William Borden |
William Borden, lulusan daripada Universiti Yale telah melepaskan harta kekayaan keluarganya, antara yang terbesar di Amerika, untuk menjadi missionari ke China. Dia sampai sejauh Mesir, dan meninggal dunia akibat penyakit spinal meningitis - dan hanya berusia dua puluhan - tetapi bagi William Borden, dalam apa keadaan pun, sesungguhnya "tiada perkiraan, tiada pengunduran dan tiada penyesalan" dalam penyerahannya kepada Tuhan.
Pada tahun 1904, William Borden, waris kepada perniagaan tenusu Borden yang ternama, tamat pengajian sekolah menengahnya di Chicago. Sebagai hadiah tamat pengajian, ibubapanya menghantarnya ke pelayaran keliling dunia. Semasa dalam pelayaran itu, Tuhan mula membuka mata dan hati William kepada orang ramai yang belum diselamatkan di sekeliling dunia. William menulis kepada ibunya tentang keinginannya untuk menjadi mubaligh (utusan Injil). Dalam satu daripada surat awalnya dia menulis, "Aku fikir Tuhan sedang memanggil aku untuk menjadi mubaligh." Dalam suratnya yang terakhir dia menulis, "Aku tahu Tuhan sedang memanggil aku untuk menjadi mubaligh." Seorang kawan menyatakan rasa hairannya bahawa William mahu mensia-siakan hidupnya dengan memilih menjadi mubaligh.
William Borden (dua dari kanan) bersama kawan-kawan di Universiti Yale |
Apabila dia kembali, William memasuki Universiti Yale di mana dia menjadi penggerak dalam memulakan doa dan pembelajaran Alkitab di kampus serta usaha-usaha penginjilan. Dia juga melayani golongan yang malang di jalanan New Haven dan mengasaskan Yale Hope Mission. Henry Wright, seorang profesor di Yale mengatakan, "Aku percaya sungguh bahawa Yale Hope Mission telah melakukan lebih untuk meyakinkan segala lapisan masyarakat di Yale tentang kuasa dan keupayaan Kekristianan untuk memperbaharui insan dan masyarakat daripada apapun usaha lain di Universiti." Sewaktu di universiti, William membuat keputusan melepaskan harta kekayaannya demi untuk misi Injil dan menulis dua perkataan di mukasurat belakang yang kosong di Alkitabnya - "No Reserves" (Tiada Perkiraan). William ingin hidup dengan iman dan bersandar kepada Tuhan untuk segalanya dalam hidupnya.
Keratan akhbar mengenai William Borden melepaskan harta kekayaan keluarga untuk menjadi missionari ke China |
William mengikuti konferensi Gerakan Pelajar Sukarelawan di Nashville di mana dia mendengar tentang jumlah yang besar orang Muslim di China (di kalangan suku Kangsu). Dia merasakan bahawa Tuhan mahu dia pergi ke China di mana dia berharap dapat melayani di kalangan orang Muslim. Apabila dia tamat pengajian di Yale, dia mendapat banyak tawaran kerja yang lumayan pendapatannya, termasuk kesempatan untuk mengambil alih perniagaan keluarganya yang bernilai jutaan dolar. Bagaimana pun, dia bertekad untuk menggenapi panggilan Tuhan untuknya menjadi missionari. Sekali lagi dia membuka Alkitabnya ke mukasurat belakang yang kosong dan menulis dua lagi perkataan - "No Retreats" (Tiada Pengunduran).
Buku "Borden of Yale" |
William telah belayar untuk ke China pada 17 Disember 1912. Dia singgah di Mesir untuk mempelajari bahasa Arab supaya dia lebih siap untuk melayani di kalangan orang Muslim. Semasa di Mesir, dia dijangkiti spinal meningitis (yang menyebabkan bengkak di selaput otak dan saraf tunjang) dan meninggal dunia pada 9 April 1913 pada usia dua puluh lima tahun. Pengajian yang bertahun-tahun, masa depan yang cerah, dan William tidak sempat sampai ke China. Charlie Campbell, salah seorang sahabat sekolej William, menerima Alkitabnya selepas kematiannya. Apabila dia membukanya, dia menemukan apa yang telah ditulis oleh William di mukasurat belakang yang kosong itu. Tambahan kepada kata-kata "No Reserves" (Tiada Perkiraan) dan "No Retreats" (Tiada Pengunduran), yang telah ditulis oleh William semasa di universiti, dia menemukan dua lagi perkataan yang telah ditulis oleh William sebelum dia meninggal - "No Regrets" (Tiada Penyesalan).
Walaupun William Borden tidak sempat sampai ke ladang misi di China, dia telah menyentuh jiwa beratus-ratus pelajar di Universiti Yale dan Princeton Divinity School yang kemudian menjadi mubaligh. Dan oleh kerana berita kematiannya telah disiarkan di seluruh dunia, ramai orang telah menulis surat kepada keluarganya mengucapkan bagaimana hidup mereka telah dipengaruhi oleh kisah iman dan komitmen William kepada pekerjaan Kristus. Kisahnya terus menginspirasikan pelayanan tanpa mengira kepentingan diri dalam pekerjaan Kristus.