Selasa, 11 Mac 2014

Doa Daripada Rumah Panjang Untuk Ketua Pramugara MH370

Andrew Peter Nari, ketua pramugara kapalterbang
Malaysia Airlines (MAS) yang hilang tanpa kesan
dalam penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur
ke Beijing awal Sabtu lalu (8 Mac 2014)
Penduduk dua rumah panjang di Sungai Aup, kira-kira 10 km dari Sibu, mengadakan upacara berdoa pada setiap malam untuk 239 orang di atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang tanpa kesan awal Sabtu lepas.

Doa penghuni Rumah Panjang Catherine Ramoh dan Maling itu terutamanya untuk saudara mereka Andrew Peter Nari, 49, ketua pramugara MH370 yang dilapor hilang di perairan Laut China Selatan pada 1.30 pagi ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Andrew merupakan anak Catherine, 67, pesara guru yang dilantik sebagai ketua rumah panjang itu oleh kerajaan Sarawak tahun lepas. Beliau mengetuai 87 keluarga.

Adik Catherine, Augustine Liom, 61, berkata saudara-mara, jiran serta handai taulan menyertai upacara itu yang diadakan sejak malam Sabtu, selain menyatakan sokongan moral kepada keluarganya.

"Kami berserah kepada Tuhan kerana peluang untuk Andrew kembali kepada kami semakin tipis. Kami berdoa agar Tuhan mengurniakan keajaiban," katanya kepada pemberita malam tadi selepas upacara berdoa yang dikendalikan oleh Rajang Park Christian Rosary Group.

Andrew Peter bergambar
dengan anak perempuian
sulungnya Maira Elizabeth
(gambar Twitter)
Katanya Catherine kini berada di Kuala Lumpur untuk bersama keluarga Andrew, manakala bapa Andrew yang berketurunan Melanau dari Dalat, Mukah, meninggal dunia 11 tahun lepas.

Augustine yang juga bekas hakim mahkamah sesyen dan kini bekerja sebagai peguam, berkata Catherine seorang yang berjiwa kental namun insiden itu menyebabkanya berasa sangat sedih.

"Kami semua berasa sangat sedih namun kami masih berharap sekalipun sehingga kini, hari ketiga kejadian, masih belum ada sebarang perkembangan positif atau bayangan mengenai apa yang berlaku," katanya.

Andrew yang menyertai MAS pada September 1989 berkahwin dengan bekas pramugari yang juga berasal dari sini. Mereka dikurniakan dua anak dan kini menetap di Puchong, Selangor.

"Andrew atau lebih mesra dengan panggilan 'Woo', anak yang baik serta seorang bapa dan suami yang penyayang. Beliau sekeluarga pulang mengunjungi kami setiap kali Gawai Dayak dan Krismas," kata Augustine.

"Memandangkan beliau tiada bapa saudara lain, beliau tinggal dengan saya ketika menyambung pendidikan menengah di Kuching.

"Beliau seorang yang mudah mesra dan cepat membuat kawan. Kalau anda layari laman Facebooknya anda akan tengok ramai kawan-kawannya menyatakan harapan dan sokongan," katanya.


Andrew bergambar dengan jaguh badminton,
Datuk Lee Chong Wei sebelum Kejohanan
All England yang berlangsung baru-baru ini
Augustine berkata kali terakhir Andrew pulang ke kampung ialah pada Krismas lepas tetapi terpaksa memendekkan percutian kerana dipanggil bertugas.

"Andrew selalu balik terutama jika beliau lapang kerana sebagai staf MAS beliau menerima diskaun tiket penerbangan," katanya.

Sementara itu penduduk dua rumah panjang yang berjiran tersebut turut menyumbang dalam dana yang diwujudkan bagi membantu Catherine dan keluarga di Kuala Lumpur, mencerminkan semangat sejati komuniti rumah panjang. - Bernama, 11 Mac, 2014.


(Diambil daripada The Malaysian Insider - laporan Bernama bertajuk "Doa Daripada Rumah Panjang Untuk Ketua Pramugara MH370" bertarikh 11 Mac 2014)