Isnin, 14 November 2011

Kisah Billy Graham - Satu Mesej Untuk Dunia

Billy Graham di Rapat Umum Indianapolis, Amerika Syarikat 1980
Billy Graham, penginjil terkemuka dari Amerika Syarikat telah mengkhabarkan Injil kepada lebih ramai orang daripada sesiapapun dalam sejarah. Pada minggu lepas (7 November 2011), Billy telah merayakan ulangtahun harijadinya yang ke-93. Berikut ini artikel mengenai mesej yang telah dibawa oleh Billy kepada dunia...
Hanya Tuhan yang tahu apakah peranan yang bakal dimainkan oleh anak peladang tenusu ini dalam dunia penginjilan. Daripada permulaan yang sederhana di sebuah ladang sehingga kepada keputusannya menerima Kristus dalam satu rapat umum Kebangunan Rohani di pinggir Charlotte, North Carolina, sehinggalah jelajahnya ke sekeliling dunia berbicara di stadium-stadium yang penuh sesak, Billy Graham telah mengejar matlamat yang satu – untuk menyampaikan kasih Yesus Kristus kepada semua  yang sedia mendengar.
Billy Graham di Rapat Umum Greenville, S.C. 1966
Dalam melakukan itu dia telah bertemu dengan  Presiden-Presiden, raja-raja, permaisuri-permaisuri, para selebriti, rakyat biasa, lelaki, wanita dan anak-anak. Tidak kira siapa pendengarnya, mesejnya tetap sama. “Ke mana pun aku pergi, aku mendapati bahawa orang… para pemimpin dan para individu… selalu menanya satu soalan yang asas,” kata Billy Graham. “Apakah ada harapan untuk masa depan?” Jawabku sentiasa sama, “Ya ada, melalui Yesus Kristus.”
Seorang pendeta tua telah bertemu Billy Graham selepas Rapat Umum di Harringay Arena pada tahun 1954 di London. “Aku telah hadir pada setiap malam dan telah mendengar banyak khutbah yang berbeza”, kata pendeta itu kepadanya, “tetapi aku hanya mendengar satu mesej.” Itu adalah satu pujian, kerana dia, seperti Billy Graham tahu bahawa hanya ada satu mesej yang boleh membawa harapan yang sebenarnya kepada dunia yang sesat.
Mesej Billy Graham tidak pernah berubah, dan tidak akan pernah berubah. Mesejnya ringkas sahaja tetapi ianya datang terus daripada Firman Tuhan. “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal.” (Yohanes 3:16).

Dalam pelayanan melebihi 55 tahun, Billy Graham telah mengkhabarkan
Injil kepada lebih 215 juta orang di lebih 185 negara di sekeliling dunia

Dalam pelayanan melebihi 55 tahun, Billy Graham telah mengkhabarkan Injil  kepada lebih 215 juta orang di lebih 185 negara di sekeliling dunia.  The Billy Graham Evangelism Association, yang telah diasaskannya pada tahun 1950, terus menjangkau berjuta orang lagi setiap tahun melalui radio, siaran televisyen, filem, bahan bacaan, program latihan, acara-acara dan melalui Internet.
“Sehingga abad ke-20, had jangkauan seorang penginjil  ditentukan oleh had jangkauan suaranya dan penyebaran bahan penulisannya. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ianya menjadi mungkin sekali untuk mengkhabarkan Injil  kepada seluruh dunia. Jika Yesus ada di sini pada hari ini, saya pasti Dia akan menggunakan setiap cara mungkin untuk menyampaikan mesejnya,” kata Billy Graham.
Billy Graham membawa mesejnya
Samada memberi dorongan kepada sekumpulan kecil remaja di rapat Youth for Christ, atau berbicara menentang apartheid (sistem diskriminasi perkauman) di sebuah stadium di Afrika Selatan, atau berdoa untuk negara yang mengalami kelukaan akibat peristiwa 9/11, Billy Graham telah menjalani hidup sebagai seorang yang memiliki misi untuk mengikut rapat panggilan Tuhan. Misi itu berubah cara apabila teknologi telah membuka banyak pintu kepada seluruh dunia, tetapi mesej pengharapan dalam Kristus tidak pernah berubah. Mesej itu terus-menerus mengubah hati manusia di seluruh dunia.
The Billy Graham Library adalah sebahagian daripada misi yang  tidak lapuk dek zaman ini. Setiap orang yang melalui pintu-pintu Library ini akan menemukan pada kaki sebuah salib besar yang diperbuat daripada kaca, suatu kisah seorang lelaki yang telah menetapkan kerjaya hidupnya  untuk memberitahu kisah paling berkuasa dalam sejarah – bahawa Allah mengasihi kita semua dan mengundang kita untuk mengalami kasih itu melalui Anak-Nya, Yesus Kristus.

 Mesej Ini Terus-Menerus Mengubah Hati Manusia Di Seluruh Dunia...



(Dipetik dan diterjemah daripada artikel “Billy Graham: The Amazing Story of God’s Ambassador” dari laman The Billy Graham Library)


Baca juga artikel berkaitan Billy Graham dalam "Kisah Edward Kimball - Guru Sekolah Minggu"