Rabu, 11 Julai 2012

Kesaksian Bryan Clay - Juara Dekatlon Olimpik Beijing 2008

Bryan Clay pemenang emas dekatlon
di Kejohanan Olimpik Beijing 2008
Enam hari dalam seminggu, tujuh jam dalam sehari, berlari, mengangkat berat, latihan teras dan plyometrik. Latihan persiapan juara bertahan dekatlon Olimpik Bryan Clark sangat tertumpu. Anda tidak mendapat gelar atlit terhebat dunia dengan cara lain.

Begitupun latihannya yang paling penting ialah dari segi rohani. "Aku perlu mengatur keutamaanku dengan betul - imanku pertama, keluargaku kedua, dan sukan ketiga," kata Bryan.

Dia dulunya tidak mempunyai fokus rohani yang sedemikian. Penceraian ibubapanya ketika dia di Tahun Lima sekolah rendah sangat memberi kesan kepadanya. Dia bertindakbalas, selalu terlibat dalam pergaduhan. Kemudiannya terjebak dalam minuman keras dan dadah. Ibunya terus menerus berdoa untuknya dan memberitahunya, "Tuhan mempunyai rencana yang besar untukmu."

Ibunya membawanya bertemu seorang kaunselor yang menyarankan agar dia menyalurkan keagresifannya ke bidang sukan. Seorang yang kuat dan pantas, dia memilih acara padang dan balapan. Dia menunjukkan kebolehan dalam pelbagai bidang sehingga dia akan bersaing dalam enam acara dalam satu kejohanan.


Bryan Clay mengambil bahagian dalam acara dekatlon Olimpik
yang terdiri daripada 10 jenis acara padang dan balapan

Tidak menjadi hairan lagi apabila Azusa Pacific University telah merekrutnya sebagai ahli sukan dalam dekatlon. Emaknya sangat gembira dan berfikir bahawa di kolej Kristian dia akan mengikuti jalan yang betul.

Tidak juga. Bryan lebih suka pergi berparti daripada berdoa. Dia sering terlepas ibadah di dewan ibadah kerana kemabukan malam sebelumnya. Jurulatihnya mengancam untuk mengugurkannya dari pasukan balapan. Sikap Bryan pada masa itu ialah, "Apalah kalau aku dibuang? Aku tak peduli."

Dia juga tidak cukup peduli tentang teman wanitanya, Sarah. Sarah berpisah dengannya pada tahun kedua di universiti kerana tidak tahan dengan tabiat kemabukannya. Dengan rasa terdesak, Bryan berdoa agar Sarah akan menghubunginya lagi. Pada suatu hari, Sarah menelefonnya. "Bolehkah kita kembali bersama?" begitu Bryan merayu.

"Itu tak akan berlaku sehingga engkau menjadi lelaki sejati Tuhan yang aku tahu kau inginkan, dan aku tahu Tuhan inginkan dalam hidupmu," kata Sarah.

Bryan Clay dengan pingat emas dekatlon
di Kejohanan Olimpik Beijing 2008
Pada malam itu Bryan menilai kembali hidupnya. Apakah yang ada pada hidupnya selain menjadi seorang atlit. Itupun bukan atlit yang sangat baik - dia ketinggalan 1,000 mata dari mata purata dekatlon pada peringkat kebangsaan.

Tetapi bagaimanakah dia dapat menjadi seorang lelaki sejati Tuhan? Dia masih keliru dan Sarah juga tidak kembali bersamanya. 

Akhirnya, Bryan mencari jawaban daripada Firman Tuhan. Dia tertarik dengan cara murid-murid Yesus. Mereka belajar dengan memerhatikan Yesus hari demi hari. 

"Kalau aku ingin berubah," katanya, "aku memerlukan teladan yang hidup, seorang peribadi yang sentiasa berusaha untuk menjadi lebih seperti Kristus dalam kehidupan harian." Pilihannya untuk menjadi mentornya sangat jelas: Dekan Hal Ehwal Pelajar di Azusa. 

Dekan itu mengundangnya mengikuti kelas pemuridan yang kecil yang akan bertemu setiap minggu. Ini memerlukan komitmen sepenuhnya, kata dekan itu. Tidak diizinkan ketinggalan kelas pemuridan itu, tidak untuk latihan balapan dan tentu sekali tidak untuk sebab kemabukan.

Mereka berbincang tentang segala sesuatu - kuliah, pekerjaan, pergaulan, meletakkan cinta untuk Tuhan dan untuk orang lain lebih utama daripada diri. "Aku tidak hanya memberikan komitmen. Aku menyerahkan hidupku kepada Kristus," kata Bryan.

Bryan berkahwin dengan Sarah pada tahun 2004
Karir balapan Bryan mula berkembang. Pada tahun ketiga pengajiannya, tahun 2001, dia melayakkan diri untuk kejohanan dunia. Tiga tahun kemudian, dia memenangi pingat perak dalam Olimpik Athens. Di Beijing, pada tahun 2008 dia memenangi emas. Pada waktu itu, dia pun sudah memenangi hati Sarah dan bernikah dengannya.

Pada musim panas ini, Bryan ingin mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan - untuk memenangi pingat dalam acara dekatlon dalam tiga Kejohanan Olimpik.

Apapun kesudahannya, ada suatu hal yang tetap, seperti yang dihantarnya melalui Twitter, "Sewaktu gembira, puji Tuhan. Sewaktu susah, cari Tuhan. Sewaktu sepi, percaya Tuhan. Dalam setiap waktu, bersyukur kepada Tuhan."

Wawancara CBN dengan Bryan Clay

(Dalam acara Kelayakan Pasukan Olimpik Amerika Syarikat yang telah diadakan pada 23 Jun 2012, Bryan Clay gagal melayakkan diri untuk Olimpik London 2012 apabila lariannya dalam acara lompat berpagar 110 meter pada asalnya dibatalkan dan ketiga-tiga lemparannya dalam acara lempar cakera juga dibatalkan. Namun begitu, Bryan masih bersemangat dan bertekad ke London untuk memberi sokongan kepada dua rakannya yang terpilih untuk dekatlon).