D. L. Moody |
Edward Kimball mengambil berat tentang salah seorang daripada pelajar-pelajar Sekolah Minggunya yang muda yang bekerja di sebuah kedai kasut di pekan. Pada suatu hari Kimball mengunjunginya di kedai tersebut, menjumpai pelajar itu di belakang kedai sedang menyusun rak-rak, lalu memimpinnya kepada Kristus di situ dan sewaktu itu juga. Dwight L. Moody akhirnya meninggalkan kedai itu untuk menjadi salah seorang pengkhutbah dan penginjil terulung di sepanjang zaman.
Dwight L. Moody, melalui siri ceramah antarabangsanya telah berkunjung ke kepulauan British, berkhutbah di sebuah gereja kecil yang digembalakan oleh seorang pemuda dengan nama yang mengagumkan Frederic Brotherton Meyer. Dalam khutbahnya, Moody menyampaikan kisah yang sangat menyayat hati tentang seorang guru Sekolah Minggu yang telah mengunjungi setiap pelajar kelasnya dan membawa mereka kepada Kristus.
Khutbah itu mengubah pelayanan Meyer, menjadi ilham kepadanya untuk menjadi penginjil seperti Moody. Selang masa Meyer juga berkunjung ke Amerika. Semasa dia berucap di Northfield, Massachusetts, seorang pendeta muda mendengar kata-kata Meyer, "Sekiranya anda tidak sanggup menyerahkan segalanya untuk Kristus, adakah anda sanggup untuk dijadikan sanggup?" Kenyataan itu yang membuat J. Wilbur Chapman untuk menyahut panggilan Tuhan dalam hidupnya.
Chapman kemudiannya menjadi salah satu penginjil paling berkesan di zamannya. Seorang sukarelawan dengan nama Billy Sunday telah menolong Chapman mengatur rapat umum penginjilannya dan telah belajar berkhutbah dengan memerhatikan Chapman. Akhirnya Billy Sunday pun mengambil alih dari pelayanan Chapman dan menjadi salah satu penginjil paling dinamik abad ini. Pelayanan khutbah oleh Billy Sunday telah membawa beribu-ribu orang kepada Kristus.
Selepas digerakkan oleh rapat umum penginjilan oleh Billy Sunday pada tahun 1924 di Charlotte, North Carolina, sekelompok orang Kristian mendedikasikan diri mereka untuk menjangkau kota mereka untuk Kristus. Kumpulan itu menjemput penginjil Mordecai Ham untuk datang mengadakan rapat umum penginjilan pada tahun 1932. Seorang remaja yang tinggi lampai duduk di tengah khalayak ramai, terpegun dengan khutbah yang disampaikan oleh pengkhutbah berambut putih itu. Pada setiap malam, pengkhutbah itu seolah-olah berseru dan menudingkan jarinya ke arah anak muda itu. Malam demi malam, remaja itupun datang dan akhirnya maju ke hadapan untuk menyerahkan hidupnya kepada Kristus.
Billy Graham |
Bolehkah hal yang serupa berlaku hari ini? Tentu saja! Tuhan mahu memakai anda untuk mengubah dunia. Bawalah perubahan yang berkekalan dengan menyampaikan Injil kepada mereka yang di sekeliling anda dan juga dengan menyokong mereka yang melakukan pekerjaan Tuhan di seluruh dunia.
Semuanya bermula dengan kesetiaan seorang Guru Sekolah Minggu...
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel "Edward Kimball - The Legacy of a Sunday School Teacher")
Baca juga "Kisah Billy Graham - Satu Mesej Untuk Dunia"
Baca juga "Kisah Billy Graham - Satu Mesej Untuk Dunia"