Jeff Foxworth, hos game show baru "The American Bible Challenge" |
Satu rancangan game show baru bertemakan Alkitab telah dilancarkan di Amerika Syarikat baru-baru ini. "The American Bible Challenge" dalam tayangan sulungnya pada 23 Ogos 2012 telah menarik 1.7 juta penonton, rekod tertinggi dalam sejarah 17 tahun rangkaian Game Show Network. Berikut terjemahan artikel The Christian Post, "The American Bible Challenge Mixes Faith, Humor and Charity" bertarikh 24 Ogos 2012 mengenai tayangan sulung rancangan itu.
Rancangan "The American Bible Challenge," yang dihoskan oleh pelakon komedi Jeff Foxworthy, dilancarkan pada Khamis malam di rangkaian Game Show Network dan menggabungkan unsur iman dan keriangan sementara para peserta bertanding untuk memenangi wang bagi badan kebajikan kegemaran mereka.
Rancangan sejam itu membawa bersama tiga pasukan peserta, dengan tiga peserta dalam setiap pasukan, bertanding dalam pertandingan kuiz Alkitab yang berakhir dengan satu pasukan membawa pulang $20,000 untuk didermakan kepada badan kebajikan pilihan mereka. Pada penghujung musim, pasukan-pasukan yang menang juga akan berpeluang bertanding untuk $100,000.
Episod sulung juga mempamerkan detik-detik yang yang menyentuh hati, sambil individu-individu daripada setiap pasukan - Minnie's Food Pantry, Suburban Saints, dan Gospel Geezers - menceritakan kisah mereka dalam segmen memperkenalkan diri.
Ron Milton, seorang askar yang telah kembali daripada Perang Iraq dan penerima pingat Purple Heart, yang menganggotai pasukan Suburban Saints, memberikan kesaksiannya yang hidup memberontak sebelum mula hidup bagi Tuhan. Dia telah dibesarkan dalam keluarga Kristian, tetapi setelah menyertai Pasukan Tentera Amerika Syarikat pada umur 18 tahun, dia telah mengikuti kehidupan berpesta-pora. Walaupun begitu, pada suatu hari, seorang kawan menjemputnya ke kelas pembelajaran Alkitab, dan itu telah membawa kesan yang besar kepadanya.
"Pada tahun berikutnya, aku telah dihantar ke Iraq untuk satu tahun dan dalam tahun itu melihat yang paling teruk dalam kemanusiaan," jelas Milton. "Dan apabila anda mengerti siapa Kristus, dan sudut pandang dunia yang diberikan oleh Kekristianan, itu memberi anda jawaban mengapa dunia dalam keadaan begitu teruk. Ianya memberi anda jawaban bagaimana dunia dapat dipulihkan. Dan apabila anda mengamati pengalaman anda dalam zon perang melalui sudut pandang itu, ianya menjadi lebih dapat dimengertikan."
Sementara kebajikan dan kisah hidup pastinya bahagian yang penting dalam program rancangan ini, tiada rancangan yang melibatkan Foxworthy akan sempurna tanpa bahagian humornya. Foxworthy selalunya menyumbangkan pandangan lucunya pada petikan Alkitabiah semasa rancangan itu, dan perkataan seperti "Faithbook," dan "What do you Noah 'bout the ark?" digunakan sebagai tajuk kategori dalam kuiz.
Rancangan itu juga melibatkan Koir "The American Bible Challenge" yang menyanyikan lagu-lagu Kristian termasuk lagu "Amazing Grace" apabila rancangan TV itu memasuki dan beredar dari segmen iklan.
Pasukan yang menang dalam episod pertama ialah Minnie's Food Pantry, dinamakan mengikut badan kebajikan yang mereka perjuangkan, terdiri daripada Presiden Minnie's Food Pantry Cheryl Jackson, adiknya Lynette Shofner, dan adik iparnya Lanett Patt.
Ketiga wanita itu tidak dapat menahan perasaan lagi selepas kemenangan mereka, dengan teriakan sukacita selepas mendapat tahu bahawa Suburban Saints gagal mengejar jumlah markah mereka dalam pusingan "The Final Revelation." Mereka juga memiliki sebab yang kukuh untuk bergembira, sebab pusat mengedarkan makanan yang diurus oleh Jackson telah mengalami waktu-waktu yang sukar.
Jackson telah menceritakan tentang suatu ketika apabila dia tidak mampu lagi membayar sewa untuk pusat operasi pertubuhan bukan bermotif keuntungan itu, lalu pada suatu hari dia menerima panggilan telefon untuk pergi ke pusatnya. Apabila dia sampai ke situ, dia melihat beberapa pemuda-pemudi yang memegang poster yang mengatakan, "Apabila aku lapar, engkau telah memberi aku makan," yang merujuk kepada ayat Matius 25:35. Orang-orang muda itu kemudiannya menyampaikan kepadanya $2,185 untuk pertubuhannya.
Jackson mengalami waktu-waktu yang dia tidak pasti dia cukup makanan untuk diedarkan kepada ratusan orang yang bergantung pada badan kebajikannya, tetapi kemenangan besarnya dalam "The American Bible Challenge" akan mengurangkan rasa khuatirnya, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.
"Bagiku itulah yang menarik tentang rancangan ini," kata Foxworthy. "Para peserta yang bertanding, bukan bertanding bagi diri mereka, mereka bertanding kerana mengasihi orang lain."
Dua pasukan yang kalahpun tidak pulang dengan tangan kosong. Suburban Saints menerima $5,000 untuk City Crossroads, sebuah pertubuhan bukan bermotif keuntungan yang berpusat di San Fransisco yang membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan muda-mudi berbilang bangsa, dan Gospel Geezers diberikan $2,500 untuk badan kebajikan pilihan mereka, Samaritan's Purse.
"The American Bible Challenge" disiarkan di rangkaian Game Show Network pada hari Khamis pada pukul 8 malam di Amerika Syarikat.