Selasa, 11 September 2012

Al Braca - Menyelamatkan Jiwa Sampai Akhir (Di World Trade Center 11 September 2001)

Al Braca bekerja di World Trade Centre
Pada pagi 11 September 2001, Jeannie Braca memasang televisyen untuk mengikuti laporan cuaca, tetapi sebaliknya dia mendengar laporan bahawa sebuah kapalterbang telah melanggar World Trade Centre. Suami Jeannie, Al, bekerja sebagai seorang pedagang bon perniagaan untuk Cantor Fitzgerald. Pejabatnya di tingkat 105, Menara Satu. Jeannie tidak bercakap dengan Al sejak dia pergi kerja pada pagi itu.

"Biasanya kami akan banyak bercakap di telefon - mungkin lima atau 10 kali sehari. Kami akan berdoa bersama setiap masa, apabila menghadapi pelbagai keadaan," jelas Jeannie. "Kami hanya berpindah ke rumah baru kami, dan pada pagi itu aku sedang mengeluarkan barang-barang dari kotak dan menyusunnya."

Telefon mula berdering, tetapi bukannya Al. Kawan-kawan dan saudara-mara yang risau menelefon Jeannie samada dia telah mendengar daripada suaminya. Ramai daripada mereka telah datang ke rumah keluarga Braca untuk menemani Jeannie, termasuklah empat orang anaknya: David, 31; kembar Christina dan Deanna, 28; dan Christopher 16.

Al dan isterinya Jeannie
dengan bayi kecil
Setahun sebelumnya, Jeannie telah mengalami serangan jantung yang kuat yang mengakibatkan hanya 16 peratus daripada jantungnya yang masih berfungsi dengan baik. Sahabat-handai dan keluarga bimbang bahawa tekanan ini terlalu berat baginya. Apabila kapalterbang kedua pula melanggar bangunan, mereka memadamkan televisyen. Sebenarnya Jeannie sudah mula merasa tidak enak dan menghadapi kesukaran bernafas. Mereka tidak memberitahunya apabila mereka mendengar berita bahawa kedua menara itu telah runtuh.

Al terselamat dalam pengeboman World Trade Center pada tahun 1993 - dan juga telah menolong seorang wanita yang mengidap asma keluar dengan selamat dari bangunan itu. Jeannie tidak berfikir bahawa kali ini akan berbeza keadaannya. "Aku tahu dia akan menolong dan melayani orang," katanya, "tetapi aku tak sangka sesaatpun bahawa dia tidak akan pulang."

Lewat petang itu, setelah Jeannie menerima rawatan perubatan, anak-anak lelakinya memberitahunya berita tentang Menara berkembar itu. Ahli-ahli keluarga masih berharap bahawa Al hanya tercedera. Mereka menelefon hospital-hospital di kawasan itu untuk mengesan dia. Tetapi kata Jeannie. "Pada waktu aku pergi tidur malam itu, aku tahu bahawa dia tidak lagi akan kembali." Seminggu kemudian, tubuh Al telah ditemui dalam reruntuhan menara itu.

Pada 11 Sep 2001, kumpulan pengganas membuat serangan dengan
menghempaskan kapalterbang ke menara World Trade Centre
di New York menyebabkan kematian hampir tiga ribu orang

Kemudian mulalah datang secara sedikit-sedikit laporan daripada kawan-kawan dan para kenalan. Ada beberapa orang  di tingkat 105 telah membuat panggilan terakhir atau menghantar emel terakhir kepada orang yang tersayang mengatakan bahawa ada "seorang lelaki" sedang memimpin orang dalam doa. Beberapa orang menyebut nama Al. Keluarga Braca mendapat tahu bahawa Al sesungguhnya sedang melayani orang semasa serangan itu. Apabila dia menyedari bahawa mereka telah terperangkap dalam bangunan itu dan tidak dapat diselamatkan lagi, Al menyampaikan Injil kepada sekumpulan 50 orang rakan sekerja dan memimpin mereka dalam doa.

