Selasa, 29 Januari 2013

Michael W. Smith - Penulis dan Penyanyi Lagu Kristian Terkenal dari Amerika

Penulis lagu dan penyanyi lagu Kristian terkemuka, Michael W. Smith

Dari seorang kanak-kanak Amerika yang aktif dalam besbol dan kegiatan gereja keluarganya, dia telah muncul menjadi salah seorang penyanyi Kristian yang paling disanjung dalam sejarah! Dia menulis lagu pertamanya pada usia lima tahun dan pada umur sepuluh tahun, dia membuat keputusan menyerahkan hidupnya kepada Yesus. Begitupun, dia tidak pernah menyangka akan menjadi penyanyi tetapi sewaktu kanak-kanak dia berimpian untuk menjadi pemain besbol profesional.

Kulit album pertama Michael yang
berjudul "Michael W. Smith Project"
Selepas pengajian satu semester di Universiti Marshall di West Virginia, dia berhenti pengajian kolejnya untuk memulakan kerjaya dalam muzik. Seterusnya pada tahun 1992, dia menerima ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Muzik daripada Kolej Alderson-Broaddus di Philippi, West Virginia.

Selain daripada kebangkitannya dalam kerjaya muzik sebagai seorang penulis lagu, dia juga telah bertemu dengan isterinya semasa kerjayanya yang diceritakan dalam buku yang ditulisnya, berjudul  "It's Time To Be Bold" berkenaan hidupnya antara tahun 1979-1981. Berikut ini kisah menarik tentang awal kerjayanya dan bagaimana dia bertemu dengan isterinya:

Semasa bermain keyboard untuk kumpulan Higher Ground, aku menandatangani kontrak pertamaku untuk menulis lagu bagi Paragon/Benson Publishing Company. Rasanya seperti aku sudah sampai di syurga. Aku mendapat $200 seminggu untuk melakukan apa yang aku suka. Menulis lagu sebagai sumber pendapatan bererti aku tidak perlu lagi melayan pelanggan di restoran, atau bekerja di Coca Cola, atau menanam pokok untuk syarikat landskap.

Michael dengan isterinya, Debbie
Aku merasa seperti kehidupanku sudah ke tahap terbaik, aku tidak perlu Tuhan untuk melakukan apa-apa lagi untukku. Aku tidak mencari kontrak untuk membuat rakaman, gaji yang lebih tinggi ataupun teman wanita - apalagi seorang isteri. Aku rasa sungguh puas menulis muzik sambil aku mencurah tenaga enam belas jam sehari. Kemudian suatu petang, ketika aku bekerja di pejabatku, Deborah Kay Davis berlalu di sampingku. 

Aku fikir dialah wanita yang paling cantik yang pernah kutemui. Apabila dia berlalu di sampingku, semuanya menjadi nyata bagiku. Aku sungguh tertawan. Perasaan jatuh cinta menguasaiku, dan dengan cepat-cepat aku mengambil telefon dan memanggil ibuku di West Virginia. 

"Mak, aku tidak dapat percaya ini. Mak juga takkan dapat percaya ini. Aku baru nampak gadis yang akan kukahwini."

"Siapa namannya?"

"Aku tidak tahu, Mak. Aku belum bertemu dengannya lagi. Aku akan dapatkan namanya dan telefon Mak nanti."

Michael dan Debbie pertama kali
bertemu di tempat kerja Michael
Kasihan ibuku! Mungkin dia menyangka aku sudah tidak waras. Sebenarnya aku tak pernah begitu jelas dalam pemikiranku. 

Aku keluar dari pejabatku untuk mencari gadis itu di gudang. Aku tidak perlukan Sherlock Holmes untuk menolongku mengesan lokasinya, akhirnya aku sampai di luar bilik air wanita, sambil menantinya muncul. Dia pun muncul. Aku memperkenalkan diriku. Selepas tiga minggu setengah, kami sudah bertunang - dan bernikah empat bulan selepas itu!

Bagaimanakah Michael beralih dari penulis lagu menjadi penyanyi? Pada tahun 1982, Michael diminta bermain keyboard dalam band muzik Amy Grant yang sudah terkenal sekarang. Kagum dengan bakat Michael, pengurus-pengurus Amy - Mike Blanton serta Dan Harrell - memulakan Reunion Records dan mengikat perjanjian dengan Michael dan Kathy Troccoli, seorang lagi penyanyi berbakat. 

Rakaman pertama Michael telah disiapkan pada 1983, berjudul "Michael W. Smith Project." Dia bekerja rapat dengan isterinya, Debbie, di mana dia menulis muziknya, dan Debbie menulis liriknya. "Friends," lagu yang menjadi hit bermula dari album ini.





Dari 1983, album-album dan buku-buku terus dikeluarkan! Rekod jualannya sepanjang karir melebihi  sepuluh juta. Pada tahun 2004, dia memenangi Anugerah Grammy untuk "Worship Again" bagi album  terbaik pop atau kontemporari Kristian, dan Anugerah CBA Retailers Choice untuk Album Pujian & Penyembahan Terbaik untuk tahun 2003. Dia juga memegang rekod album paling cepat laris di pasaran pada 2001 dan 2002. Dia secara peribadi telah memenangi lebih 40 Anugerah Dove, bilangan yang mengkagumkan, dan juga pernah dinamakan salah seorang "50 Most Beautiful People" oleh People Magazine.


Michael W. Smith telah memenangi lebih daripada 40 Anugerah Dove

Di tengah-tengah kerjaya muziknya yang berkembang maju, dia dan Debbie memiliki lima orang. anak. Pada tahun 1994, dia telah mengasaskan kelab remaja bernama Rocketown untuk menyediakan tempat yang selamat dan penuh kasih untuk pertemuan remaja. Kelab itu dilengkapi dengan dewan tari, meja-meja biliard dan kedai kopi. Walaupun ianya telah ditutup tiga tahun selepas dibuka, tapak baru telah dibina dan telah dibuka semula pada 2003 di pusat bandar Nashville. Dia juga telah membantu dalam perintisan sebuah gereja di Nashville bernama New River Fellowship Church.

Dengan semua yang telah dilakukannya, bagi Michael yang paling penting, dia ingin diingati sebagai "seorang yang takut akan Tuhan dan yang mengasihi isteri dan anak-anaknya."





Berita baik! Michael Smith akan datang ke Malaysia pada 24 Februari 2013. Inilah konsert pertama Michael di Malaysia. Separuh daripada tiketnya sudah pun dijual dua minggu yang lepas! Dapatkan tiket anda dengan melawat laman Konsert Michael W. Smith di Malaysia.


(Diterjemah daripada artikel Christianity Malaysia bertajuk "Michael W. Smith - Songwriter and Singer of All Times!" bertarikh 26 Januari 2013 penulisan Adeline Lum CM)