Khamis, 14 Jun 2012

Kisah Eric Liddell: Lebih Dari Emas (Bahagian 1)


Eric Liddell, atlet Britain yang juga
digelar "The Flying Scotsman"
Eric Liddell merupakan atlet pilihan Britain untuk memenangi acara 100 meter di Olimpik Paris 1924. Namun begitu, Eric menarik diri daripada acara 100 meter itu apabila mengetahui bahawa acara itu akan diadakan pada hari Ahad. Seorang Kristian yang komited, Eric berprinsip menjadikan hari Ahad sebagai hari untuk berehat dan beribadah. Kisahnya telah diabadikan dalam filem "Chariots of Fire" pada 1981. Filem  itu memenangi 4 anugerah termasuk Anugerah Oscar untuk Filem Terbaik

Ledakan daripada pistol yang memulakan perlumbaan bergema di sekeliling stadium pada petang Jumaat yang panas pada Julai 1924. Eric Liddell memecut ke hadapan dengan gaya lariannya yang pelik, kepala yang mendongak ke atas, lengan yang berlegar-legar di sisinya, kakinya yang sedikit sahaja menyentuh trek balapan sambil dia berlari. Tiada sesiapapun, termasuk Eric sendiri, mengagak bahawa dia berpeluang memenangi perlumbaan 400 meter. Tetapi Eric bertekad untuk melakukan yang sebaik mungkin. Eric Liddell adalah pelumba pecut terpantas Scotland. Dia telah memenangi setiap perlumbaan 100 meter yang pernah dia sertai sejak awal karir lumba larinya. Kepantasannya telah melayakkannya untuk mengambil bahagian dalam 100 meter dalam kontinjen Olimpik Britain.

Hari Istirehat

Eric Liddell mempunyai
gaya larian yang unik
Bagaimanapun, Eric telah mengumumkan kepada negaranya bahawa dia tidak boleh berlumba dalam acara 100 meter kerana peringkat akhirnya dijadualkan pada hari Ahad. Ahad ialah hari ibadah dan rehat untuk Eric. Dia tidak akan berlumba sekalipun dia merupakan satu-satunya harapan negaranya untuk memenangi pingat emas Olimpik. Ini menyebabkan orang-orang Scotland menjadi tidak senang dengan Eric. Mereka menulis hal-hal yang tidak baik mengenainya di akbhar. Ada juga yang memanggilnya pengkhianat. Tetapi Eric tetap dengan pendiriannya. Dia tidak pernah berlumba pada hari Ahad, dan tidak pernah akan, walaupun untuk mendapat pingat emas Olimpik.

Dengan sedikit masa yang tinggal sebelum bermulanya Kejohanan Olimpik, Eric berlatih dan melayakkan diri untuk perlumbaan yang tidak diadakan pada hari Ahad. Eric tahu bahawa peluangnya untuk memenangi perlumbaan 400 meter adalah tipis kerana dua daripada pelumba dalam acara ini telah mencatat masa rekod dunia. Tambahan lagi, pada hari perlumbaan, Eric telah diberi lorong yang paling teruk. Tetapi nota yang di dalam sakunya memberi dorongan kepadanya. Jurulatih pasukan telah memberikan nota itu kepadanya sebelum dia meninggalkan bilik hotel. Ia bertulis, "Sebab siapa yang menghormati Aku, akan Kuhormati." Eric tahu keputusannya tidak berlumba pada hari Ahad menghormati Tuhan.

Berlumba Untuk Emas

Eric Liddell (paling kiri) memenangi 400 meter Olimpik
Sambil Eric melepasi selekoh di balapan di mana biasanya semua pelumba akan muncul bersama, dia menjangka akan melihat para pemegang rekod dunia itu sudah berada di hadapannya. Tetapi dia masih seorang diri di situ. Dia mendongak kepalanya lebih lagi daripada biasa dan memacu lariannya dengan sederas mungkin. Eric yang pertama sekali melepasi garis akhir, dia memenangi pingat emas! Dia juga telah mencatit rekod dunia yang baru! Eric disambut sebagai wira apabila dia kembali ke negaranya. Pihak akhbar sekarang berlumba-lumba untuk memujinya. Tetapi Eric tahu bahawa pujian yang diberikan itu tidak akan bertahan lama. Dia tidak lama lagi akan mengumumkan rancangannya untuk berhenti berlumba dan pergi ke China untuk mengkhabarkan Yesus. 

(Dipetik dan diterjemah dari artikel Christianity.com bertajuk "Eric Liddell: Greater than Gold")

Baca juga...  Eric Liddell: Lebih Dari Emas (Bahagian 2)