Berita ini tidak menghairankan Jeanie. Selama bertahun-tahun, dia dan Al sudah berdoa untuk keselamatan rakan-rakan sekerjanya. Menurut Jeannie, Al membenci pekerjaannya. Dia tidak tahan dengan suasana kerja di situ. Suasana di tempat kerjanya sangat bertentangan dengan nilai-nilai Kekristianannya. Tetapi dia tidak ingin berhenti kerja di situ. Dia yakin bahawa Tuhan mahu dia terus berada di situ, untuk menjadi terang dalam gelap. Sampai akhirnya, Al menyaksikan imannya dengan rakan-rakan sekerjanya, ramai daripada mereka yang secara menyindir memanggilnya "Reverend."

Rakan sekerjanya sering
memanggilnya "Reverend"
"Mereka mengolok-olokkan dia," Jeannie mengingat kembali, "tetapi apabila hal-hal yang buruk berlaku dalam hidup mereka, mereka selalu meminta doa daripada Al."

Dia berdoa untuk mereka dan menerangkan betapa pentingnya memiliki hubungan peribadi dengan Yesus Kristus.

Al sendiri telah menjadi Kristian melalui suatu pengalaman yang sangat mencabar. Dia selalu menceritakan hal itu dengan rakan-rakan sekerjanya. Apabila anak mereka, Christina yang berusia 4 tahun disahkan doktor dengan suatu penyakit darah yang berbahaya dan jarang ditemui, kedua-dua Al dan Jeannie telah memanggil kepada Tuhan untuk meminta pertolongan. Mereka mula membaca Alkitab dalam usaha mencari jawapan. Ahli-ahli keluarga memberitahu Jeannie tentang Kristus, dan seterusnya pula Jeannie memberitahu kepada Al. Sebagai jawapan kepada doa-doa mereka, Christina disembuhkan secara ajaib.

Mulai saat itu, pasangan Braca itu membuat komitmen untuk menyaksikan kasih Kristus kepada semua orang yang mereka temui.

"Kami mahu menjadi cahaya yang menerangi dan membiarkan orang  melihat Yesus di dalam kami," kata Jeannie. Mereka terlibat secara aktif di sebuah gereja tempatan, memimpin dalam beberapa kelompok persekutuan suami-isteri. Al telah dilantik menjadi diaken dan diberi tanggungjawab menyelia pemuridan untuk pengikut-pengikut baru Kristus.

Gary Cuozzo dari Christian Athletes International telah berkesempatan mengenali Al dan Jeannie dengan lebih rapat. Keluarga Braca telah tinggal di rumahnya selama enam minggu pada musim panas semasa rumah baru mereka dibina.

"Dia hidup untuk melayani Tuhan"
"Al seorang yang menakjubkan," kata Gary. "Dia penuh dengan sukacita, senang didampingi, selalu menghayati hidup dengan  sepenuhnya. Dia suami yang hebat, ayah yang hebat dan teladan yang hebat bagi orang lain. Dia mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa dan akal budinya, seperti yang dikatakan Firman. Dia hidup untuk melayani Tuhan dan melayani orang lain."

Al telah menyentuh ramai jiwa di tempat kerjanya, di gerejanya dan masyarakatnya. Tetapi keluarganya mengambil tempat pertama, jelas Jeannie. "Suamiku selalu mengajarku bahawa pelayanan bermula di rumah. Anda perlu menjadi teladan kepada anak-anakmu sendiri dan menjadi terang di rumahmu sendiri. Ianya bermula di sini dan dari situ keluar ke dunia. Apabila aku sakit selama hampir dua tahun, suamiku melayani  pertamanya kepadaku dan anak-anakku, dan kemudian dia melayani kepada orang lain."

Pada 11 September, di tengah-tengah kekecohan itu, keluarganya yang menjadi keutamaan kepada Al. Oleh kerana tidak dapat menghubungi mereka melalui telefon, Al telah meminta seorang juru telefon MCI untuk menghubungi keluarganya. "Beritahu mereka aku mengasihi mereka," katanya. Juru telefon itu mengambil lebih daripada sebulan untuk menghubungi keluarga Braca, tetapi mesej itu telah membawa kepada mereka penghiburan yang amat diperlukan.

"Hal terakhir yang dilakukan oleh ayahku membabitkan dua perkara yang paling penting kepadanya - Tuhan dan keluarganya," kata Christopher. "Dia suka membawa orang kepada Kristus. Itu telah mengubati banyak rasa sakit dan hiba."