Kapal "Titanic" yang membawa 2,223 penumpang karam selepas bertembung dengan aisberg di Lautan Atlantik pada 15 April 1912 |
Pada 15 April 1912, Kapal Titanic dalam pelayaran sulungnya dari England ke Amerika telah berlanggar dengan aisberg di Lautan Atlantik mengorbankan 1,517 jiwa daripada 2,223 penumpangnya. Hanya 706 orang terselamat dalam nahas itu (kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang sempat menaiki "lifeboat" yang diturunkan dari kapal Titanic). Penumpang-penumpang lain yang terjatuh ke dalam air laut hampir kesemuanya mati lemas ataupun mati kesejukan dalam air yang sejuknya umpama ais. Sempena Ulangtahun Ke-100 Tenggelamnya Kapal Titanic, bacalah kisah seorang wira dalam nahas tersebut...
John Harper |
John Harper telah dilahirkan dalam keluarga Kristian di Glasgow, Scotland, pada tahun 1872. Semasa dia berusia lebih kurang 14 tahun, dia telah menyerahkan hidupnya kepada Kristus, dan bermula saat itu, dia mula memberitahu orang lain mengenai Kristus. Pada umur tujuh belas tahun, dia mula mengkhabarkan Injil dengan keluar ke jalan-jalan di kampungnya dan mencurahkan isi hatinya dengan rayuan agar manusia berdamai dengan Tuhan.
Setelah lima atau enam tahun bertungkus-lumus mengkhabarkan Injil di penjuru jalan sambil bekerja di kilang pada siang hari, Harper telah diterima oleh Reverend E.A. Carter daripada Baptist Pioneer Mission di London. Ini mengizinkan Harper untuk meluangkan seluruh masa dan tenaganya kepada penginjilan.
John Harper dengan anaknya Nana |
Tidak lama kemudian, pada September 1896, Harper telah memulakan gerejanya sendiri. Gereja ini, yang dimulakannya dengan hanya dua puluh lima anggota, telah berjumlah lebih lima ratus orang apabila dia meninggalkan gereja itu tiga belas tahun kemudian. Dalam tempoh itu, dia telah berkahwin dan kemudian menjadi duda. Sebelum dia kehilangan isterinya, Tuhan telah memberkati Harper dengan seorang anak perempuan yang comel bernama Nana.
Harper hampir mati lemas beberapa kali. Semasa dia berumur dua tahun setengah, dia terjatuh ke dalam perigi tetapi dapat diselamatkan oleh ibunya. Pada umur dua puluh enam tahun, dia telah dihanyutkan ke laut oleh arus songsang dan hampir tidak terselamat. Dan pada umur tiga puluh dua tahun, dia menghadapi maut di atas kapal yang mengalami kebocoran di Laut Mediterranea. Semua kejadian itu menjadikan Harper lebih berazam lagi dalam penginjilannya.
Semasa menggembalakan gerejanya di London, Harper meneruskan penginjilannya yang bersungguh-sungguh. Gereja Moody di Chicago telah mengundangnya ke Amerika untuk mengadakan rapat penginjilan. Kebaktian-kebaktian itu berjalan baik dan setelah beberapa tahun, Gereja Moody mengundangnya lagi. Harper menaiki kapal "Titanic" dengan tiket kelas kedua di Southampton, England untuk pelayaran ke Amerika.
Kapal "RMS Titanic" iaitu kapal terbesar dunia ketika itu sedang membuat pelayaran sulungnya dari England ke Amerika apabila bertembung aisberg |
Isteri Harper telah meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya, dan Harper membawa bersamanya anak tunggalnya, Nana yang berusia enam tahun. Apa yang berlaku selepas ini kita tahu kebanyakannya daripada dua sumber. Satu daripada sumber itu ialah Nana, yang meninggal dunia pada tahun 1986 pada usia lapan puluh tahun. Nana masih ingat dikejutkan oleh bapanya setelah beberapa malam dalam pelayaran. Waktu itu hampir tengah malam, dan bapanya mengatakan bahawa kapal itu telah melanggar aisberg.
