Khamis, 14 Jun 2012

Kisah Eric Liddell: Lebih Dari Emas (Bahagian 2)

Gambar Potret Eric Liddell
"Eric Liddell mencintai China. Dia telah dilahirkan di sana kepada sebuah keluarga utusan Injil, menghabiskan masa kecilnya di situ dan kembali ke China untuk melayani sebagai utusan Injil sebaik sahaja dia menamatkan pendidikan universitinya di Scotland dan memenangi pingat emas Olimpiknya di Paris." 
- John Keddie, penulis buku berjudul Running the Race.


Selepas Olimpik, Liddell kembali ke China (pada tahun berikutnya, 1925) untuk bertugas sebagai utusan Injil. Keluarganya yang berasal dari Scotland, telah bertugas di China pada waktu Pemberontakan Boxer. Liddell bertugas sebagai guru di sebuah sekolah untuk budak-budak Cina di mana dia mengajar pelajaran Kimia dan mengatur acara sukan. Dia berkahwin pada tahun 1934, dan pada tahun 1936 China bersiap untuk perang apabila ketegangan antara pihak Komunis dan Nasionalis makin meningkat. 

Eric Liddell (kedua dari kanan) telah dilahirkan di Tientsin, China pada
16 Januari 1902 kepada Reverend dan Puan James Dunlop Liddell.
Gambar Eric Liddell bersama ibubapa dan adik-beradiknya.

Liddell telah diminta oleh London Missionary Society (Persatuan Utusan Injil London) untuk menyerahkan tugasnya di Tientsin, dan untuk memulakan tugas sebagai penginjil kampung di Siao Chang. Itu adalah kawasan yang berbahaya. Liddell tidak dapat membawa isterinya dan dua anak perempuannya bersama dengannya dan dia terpaksa meninggalkan mereka apabila dia pergi bertugas di situ. Dia dapat sekali-sekala melawat mereka, tetapi perjalanannya jauh. Lawatannya tidaklah kerap.

Menjadi Penginjil

Kampung-kampung di mana Liddell melayani menghadapi banyak kesukaran oleh kerana persengketaan di antara pihak Komunis dan Nasionalis. Pada satu hari, Komunis akan datang merampas dan memusnahkan sebuah kampung lalu pergi. Kemudiannya, pada hari yang lain, pihak Nasionalis pula datang dan melakukan hal yang sama. Pelayanannya di kawasan itu ialah penginjilan dan untuk mendorong orang-orang Kristian di situ. Perjalanan di kawasan perkampungan tatkala pihak Komunis dan pihak Nasionalis kedua-duanya   menentang pekerjaan Injil sering meletakkan Liddell dalam keadaan berbahaya.

Gambar Perkahwinan Eric dan isteri
Jepun menakluk China dan pada tahun 1940, Liddell memberitahu isterinya untuk membawa anak-anak mereka ke Kanada di mana mereka boleh tinggal dengan ibubapa isterinya. Dia pula kekal di Tientsin untuk meneruskan pelayanannya. Liddell telah dihantar oleh pihak Jepun ke sebuah Kem Tahanan di mana 1800 orang tahanan telah dikurung. Dia tidak putus asa dengan keadaan sekelilingnya. Dia bekerja tanpa mengenal lelah di dalam kem itu, melakukan apa saja yang perlu dilakukan, samada pengajian Alkitab, mengajar kanak-kanak yang mahu meneruskan pelajaran mereka, atau menganjurkan aktiviti sukan. Dalam satu rundingan pertukaran orang tahanan, kebebasan baginya telah diatur oleh Winston Churchill (Perdana Menteri Britain) tetapi Liddell menyerahkan tempatnya supaya seorang wanita yang hamil pula yang dilepaskan.

Menghabiskan Perlumbaan

Eric Liddell mencapai garis akhir kemenangan
perlumbaan 400 meter di Olimpik Paris 1924
Pada tahun 1944, Liddell selalu sakit. Para doktor tidak mempunyai kelengkapan untuk mengenalpasti masalahnya yang sebenar. Pada Februari 21, 1945, dia mula batuk-batuk yang tidak dapat dikawal lagi, dan sambil kawan-kawannya datang untuk membantunya, Liddell membaringkan diri dan mengucapkan kata-kata ini, "Aku berserah." Bedah siasat kemudian menunjukkan bahawa terdapat pertumbuhan tumor yang besar di sebelah kiri otak Liddell. Dia meninggal tanpa pernah melihat anaknya yang ketiga, Maureen Liddell. Orang ini sungguh-sungguh komited kepada pekerjaan Kristus. Dia mendapat kesempatan meninggalkan China tetapi dia memilih untuk terus tinggal. Dia mencurahkan hidupnya dalam pekerjaan menjangkau umat yang sesat di China. Dia bekerja untuk hadiah yang lebih mulia daripada emas, termasuk juga emas Olimpik.    

(Dipetik dan diterjemah dari artikel HistoryMakers berjudul "Eric Liddell")

Baca juga  Kisah Eric Liddell: Lebih Dari Emas (Bahagian 1)