Rabu, 22 Februari 2012

Jeremy Lin - Bintang Baru NBA Ingin Memuliakan Tuhan Lagi

Jeremy Lin, bintang sensasi New York Knicks dalam Liga NBA

Dalam masa singkat seminggu dalam bulan Februari, Jeremy Lin, yang dahulunya pemain yang tidak dikenali, telah muncul sebagai bintang baru Liga Professional Bola Keranjang NBA. 

Pada 4 Februari 2012, Lin, yang sebelumnya jarang diturunkan, dipanggil turun gelanggang dari bangku simpanan oleh jurulatihnya, Mike D’Antoni semasa pasukannya beraksi teruk. Lin turun gelanggang, menjaringkan 25 mata dan membantu pasukannya, New York Knicks mengalahkan New Jersey Nets 99-92.

Lin dipilih untuk memulakan permainan pada perlawanan berikutnya. Dia lantas menjaringkan 28 mata untuk memberikan kemenangan  kepada Knicks mengatasi Utah Jazz 99-88.  Dalam perlawanan seterusnya, Lin sekali lagi muncul wira, dia menjaringkan 23 mata membantu Knicks menewaskan Washington Wizards 107-93. Dunia NBA mula memerhatikan pemain warga Amerika keturunan Asia ini.

Pada 10 Februari, Lin menjaringkan 38 mata untuk membantu pasukannya mengatasi Los Angeles Lakers 92-85. Dia menjaringkan lebih mata dari pemain ternama Lakers, Kobe Byrant yang menjaringkan 34 mata, dan nama Jeremy Lin mula dijulang sebagai bintang baru NBA.

Jeremy Lin merupakan warga Amerika keturunan China atau Taiwan yang pertama mengambil bahagian dalam NBA. Dia juga seorang Kristian yang komited. Bacalah kesaksian berikut ini yang dipetik dan diterjemah dari artikel The Christian Post berjudul "Jeremy Lin Pondering How to Give God More Glory" bertarikh 13 Februari 2012;

Jadi apakah yang difikirkan Jeremy Lin tentang kebangkitan mendadaknya menjadi bintang dan perihal kegilaan akan Lin yang sedang melanda Amerika?

“Aku sedang berfikir tentang bagaimana aku boleh lebih percaya kepada Tuhan,” pemain guard New York Knicks yang berumur 23 tahun itu memberitahu San Jose Mercury News. “Bagaimanakah aku boleh lebih berserah? Bagaimanakah aku boleh lebih membawa kemuliaan kepada-Nya?”

Lin melompat untuk membuat jaringan
Ini adalah suatu pergumulan, katanya, dan dia akan tetap berjuang.

“Ada begitu banyak godaan untuk terus berpegang kepada karierku lebih lagi sekarang,” Lin mengaku.

Pemain bola keranjang dengan ketinggian 6 kaki 3 inci dari Palo Alto, California membuat kenyataan-kenyataan itu selepas lima kemenangan berturut-turut. Lin ialah seorang Kristian yang lantang dan tidak meyembunyikan bahawa dia berterima kasih kepada Tuhan untuk segala sesuatu dalam hidupnya.


“Kemenangan yang cekal… 5 berturut-turut! Pasukan ini sungguh tidak mementingkan diri dan memiliki hati sungguh cekal. Suka main bersama mereka! Tuhan baik!” dia menghantar tweet pada hari Sabtu selepas pasukan Knicks mengalahkan Minnesota Timberwolves 100-98.

Ditambah kepada kejayaannya memimpin pasukannya kepada lima kemenangan, belum lagi disebut 38 mata jaringannya yang tertinggi dalam kariernya menentang Lakers minggu lepas, Lin telah dinamakan Pemain Terbaik Sepanjang Minggu untuk Konferensi Timur pada hari Isnin oleh NBA.

Dalam tempoh empat permainan dari 6 Februari sehingga 12 Februari, Lin memperolehi purata 27.3 mata jaringan, 8.3 assists (hantaran yang membawa kepada jaringan) dan 2.0 steals. Mata jaringannya dalam empat perlawanan pertama dalam kariernya di mana dia memulakan permainan adalah yang terbanyak diperolehi oleh mana-mana pemain sejak 1976-77, dan dia menjadi pemain pertama dalam sejarah NBA untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 20 mata jaringan dan tujuh assists dalam setiap daripada empat perlawanan pertamanya di mana dia memulakan permainan, menurut maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh NBA.

Sukar untuk memikirkan bahawa hanya tahun lepas Lin sedang bergumul dengan keraguan selepas dilepaskan oleh pasukan Warriors dan pasukan Rockets.

Lin telah dipaparkan di muka depan
majalah Time (Asia) 16 Feb 2012
("Lin-sanity" - kegilaan akan Lin)
Pada waktu itu, dia meletakkan apa yang digelarnya “tekanan yang tidak perlu” ke atas dirinya sambil dia cuba membuktikan dirinya, menurut San Jose Mercury News.

Namun pada waktu-waktu itulah, dia telah lebih mendekati Tuhan dengan renungan Alkitab dan doa harian.

Dan sekarang, dia berkata dia sudah bebas.

“Aku telah menyerahkan itu kepada Tuhan. aku tidak lagi bergumul dengan apa yang difikirkan oleh orang lain, “ katanya kepada akhbar itu.


Baca juga  "Kisah "Lin-spirasi" Kejayaan Jeremy Lin (dengan Video)"