Nick Vujicic yang telah dilahirkan tanpa lengan dan kaki |
Penginjil Nick Vujicic, yang berucap di Gereja Saddleback di California pada Ahad lepas, telah dilahirkan tanpa lengan dan kaki, dan telah menyoal Tuhan selama lapan tahun mengapakah harus begitu. Jawapannya telah mengubah hidupnya, dan melaluinya telah membawa perubahan kepada puluhan ribu orang yang lain.
Untuk Nick yang berusia 30 tahun, presiden pengasas dan Ketua Urusan Eksekutif dalam pertubuhan bukan bermotif keuntungan Life Without Limbs, perkara yang paling penting dalam hidup ialah mengerti mengapa Tuhan menciptakannya tanpa lengan dan kaki. Berbicara di gereja Pastor Rick Warren di Lake Forest pada hari Ahad, penceramah motivasi ini mengatakan dia menghabiskan lapan tahun menanya Tuhan, "Mengapa? Mengapakah aku dilahirkan begini? Aku tidak dapat mengerti bagaimana Engkau dapat mengatakan Engkau mengasihi aku sementara Engkau membiarkan aku tinggal dalam kesengsaraan ini."
Nick Vujicic semasa kecil di atas skateboard (papan selaju) |
Vujicic, yang telah menetap di California sejak 2007, telah dilahirkan di Brisbane, Australia. Ibubapanya - Pastor Boris Vujicic dan jururawat Dushka Vujicic - tidak diberikan apa-apa penerangan kesihatan atau petanda tentang kelahirannya yang tanpa lengan dan kaki. Tetapi Nick mendapat jawapan kepada doa-doanya yang terdesak.
Yohanes 9:1-3 berbicara secara khusus kepadanya. Petikan Perjanjian Baru itu berbunyi, "Waktu Yesus sedang lewat, Ia melihat seorang yang buta sejak lahirnya. Murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya: "Rabi, siapakah yang berbuat dosa, orang ini sendiri atau orang tuanya, sehingga ia dilahirkan buta?" Jawab Yesus: "Bukan dia dan bukan juga orang tuanya, tetapi kerana pekerjaan-pekerjaan Allah harus dinyatakan di dalam dia."
Buku "Life Without Limits" penulisan Nick Vujicic |
Ketika mencapai umur 19 tahun, Nick sudah mulai menggenapi impiannya untuk memberi dorongan kepada orang lain dan membawakan kepada mereka Injil Yesus melalui ceramah motivasi dan kesaksiannya bagaimana Tuhan telah mengubah hidupnya dan memberi kepadanya masa depan dan harapan.
"Keinginan untuk memiliki lengan dan kaki tetap ada," Vujicic mengaku. Pada mulanya, dia berfikir, "Tuhan, kalau Engkau memberi aku lengan dan kaki, aku akan pergi ke seluruh dunia dan bersaksi tentang kuasa-Mu kepada dunia'" Dia berkata bahawa dia masih mengalami keadaan pasang dan surut dalam kehidupan. "Aku juga seperti kamu."
Vujicic berkata dia gagal terhadap Tuhan pada setiap hari, tetapi dia bersandar pada Filipi 1:6 "Akan hal ini aku yakin sepenuhnya, yaitu Ia, yang memulai pekerjaan yang baik di antara kamu, akan meneruskannya sampai pada akhirnya pada hari Kristus Yesus."
Vujicic mengingati satu ketika dia dan beberapa belas kawan Kristiannya pernah berdoa selama 90 minit untuknya mendapat lengan dan kaki di sebuah ladang di kawasan hutan di India. Mereka telah membuat lengan dan kaki dengan tanah liat dan berdoa itu akan ditukarkan menjadi darah dan daging. Itu tidak berlaku, tetapi dia memiliki damai di hatinya apabila dia melihat seekor helang berterbangan di langit sepanjang 90 minit itu. Dia katakan bahawa itu seperti seolah-olah Tuhan sedang tersenyum, dan gembira dia memiliki iman untuk berdoa.
"Anda sedang berdoa untuk sesuatu, tetapi bagaimana jika Tuhan mengatakan 'tidak' kepada anda? soalnya. "Adakah Dia masih Tuhan? Ya. Adakah Dia akan mensesiakan kesakitanmu? Tidak." Dia menyebut Roma 8:28, "Kita tahu sekarang, bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana Allah."
Nick Vujicic melawat di luar negeri |
Dia katakan bahawa semasa dia berumur 10 tahun, dia ingin mengambil nyawanya sendiri, dan ingin bertemu seorang lagi yang seperti dia supaya dia tidak keseorangan. Lima tahun yang lalu di California, dia akhirnya bertemu seorang bayi bernama Daniel, yang juga dilahirkan tanpa lengan dan kaki... "betul-betul sepertiku." "Aku tidak mendapat mukjizat, tapi aku boleh menjadi mukjizat kepada Daniel... seorang abang kepada Daniel sepanjang hidupnya... mendorongnya."
Nick berkata jika dia benar-benar hidup tanpa lengan dan kaki sepanjang hidupnya "semata-mata supaya aku dapat mendakap Daniel di syurga, itu sudah cukup berbaloi."
"Aku telah menemukan tujuan kewujudanku, dan juga tujuan keadaanku. Pasti ada sebabnya mengapa anda perlu mengharungi ujian api," katanya dalam laman web pelayanannya. "Jika Tuhan boleh menggunakan seorang lelaki yang tidak punya lengan dan kaki, Dia pasti akan menggunakan mana-mana hati yang rela!"
(Diterjemahkan daripada artikel The Christian Post bertarikh 3 September 2012 berjudul "Nick Vujicic on Why God Made Him Limbless" yang ditulis oleh Anugrah Kumar)