengatakan dengan nada yang paling lembut bahawa “Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita, oleh kerana Kristus telah mati untuk kita, ketika kita masih berdosa” (Roma 5:8)

Aku berfikir, “Ini untukku! Aku orang berdosa. Allah mengasihiku.”

Apabila undangan diberikan, aku maju ke depan dengan beberapa orang lain. Aku memberikan tanganku kepada pengkhutbah itu (Mordecai Ham) dan hatiku kepada Juruselamat. Dengan serta-merta sukacita, damai dan kepastian menguasai jiwaku. Dosa-dosaku yang banyak, aku tahu telah lenyap. Untuk kali pertamanya aku telah bertemu dengan Peribadi yang bakal menjadi Jaguh dalam hidupku.

Sebelum ini aku mencari kegembiraan. Aku menemui semuanya itu di dalam Kristus. “Di hadapan-Mu ada sukacita berlimpah-limpah, di tangan kanan-Mu ada nikmat senantiasa” (Mazmur 16:11)
Kristus adalah Jaguh dan Idola dalam hatiku. Dia memberi cabaran, kesukaan dan kepuasan. “Kerana itu Ia sanggup juga menyelamatkan dengan sempurna semua orang yang oleh Dia datang kepada Allah. Sebab Ia hidup senantiasa untuk menjadi Pengantara mereka” (Ibrani 7:25).

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel "My Moment of Decision" bertarikh 1 November 2011 dari laman billygraham.org)


Baca juga "Kisah Billy Graham: Satu Mesej Untuk Dunia"