"Duit Pisang" yang digunakan di bawah Pemerintahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua (1941 - 1945) |
Semasa aku kecil, aku sering berkunjung ke rumah nenekku. Pada satu kali, makcikku yang tinggal bersama nenek menunjukkan kepadaku sekeping wang yang belum pernah kulihat. Wang itu dihiasi lukisan pokok dan pohon pisang di tengah-tengahnya dan tulisan "The Japanese Government" dan "Ten Dollars" di sebelah kirinya.
"Inilah wang Jepun ketika Perang Dunia Kedua," jelas makcikku. "Ketika Jepun memerintah, semua orang diwajibkan gunakan wang ini."
"Datuk saudaramu ada satu peti penuh dengan wang ini", tambah makcikku, "tapi sayang sekali selepas Jepun kalah peperangan, wang itu tak laku lagi." Dalam fikiran mudaku, aku cuba membayangkan peti datuk saudaraku yang dikatakan penuh dengan wang Jepun itu.
Nota-nota bank pisang yang dimilik oleh orang tahanan awam di Kem Batu Lintang, Sarawak, Borneo |
Mengikut catitan sejarah, setelah Jepun menawan Malaya, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) pada 1941, kerajaan tentera Jepun telah menerbitkan wang Jepun itu untuk digunakan oleh penduduk di wilayah-wilayah itu. Wang itu seringkali disebut "duit pisang" oleh kerana gambar pohon pisang yang tertera di wang 10 dolarnya.
Selepas Jepun kalah peperangan pada 1945, pihak British kembali mengambil alih pemerintahan di wilayah-wilayah itu, dan mengambil keputusan tidak meneruskan penggunaan wang Jepun itu. Walaupun pihak British memberi tempoh sementara untuk penerimaan wang itu sehingga 1949, masih ramai yang seperti datuk saudaraku, tidak sempat menggunakan atau menukar "duit pisang" yang ada dalam simpanan mereka. Mereka telah dapat mengumpulkan banyak "duit pisang" tapi sayang sudah terlambat... duit itu tidak boleh dipakai lagi.
Kisah "duit pisang" datuk saudaraku mengingatkanku satu pelajaran rohani. Sewaktu di bumi ini, wang dan harta yang kita kumpulkan adalah sah dan boleh digunakan selagi kita hidup. Tetapi apabila kita beredar dari dunia ini ke Pemerintahan yang lain dan kekal, semua wang dan harta dunia ini tidak lagi sah digunakan di situ. Maka dengan itu tidaklah hairan nasihat Yesus agar kita mengumpulkan harta di syurga dan bukan semata-mata di bumi....