Khamis, 10 Januari 2013

Bethany Hamilton - Kembali Bertarung Selepas Digigit Jerung

Bethany Hamilton selepas
peristiwa diserang jerung
Bethany Hamilton telah menjadi sumber inspirasi kepada jutaan orang melalui kisah iman, tekad dan pengharapannya. Dilahirkan dalam keluarga yang meminati sukan luncur air pada 8 Februari 1990, di pulau Kauai, Hawaii, Bethany mula meluncur air pada usia yang muda. Pada umur 8 tahun, Bethany menyertai pertandingan luncur airnya yang pertama, acara Rell Sun Menehune di Oahu, di mana dia telah menang dalam bahagian papan pendek dan papan panjang. Ini telah menyemarakkan semangat dan cintanya untuk pertandingan luncur air.

Diserang Jerung

Ikan jerung yang dipercayai menyerang Bethany telah
ditangkap nelayan tidak lama selepas serangan itu.
Ukur lilit mulut jerung ini menyamai kesan gigitan
pada papan luncur Bethany yang telah digigit.
Pada umur tigabelas tahun, pada 31 Oktober 2003, Bethany telah diserang oleh ikan jerung tiger shark berukuran 14 kaki semasa meluncur air di North Shore, Kauia. Serangan itu menyebabkan Bethany kehilangan lengan kirinya. Selepas kehilangan 60% daripada darahnya, dan melalui beberapa pembedahan tanpa jangkitan, Bethany mulai pulih dengan sikap positif yang luarbiasa. Para perenang penyelamat dan para doktor percaya bahawa perasaannya untuk laut dan imannya yang kuat kepada Tuhan telah membantunya mengatasi kejadian yang penuh trauma ini. 

Kembali Bertarung

Ajaibnya, cuma sebulan sahaja selepas serangan itu, Bethany kembali lagi ke laut untuk meneruskan impiannya untuk menjadi seorang peluncur air profesional. Pada Januari 2004, Bethany kembali ke pertandingan luncur air; mendapat tempat ke-5 dalam bahagian Wanita Terbuka pertandingan itu. Dengan tiada niat untuk berhenti, Bethany terus menyertai dan beraksi cemerlang dalam pertandingan. Dengan hanya lebih setahun selepas serangan itu, dia mendapat tempat pertama dalam bahagian Wanita Explorer di Kejohanan Kebangsaan NSSA 2005 - memenangi Kejohanan Kebangsaannya yang pertama.


Bethany kembali lagi meluncur air dan menjadi peluncur profesional

Menjadi Profesional

Pada 2007, Bethany mencapai impiannya untuk menjadi peluncur air profesional. Sejak itu, Bethany telah menyertai banyak Acara ASP dan Jelajah Dunia dengan pencapaian terbaiknya di tempat kedua Kejohanan Junior Dunia ASP 2009.

Sejak kehilangan lengannya, kisah Bethany telah disampaikan melalui ratusan saluran media dan dia telah diberi penghargaan melalui banyak anugerah, penampilan umum dan pelbagai acara ceramah. 

Buku dan Filem "Soul Surfer"

DVD Filem "Soul Surfer"
Pada Oktober 2004, Bethany telah menceritakan kisah hidupnya dalam autobiografi bertajuk "Soul Surfer." Tujuh tahun kemudian, buku itu telah dijadikan filem wayang gambar dengan tajuk yang sama dan mula ditayangkan di pawagam pada April, dan dikeluarkan dalam bentuk video pada Ogos 2011.

Buku-buku lain yang ditulis Bethany termasuk "Devotions for the Soul Surfer," "Rise Above," Alkitab untuk "Soul Surfer," "Ask Bethany," dan "Clashed," "Storm," dan "Crunch." Kisah Bethany juga merupakan inspirasi untuk filem rencana 2007 Becky Baumgartner bertajuk "Heart of a Soul Surfer."

Iman Dalam Kristus

Dari usia yang muda, ibubapa Bethany telah menyemaikan iman mereka dalam Yesus Kristus, dan pada usia 5 tahun, dia membuat keputusan untuk memiliki perhubungan peribadi dengan-Nya.  Dasar iman Bethany merupakan tulang belakangnya; sumber kebenaran, pengharapan dan kekuatan baginya. 

Impian Baru

Bethany Hamilton
Di luar daripada sukan air ini, Bethany telah beralih dari seorang remaja yang mempunyai impian menjadi peluncur profesional, kini menjadi peluncur profesional berumur dua puluh tahun dengan aspirasi untuk menjadi sumber inspirasi dan pengharapan. Melalui wadah sukan profesional, Bethany telah dapat menjangkau sebilangan besar orang dengan mesejnya, usaha kebajikannya, dan semangat jati dirinya. Bethany baru sahaja melancarkan yayasannya, Friends of Bethany, yang memberi sokongan kepada mangsa-mangsa serangan jerung, pesakit yang menjalani amputasi yang traumatik, dan untuk memberi inspirasi kepada orang lain melalui kisah hidupnya, dan yang juga terlibat dalam pelbagai usaha kebajikan.

Kisah Bethany masih berterusan sambil dia berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam apa pun yang disuruh Tuhan untuknya. Masa depan sesungguhnya terbuka luas bagi soul surfer (peluncur jiwa) yang muda ini.

(Diterjemah daripada artikel "Biography" di laman web Bethany Hamilton)

Baca juga  Kesaksian Bethany Hamilton: "Imanku Segala-galanya Bagiku!"