Selasa, 22 Januari 2013

Projek Penuh Cinta Mark Burnett dan Isteri - Drama Bersiri "The Bible" di History Channel

Roma dan Mark Burnett
Berbulan sebelum siri televisyen mereka, "The Bible" ke udara untuk penayangan sulung di rangkaian The History Channel, penerbit Hollywood, Mark Burnett, dan isterinya, Roma Downey, sedang mempromosikan drama bersiri pendek ini dengan mengunjungi gereja-gereja. Pada Ahad lepas, mereka singgah di gereja yang digembalakan Pastor Joel Osteen di Houston, Texas.

Burnett, yang merupakan pencipta rancangan realiti TV seperti "Celebrity Apprentice," "Shark Tank," "Survivor" dan "The Voice," serta Downey, yang dikenali dengan lakonannya selama 10 tahun dalam drama bersiri "Touched By An Angel," adalah kawan-kawan gembala-gembala sidang Gereja Lakewood, Joel dan Victoria Osteen.

Pasangan itu menunjukkan sedutan-sedutan daripada drama bersiri itu di kebaktian pagi di Lakewood Ahad lepas, dan menghadiahkan kepada suami-isteri Osteen sebuah Alkitab King James tahun 1683 menurut Houston Chronicle. Joel dan Victoria Osteen telah mengunjungi Downey dan Burnett semasa penggambaran siri itu di Magribi. 

Mark Burnett dan Roma menghadiahkan Alkitab King James tahun 1683
kepada Pastor Joel Osteen dan Victoria semasa di Lakewood Church

Bulan lepas, Pastor Joel memuji video promosi baru yang dimuatkan oleh penulis lagu dan penyanyi rapper, Cee Lo Green berdasarkan drama bersiri pendek itu dan memaparkan lagu "Mary Did You Know." "Anda akan mendapat inspirasi daripada nyanyian Cee Lo Green yang indah untuk lagu "Mary Did You Know" dari drama siri "Bible," begitu ditulis Joel Osteen Ministries di mukasurat rasmi Facebook Pastor Joel, berkongsi dengan lebih daripada 2,641,000 pengikutnya link kepada video itu yang telah ditonton oleh ratusan ribu orang di Youtube.





Siri ini akan ditayangkan pertama kalinya pada 3 Mac 2013, di History Channel dan akan dikeluarkan dalam bentuk DVD dan Blu-ray.

Berkahwin sejak 2007, pasangan itu terfikir untuk menerbitkan siri itu berdasarkan Alkitab kira-kira tiga tahun yang lalu.

"Aku telah mengasihi Yesus dalam seumur hidupku," kata Downey kepada Christian Post bulan lepas. "Ini adalah projek penuh rasa cinta untuk Mark dan diriku."

Pasangan suami isteri Burnett dan Downey bergambar
dengan kostum dari drama bersiri "The Bible"
Downey yang di samping menjadi penerbit bersama, juga akan memainkan peranan Maria, ibu kepada Yesus, menerangkan bahawa proses mengenalpasti pelakon untuk siri "The Bible" adalah mustahil tanpa adanya doa.

"Proses pemilihan pelakon dimulakan dengan doa," kata pelakon wanita itu, menerangkan cabaran dan kepentingan mencari pelakon yang tepat untuk memainkan watak Yesus dalam siri itu. "Pada waktu itu, kami sedang mencari lokasi-lokasi yang sesuai di Magribi dan sedang "mencari-cari Yesus,'" katanya sambil bersenda. "Enam minggu sebelum penggambaran bermula, kami masih belum ada Yesus."

Burnett telah ditemubual pada bulan Oktober oleh pastor dan penulis buku bestseller, Rick Warren, untuk suatu segmen rakaman yang ditunjukkan dalam suatu persidangan bisnes di Gereja Saddleback di Black Forest, California.

"Pada masa itu, aku memiliki ketakutan besar, tapi ketakutanku bukanlah tentang kegagalan projek itu. Ianya mengenai mengimbas kembali kemudian kalau aku tidak melakukan apa-apa. Itu ketakutan yang serius. Ketakutan tidak memberikan sumbangan yang bererti, menjadi tidak berimpak, mengenai mengimbas kembali (dan memikirkan) aku tidak bangkit menghadapi cabaran. Secara jujur, aku benar-benar takut akan itu, dan rasa kesedihan seperti aku telah mengecewakan diriku dan keluargaku, dengan tidak mengambil risiko melakukannya, lebih besar daripada perasaan tenang tetapi tidak melakukan apa-apa," kata Burnett.

Burnett dan Downey berbincang semasa
penggambaran drama bersiri "The Bible"
Pertubuhan World Evangelical Alliance telah menjalankan iklan di Times Square sejak sebelum Krismas mengenai drama bersiri mini ini, dan akan meneruskannya sehingga Mac apabila siri itu bermula.

Dr. Geoff Tunnicliffe, pengarah urusan dan Setiausaha Agung WEA, telah terdahulu memberitahu The Christian Post bahawa iklan-iklan itu bermaksud untuk mengarahkan semula perhatian orang ramai kepada erti sebenar Krismas. "Klip iklan itu indah. Ianya menunjukkan kelahiran Yesus. Ianya menyampaikan kasih dan harapan mesej Krismas. Ianya mengembalikan Kristus sebagai perhatian utama Krismas."

(Diterjemah daripada artikel The Christian Post berjudul, "Mark Burnett Promotes Bible Miniseries at Joel Osteen's Megachurch" bertarikh 21 Januari 2013 penulisan Anugrah Kumar)