Khamis, 10 Januari 2013

Kesaksian Bethany Hamilton: "Imanku Segala-galanya Bagiku!"

Bethany Hamilton
Berikut ini ialah kesaksian Bethany Hamilton yang mengalami serangan jerung sewaktu meluncur air di Pulau Kauai, Hawaii pada usia 13 tahun pada 31 Oktober 2003: 

Pagi Yang Tenang

Ianya berlaku secara tiba-tiba tanpa disangka.

Langsung tiada apa-apa tanda amaran, sedikit himbauan bahaya pun tiada. Ombak waktu itu kecil dan tidak seragam, dan aku sedang dihayun bersama ombak, bersantai di atas papan luncurku dengan lengan kiriku terjuntai di air laut yang sejuk. Aku masih ingat apa yang kufikirkan ketika itu, "Aku harap ombaknya akan beransur kuat..."

Serangan Jerung

Ianya berlaku pantas, dalam sedetik waktu. Aku merasa tekanan yang kuat dan beberapa tarikan yang sederas kilat. Kemudian aku melihat dengan terkejut sambil air di sekelilingku bertukar merah galak. Entah bagaimana tetapi aku masih dapat bertenang. Lengan kiriku sudah tiada lagi hampir ke paras ketiak, bersama sekerat besar berbentuk sabit dari papan luncurku yang berwarna merah, putih dan biru...


Papan luncur Bethany yang juga telah dibaham jerung

"Tuhan Tidak Pernah Meninggalkanmu"

Aku ingat dengan jelas sekali apa yang dikatakan paramedik Kauai yang berkata kepadaku di ambulans: Dia berkata-kata dengan lembut dan memegang tanganku sambil ambulans meninggalkan tempat letak kereta di tepi pantai. Dia berbisik ke telingaku, "Tuhan tidak akan pernah meninggalkan engkau atau membuang engkau." Kata-katanya benar sekali.

Kepercayaanku

Bethany sewaktu menerima rawatan
di hospital selepas serangan jerung
Aku percaya kepada Tuhan. Tiada orang yang memaksaku percaya. Aku fikir bahawa kita tidak boleh atau patut memaksa seseorang untuk mempercayai sesuatu. Dan walaupun ibubapaku telah mengajarku tentang Tuhan dan telah membaca kisah-kisah Alkitab kepadaku dari sejak usia kecilku... ianya adalah pilihanku untuk menjadi orang yang percaya kepada-Nya. Bagiku, memiliki iman dalam Tuhan adalah sesuatu yang harus dilakukan oleh setiap peribadi untuk dirinya sendiri. Ini adalah hubungan peribadi anda dengan-Nya, ikatan hubungan yang seunik cap jari.

Setengah-setengah orang tidak fikir banyak tentang perkara seperti ini kecuali apabila sesuatu yang buruk berlaku ke atas mereka, atau seperti ibubapaku, apabila mereka lebih tua. Tetapi aku boleh ingat meletakkan kepercayaanku dalam Yesus Kristus apabila aku masih kanak-kanak, mungkin sekitar lima tahun.


Buku "Soul Surfer" yang
telah ditulis oleh Bethany
Imanku "Segala-galanya" Bagiku

Apabila orang menanyaku tentang bagaimana pentingnya iman dalam Kristus bagiku, aku biasanya menjawab dengan satu perkataan: "segala-galanya!" Itu adalah benar sebelum serangan jerung itu dan juga selepasnya. Dan aku benar-benar percaya bahawa iman inilah yang memainkan peranan besar untukku mengatasi kejadian serangan jerung itu. Adalah sangat membantu untuk mengetahui walaupun kita langsung tidak mengerti mengapa sesuatu berlaku dalam hidup kita, seorang Peribadi di atas mempunyai rancangan agung dan sedang memperhatikan kita. Adalah satu kelegaan besar dapat meletakkan kepercayaan kita kepada Tuhan dan menanggalkan beban itu daripada bahu kita.

Kembali Meluncur Lagi

Rencanaku untuk menjadi seorang peluncur air profesional mendapat tamparan cukup hebat pada pagi Haloween itu. Ianya merupakan pengalaman tsunami peribadiku. Pada hari-hari, minggu-minggu dan bulan-bulan yang berikutnya, aku perlu melakukan banyak pemulihan. Seringkali aku rasa takut dan tercabar. Dan aku tidak akan berbohong kepadamu: dalam beberapa keadaan, aku masih merasa begitu. Aku telah berusaha kuat untuk menjadi peluncur profesional, dan kini bersaing dengan peluncur-peluncur wanita terbaik di dunia.


"Aku tahu Tuhan mengasihiku
dan mempunyai rencana
untuk hidupku" 
Tuhan Mempunyai Rencana Untuk Hidupku

Bagiku, mengetahui bahawa Tuhan mengasihiku dan bahawa Dia mempunyai rencana untuk hidupku, yang tidak boleh dicuri oleh mana-mana jerung dan tidak boleh digoncang oleh apa saja keputusan pertandingan, adalah seperti memiliki batu dasar yang teguh di bawah kakiku. Perkara yang buruk pasti akan terjadi kepada setiap orang. Itulah kehidupan. Inilah nasihatku: janganlah meletakkan segala harapan dan kepercayaanmu kepada sesuatu yang boleh dengan tiba-tiba dan dengan mudah menghilang. Dan secara jujur, itu bererti hampir segala sesuatu. Hanya satu yang tidak akan menghilang dan yang tidak akan gagal, adalah Tuhan dan imanmu terhadap-Nya. Apa yang aku dapat ungkapkan ialah Dia memberi aku dasar yang benar-benar teguh untuk segala sesuatu yang kulakukan dalam hidup.





(Diterjemah daripada artikel "My Story" dari laman web Bethany Hamilton)