Kapal "Titanic" dipercayai telah bertembung dengan aisberg ini |
Harper memberitahu Nana bahawa sebuah kapal sudah hampir ke situ untuk menyelamatkan mereka, tetapi sebagai langkah keselamatan, Harper akan meletakkan anak perempuannya dalam lifeboat (bot penyelamat) dengan seorang sepupu yang lebih tua, yang bersama mereka. Untuk Harper sendiri, dia akan menunggu sehingga kapal yang satu lagi sampai. Nana dan sepupunya berjaya diselamatkan.
Penumpang-penumpang "lifeboat" dari kapal Titanic menunggu diselamatkan oleh kapal Carpathia yang sampai beberapa jam selepas nahas berlaku (Gambar diambil dari kapal Carpathia) |
Sementara air yang seram sejuk itu mula memenuhi kapal, Harper kedengaran melaungkan, "Semua wanita dan anak-anak dan yang belum diselamatkan, masuk ke dalam bot penyelamat." Orang-orang yang terselamat melaporkan bahawa Harper telah membuka jaket keselamatannya dan memberikannya kepada seorang lelaki lain. "Jangan risau tentang aku," dia berkata, "Aku tidak turun ke bawah, aku akan naik ke atas!"
Apabila kapal itu mula tenggelam, lebih daripada 1,500 penumpang telah melompat atau terjatuh ke dalam air yang sejuk umpama ais itu. Seorang demi seorang mati lemas atau mati kerana kesejukan. Harper kelihatan berenang dari satu penumpang ke penumpang lain, merayu kepada mereka untuk menerima Kristus.
Ramai penumpang terjatuh ke dalam air apabila kapal "Titanic" tenggelam |
Hanya enam daripada lebih 1,500 orang yang bergumul di dalam air itu dapat diselamatkan dari maut termasuk seorang pemuda Scotland. Beginilah kesaksian pemuda itu, sumber utama yang kedua tentang apa yang dilakukan oleh Harper:
Dalam sebuah kebaktian doa di Halmilton, Ontario beberapa bulan kemudian, seorang pemuda Scotland berdiri dan dengan linangan air mata menceritakan tentang kisah yang mengkagumkan bagaimana dia telah dimenangkan kepada Kristus.
Dia menceritakan bagaimana dia berada di atas kapal Titanic pada malam kapal itu berlanggar dengan aisberg. Dia telah berpegang pada serpihan yang timbul dalam air yang sejuk itu. "Secara tiba-tiba," katanya, "ombak membawa seorang lelaki dekat kepadaku, John Harper. Dia juga berpegang serpihan daripada kapal.
"Harper telah memanggil kepadanya. 'Kawan, sudahkah anda diselamatkan (dari dosa)' "'Tidak, aku belum,' jawabku.
"Dia memanggil lagi, 'Percayalah pada Tuhan Yesus Kristus, dan engkau akan diselamatkan (dari dosa).'
"Ombak mengasingkan aku daripada Harper sehingga tidak kelihatannya lagi, tetapi sejenak kemudian dia telah dibawa ombak dekat kepadaku lagi, 'Sudahkah anda diselamatkan sekarang?' Aku menjawab, 'Tidak.' 'Percayalah pada Tuhan Yesus Kristus, dan engkau akan diselamatkan.'
"Selepas itu Harper terlepas pegangannya pada serpihan kayu itu dan tenggelam ke dalam air. Dan di situ juga, semasa keseorangan diri dalam air sedalam tiga kilometer di bawahku, aku menerima Kristus sebagai Juruselamatku. Aku ialah jiwa yang terakhir dimenangkan oleh John Harper."
(Sumber: The Titanic's Last Hero: Story About John Harper oleh Adams Moody)
(Sumber: The Titanic's Last Hero: Story About John Harper oleh Adams Moody)