Jumaat, 14 September 2012

Gempuru Besai Dan Peta Malaysia Di Langit


Greman Ujang (foto), seorang pemimpin muda Kristian Iban, sangat tergerak hatinya untuk bangsanya ketika menghadiri Konferensi Pan Borneo / Kalimantan di Sibu, Sarawak pada April 1997. Pada waktu itu, Greman adalah wakil Sarawak dan Sabah untuk Asian Outreach yang juga merupakan penganjur konferensi itu.

Berikut ini kisah bagaimana Gempuru Besai Iban telah bermula di Sarawak dan peranan yang dimainkan oleh Greman Ujang dalam Gempuru Besai itu (dipetik dan diterjemahkan daripada artikel majalah Asian Beacon edisi Jun-Julai 2012 bertajuk "Gathering the Ibans" ditulis oleh Peter de Run).

Kedua-dua Greman dan seorang pastor bangsa Kenyah, Tunggi Balan, yang berbahasa Iban, yang telah mengikuti konferensi itu, mendengar Tuhan dengan jelas memanggil mereka untuk menyatukan umat yang berbahasa Iban di Sarawak, mengasihi mereka dan membawa Kerajaan Tuhan kepada mereka.

Mereka kembali ke Kuching dan mengadakan satu pertemuan untuk mereka yang sama-sama memiliki kasih akan orang-orang yang berbahasa Iban, dan 700 orang dari seluruh Sarawak menghadiri Gempuru Besai Iban (ertinya Pertemuan Besar Iban) diadakan di SIB Kuching. 

Pertemuan ini kini menjadi acara tahunan dan telah bertumbuh dengan pesat dari segi jumlah dan pengaruh. Sementara pertemuan-pertemuan itu bertumbuh, visi untuk Gempuru Besai juga menjadi lebih jelas, iaitu untuk menjadi agen perubahan bagi umat dan negara, dan untuk bergerak maju berdasarkan kebenaran Firman Tuhan, dalam kasih dan kesatuan. 

Dalam tahun keempatnya, mendiang Datuk Ramsay Jitam, seorang bekas pembantu menteri pertanian Sarawak, dan seorang Kristian dari bangsa Iban, telah memberi dorongan dan sokongannya yang penuh semangat kepada gerakan ini. Ini juga telah menguatkan misi Gempuru Besai untuk menjangkau, mendekati dan mengubah kehidupan masyarakat berbahasa Iban. 

Beberapa tahun kemudian, visi yang sama juga telah diterima oleh orang-orang yang berbahasa Iban yang tinggal dan bekerja di Semenanjung Malaysia membawa kepada pembentukan Gempuru Kristian Iban Semenanjung (GKrIS), pertubuhan yang berasingan tetapi memiliki kerinduan yang sama. 

Poster Gempuru Besai yang diadakan di Miri pada November 2011

Pada hari ini, Gempuru Besai telah tersebar ke seluruh negeri Sarawak, terbahagi kepada tujuh zon, setiap zon dengan pengerusi dan jawatankuasanya sendiri untuk mengadakan "gempuru-gempuru" yang lebih kecil serta menjalankan pelayanan rohani dan yang bersepadu untuk orang-orang Iban.

Bertepatan dengan panggilan mereka, jawatankuasa-jawatankuasa Gempuru Besai di setiap zon telah bersungguh-sungguh mencari cara-cara yang praktikal untuk membantu keperluan umat. Mereka telah berjaya menubuhkan tadika-tadika dan membina tiga empangan mini-hidro untuk membekalkan elektrik kepada beberapa rumah panjang, dengan rancangan untuk membina beberapa lagi. Mereka juga telah membantu membina semula satu atau dua rumah panjang yang telah hangus terbakar, dengan membekalkan tenaga kerja, bahan binaan dan perbelanjaan. 

Keadaan menjadi semakin rancak pada Gempuru Besai di Kota Kinabalu beberapa tahun yang lalu apabila sekumpulan pemimpin Kristian, termasuk Greman, tergerak untuk membuat suatu pernyataan bahawa orang-orang yang berbahasa Iban adalah umat Tuhan selepas mendengar Firman Tuhan daripada Mazmur 2:7-8. Pernyataan dari Tuhan itu juga telah memberi semangat kepada pemimpin-pemimpin itu untuk memohon kepada Tuhan untuk semua bangsa-bangsa di Sarawak bagi kerajaan-Nya. 

Dengan itu tidaklah hairan pada Gempuru Besai yang diadakan di Kuching pada tahun berikutnya, temanya adalah "Yesus adalah Raja yang Teragung" (Kolose 2:8). Acara ini telah menyediakan dasar untuk Gempuru Besai seterusnya di Sri Aman pada 2010.

Di situ, Tuhan mengesahkan Firman-Nya dengan menunjukkan kepada pengkhutbah undangan acara itu, Pastor Lam Kee Hing, peta Malaysia di langit, terpampang jelas dengan warna keapian senja di Sarawak - suatu gambaran simbolik yang dipercayai pernyataan kasih dan kekuasaan Tuhan atas Malaysia.

Pastor Lam Kee Hing mengambil
foto peta Malaysia di langit semasa
Gempuru Besai  2010 di Sri Aman
Mengulas tentang foto yang sempat diambilnya, Pastor Lam berkata dia sedang berjalan di tepi sungai di Sri Aman dengan sekumpulan peserta Gempuru Besai apabila seorang daripada mereka memanggil kepadanya untuk berpaling arah dan menghadap langit.

"Apabila aku berpaling, aku berhadapan dengan permandangan paling menakjubkan dalam hidupku. Di situ, terpampang di langit, peta Malaysia yang megah, sedang terbentuk di langit di depan-depan mata kami! Aku percaya inilah cara Tuhan mengesahkan kepada kami yang berkumpul dalam nama-Nya bahawa Dia akan memenuhi Malaysia dengan kemuliaan-Nya sambil kita berdoa untuk Malaysia," kata bekas pastor dan pengasas Cornerstone Resources Berhad di Sabah.

Pastor Lam mengulas tentang penyertaan para peserta di Sri Aman. "Hatiku sangat teruja dan penuh sukacita melihat dewan yang penuh sesak dengan lebih 3000 orang Kristian Iban yang telah berkumpul sebagai satu tubuh di dewan masyarakat di Sri Aman. Apa yang menakjubkan dan istimewa ialah ianya suatu pertemuan untuk tua dan muda, lelaki dan perempuan, dari bandar dan kampung, kaya dan miskin dari semua denominasi gereja dan latar belakang kehidupan."

"Ada dua faktor penyatuan iaitu mereka adalah Iban dan mereka adalah Kristian. Dan apabila penyembahan yang rancak bermula, dan seluruh dewan dipenuhi dengan pujian dan penyembahan dalam bahasa Iban, aku dapat rasakan kebanggaan mereka sebagai orang Iban, kerinduan mereka yang kuat untuk kesatuan, dan kerinduan yang mendalam agar Tuhan membawa kebangunan rohani kepada orang-orang Iban."

(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel majalah Asian Beacon Jun/Julai 2012 bertajuk, "Gathering the Ibans" penulisan Peter de Run)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Oh Tuhan, semoga Engkau terus menyalakan kebangunan rohani yang dahsyat di kalangan bangsa Iban, dan bangsa-bangsa di Malaysia!"