Potret Seorang Anak |
Suatu ketika dulu, ada seorang lelaki yang sangat kaya dan mempunyai seorang anak lelaki yang setia. Mereka berdua mempunyai minat yang sangat mendalam dalam mengumpulkan hasil seni. Mereka kerap ke luar negara dan membeli hasil-hasil seni terbaik. Rumah mereka dihiasi dengan pelbagai lukisan menakjubkan hasil seni pelukis ternama seperti Picasso, Van Gogh, Monet dan banyak lagi.
Lelaki kaya berstatus duda tersebut melihat anaknya dengan kepuasan kerana telah mewarisi minat yang sama dengannya. Kebolehan anaknya itu dalam berurusniaga dengan para pelukis seluruh dunia sangat disanjung oleh bapanya.
Namun ketika musim sejuk kian tiba, negara mereka terlibat dengan peperangan. Si anak terpaksa meninggalkan bapanya untuk berkhidmat kepada negara. Beberapa minggu selepas si anak pergi, si bapa telah menerima telegram yang menyatakan bahawa anaknya telah hilang semasa berperang. Si bapa terus menunggu setiap hari berita baru mengenai anaknya dengan perasaan penuh kebimbangan. Beberapa hari kemudian, kebimbangan si bapa menjadi nyata apabila anaknya disahkan mati ketika sedang dirawat oleh pasukan perubatan selepas cedera parah.
Dengan keadaan penuh kesedihan dan kesunyian, si bapa menyambut perayaan Krismas dalam keadaan tidak tentu hala. Sebelum ini, si bapa tersebut sering menyambut Krismas bersama anaknya dengan penuh kegembiraan. Pada pagi Krismas, si bapa terbangun daripada tidur tatkala pintu rumahnya diketuk. Semasa si bapa berjalan ke arah pintu, dia teringat akan anaknya selepas melihat lukisan-lukisan indah yang tergantung di dinding rumahnya. Si bapa kemudian membuka pintu rumah dan disapa oleh seorang askar yang membawa sebuah bungkusan besar.
Askar itu telah melukis potret anak orang itu (Gambar Hiasan) |
Askar tersebut memperkenalkan dirinya dan berkata, "Saya adalah sahabat baik kepada anak bapa. Sayalah orang yang diselamatkan oleh anak anda ketika dia menemui saat kematiannya. Boleh saya masuk? Saya ada sesuatu untuk ditunjukkan kepada anda." Mereka pun masuk ke dalam dan berbual. Askar tersebut mengatakan setiap perkara yang diceritakan oleh anaknya, betapa dia dan bapanya kagum dengan hasil lukisan yang menarik. "Saya juga seorang pelukis," kata askar itu, "dan saya ingin memberikan ini kepada bapa." Ketika si bapa mula membuka bungkusan tersebut, dia melihat satu lakaran potret anaknya. Potret tersebut sangat teliti seninya dan sangat indah.
Selepas emosi si bapa reda, dia mengucapkan terima kasih kepada askar tersebut dan berjanji untuk menggantungkan potret tersebut di tempat terbaik dalam rumahnya iaitu di atas tempat unggun api. Beberapa jam kemudian, selepas askar itu pergi, si bapa terus menggantungkan potret tersebut di tempat terbaik dalam rumahnya dan menyingkirkan lukisan-lukisan lain yang terbaik yang menghalang potret tersebut. Si bapa kemudiannya duduk sambil memperhatikan hadiah Krismas tersebut dengan penuh asyik.
Beberapa minggu kemudian, si bapa mula berfikir bahawa anaknya telah menyelamatkan ramai askar yang tercedera dalam peperangan sebelum menemui ajal selepas dadanya ditembusi dengan tembakan peluru. Semakin hari semakin banyak cerita mengenai anaknya yang telah menolong ramai askar didengarinya. Sebagai seorang ayah, perasaan bangga dan puas mula menyelubungi jiwanya yang sedang bersedih. Si bapa mulai sedar bahawa walaupun anaknya sudah meninggal, roh anaknya masih hidup kerana ramai orang yang tersentuh dengan kebaikannya. Potret anaknya itu menjadi harta yang tidak ternilai baginya. Si bapa turut memberitahu rakan tetangganya bahawa potret tersebut adalah yang paling bernilai dan hadiah paling indah dalam hidupnya.
Ketika musim luruh tiba, si bapa menderita sakit dan kemudiannya mati dan meninggalkan banyak karya yang bernilai tinggi. Oleh kerana tiada pewaris kepada seluruh harta si bapa ini, maka semua hartanya terpaksa dilelongkan. Pada hari perlelongan, ramai pengumpul karya yang datang dari seluruh dunia dengan niat untuk memiliki karya-karya ternama si bapa tersebut. Ini kerana karya-karya yang dimilikinya tidak terdapat di mana-mana muzium di dunia.
Lelongan pun dimulakan dengan sebuah lukisan yang bukan tarikan mana-mana pengumpul yang hadir. Si tukang lelong mula membuka lelongan tetapi bilik tersebut sepi. Tidak ada seorang pun yang berkenan dengan lukisan tersebut.
"Siapa yang mahu memulakan lelongan dengan $100?" katanya. Selepas beberapa ketika, masih tidak terdapat respon. Kemudian terdapat satu suara mengatakan, "Siapa yang peduli dengan lukisan itu? Ianya hanya sebuah lukisan potret anak pemiliknya. Mari lupakannya dan mulakan lelongan dengan barangan yang lain." Ianya disambut oleh beberapa suara lain sebagai tanda mempersetujuinya. Tapi jawab si tukang lelong, "Kita perlu menjual potret ini terlebih dahulu sebelum melelongkan barang lain. Jadi, ada tak sesiapa yang mahu membeli potret si anak ini?"
Tiada seorang pun yang meminati Potret Anak (Gambar Hiasan) |
Akhirnya seorang sahabat daripada si bapa tersebut pun bersuara. "Boleh tak saya dapatkan potret tersebut dengan harga $10? Itu saja yang saya ada." Si tukang lelong pun menjawab, "Ada tak sesiapa yang mahu menawarkan harga lebih tinggi?" Suasana diam sahaja. "Dengan kiraan satu, dua... tamat!" Suasana menjadi meriah semula dan seorang pun bersuara, "Sekarang mari mulakan lelongan terhadap harta karun yang lain!"
Si tukang lelong melihat para hadirin dan mengumumkan bahawa lelongan telah berakhir. Para hadirin tersentak dengan penuh kehairanan. Kemudian ada yang bersuara, "Apa yang kamu maksudkan bahawa ianya sudah berakhir? Kami bukan datang sini untuk membeli potret anak itu! Bagaimana dengan lukisan-lukisan berharga jutaan dolar yang lain? Kami mahukan penjelasan!" Si tukang lelong kemudiannya menjawab, "Mudah sahaja. Menurut wasiat si bapa, sesiapa sahaja yang mengambil anak itu... dia mendapat semuanya."
Para pengumpul seni mempelajari sesuatu pada hari tersebut. Mesejnya masih sama... kasih seorang Bapa yang mana anaknya telah mati untuk orang lain... dan kerana kasih Bapa tersebut... sesiapa yang mengambil anaknya akan mendapat segalanya.
(Saya mendapat cerita ini daripada Sdr Valerie Lia Simon, melalui catitan Facebooknya, Thanks Valerie!)