Rabu, 20 Jun 2012

Mimpi Tukang Masak dan Penyambut Tetamu


Gambar Tukang Masak
Pada waktu itu, aku bekerja di pejabat yang sama dengan JC. Dia seorang yang sangat peramah dan baik hati. Semua orang di pejabat suka pada JC. Sejak dia mula bertugas di situ, suasana di pejabat menjadi mesra dan ceria. 

Aku dan JC berkawan baik, meja kerja kami di pejabat itu pun berdekatan. Pada suatu pagi, aku bertegur sapa dengannya seperti biasa. Tiba-tiba JC berkata dengan nada yang perlahan tetapi serius, "Aku bermimpi tentang engkau malam tadi."


Aku terkejut oleh kata-katanya dan juga nadanya yang serius. Apakah yang dimimpikannya? JC mula menjawab, "Dalam mimpiku, aku melihat engkau menjadi Tukang Masak dalam satu majlis makan. Terdapat banyak makanan yang terhidang di atas meja. Ramai pula orang yang datang ke majlis makan itu."

Sementara aku cuba mengerti apa yang dikatakannya, JC menambah lagi, "Aku melihat diriku menjadi Penyambut Tetamu yang sedang membawa ramai orang ke tempat makan." JC memandang aku dengan satu pandangan yang penuh tanda tanya. Dia sedang menunggu suatu jawaban atau reaksi daripadaku.

Aku tergelak di hati. Aku Tukang Masak? Aku langsung tak pandai memasak! Sampai ke hari ini pun tak pandai masak. Tapi kalau JC jadi Penyambut Tetamu, itu tak hairanlah, malah cocok sekali... dia akan jadi Penyambut Tetamu yang paling baik kerana sifatnya yang sangat peramah....

Gambar Penyambut Tetamu
Aku fikir dalam hatiku bahawa ini pasti mengenai hal pelayanan di masa depan. Pasti bukan mengenai aku jadi tukang masak, tetapi mengenai sesuatu pelayanan yang bakal kuceburi. Aku tak berapa ingat apa jawapanku kepada JC. Aku sendiri pun masih kabur-kabur apa erti mimpi itu. Tetapi yang pasti, aku tahu JC mengambil serius tentang mimpi itu, seolah-olah dia percaya ada maksud  di sebalik mimpi itu. 

Tahun demi tahun berlalu, kadang-kadang aku memikirkan juga tentang mimpi itu... dan cuba mengerti maksud mimpi itu.... 

Pada tahun lepas, sepanjang kira-kira sebulan, entah kenapa aku rasa sangat terdorong untuk memulakan blog. Sebenarnya aku langsung tidak tahu hujung pangkal menulis atau memulakan blog. Aku melawat laman WordPress untuk mempelajari lebih mengenai blogging. Kemudiannya melawat laman Blogger untuk tujuan sama. Antara dua, Blogger menang... Blogger lebih mudah bagiku....

Setelah beberapa bulan memulakan blog ini (Blog domba2domba), tiba-tiba aku mengingati kembali mimpi itu. Dan tiba-tiba aku mula mengerti maksudnya. Inilah maksudnya aku menjadi Tukang Masak... setiap artikel kesaksian dan sebagainya yang aku muatkan dalam blog ini adalah seperti "hidangan" untuk para pembacaku.... 

Juga aku faham sekarang peranan JC sebagai Penyambut Tetamu.... Mula-mulanya tak begitu ramai orang yang tahu tentang blogku, tetapi sejak kawan-kawanku mula membaca dan memberitahu kawan-kawan mereka, maka semakin ramai orang yang melawat blogku dan membaca artikel di sini. Kawan-kawanku ialah Penyambut Tetamu yang ramah dan yang telah membawa ramai orang ke blog ini...!

Sejak blog dimulakan pada April 2011 sehingga hari ini, blog ini telah mencatit lebih 32,000 pageviews dalam masa 14 bulan, suatu angka yang melebihi segala jangkaanku! (Namun begitu, bukanlah jumlah pageview sahaja yang menjadi kayu ukur untuk kejayaan, tetapi harapanku adalah semoga setiap artikel yang dimuatkan akan menjadi berkat dan menyentuh jiwa para pembaca yang melawat blog ini).

Para Penyambut Tetamu

Aku ingin berterima kasih kepada Anda yang telah menjadi pembaca setia blog ini. Aku berterima kasih kerana Anda telah memberitahu kawan-kawan yang lain mengenai blog ini (setiap kali anda klik "Like" dan "Share" di Facebook!). Anda adalah Penyambut Tetamu seperti yang telah dimimpikan oleh kawanku JC. Anda telah membawa ramai orang ke blog ini, apabila anda memberitahu kawan-kawan mengenainya secara lisan, melalui Facebook, Twitter atau Blog anda... Terima Kasih!

Aku bersyukur kerana aku bukan keseorangan dalam pelayanan blog domba2domba ini, Tuhan telah memberikan aku ramai kawan "JC" untuk membantuku! Sesungguhnya, Anda adalah Rakanku yang penting dalam pelayanan blog ini. Pelayanan blog ini tidak akan berhasil tanpa adanya Kawan seperti Anda!

Paulus memahami hakikat ini. Dia tahu pentingnya mempunyai Rakan dalam Pelayanan! Dia mengatakan, "Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Allah yang memberi pertumbuhan." (1 Kor 3:6)

Terima kasih Kawan-kawanku kerana sudi menjadi Rakanku dalam Pelayanan ini dan segala Puji Syukur kepada Tuhan yang kita layani sama-sama!


dari domba ke domba
Nota tambahan: Sebenarnya nama blog ini domba2domba adalah secara kebetulan dan bukan pilihan asalku, sekarang aku mengerti mengapa akhirnya nama itu telah kupilih... sebab sememangnya blog ini adalah pelayanan "domba to domba", iaitu dari domba ke domba menyebarkan berkat Tuhan!