Khamis, 13 Mac 2014

5 Petanda Yang Dialah Jejaka Impian Anda


Oleh Leilani Haywood:

Sejak saya menulis Five Signs That He Is Not "The One”, yang mana telah dikongsikan lebih 4,000 kali, saya membuat keputusan menulis artikel mengenai keadaan yang sebaliknya. Lima perkara ini telah disahkan apabila suami saya, Jerome, melamar saya untuk bernikah dengannya.

1. Dia mempunyai hubungan yang akrab dengan Tuhan yang dapat dilihat dalam penglibatannya di gereja.

Jerome adalah bekas penginjil kampus. Kali pertama kami bertemu ialah pada 1985, apabila kami dalam perjalanan misi ke Boston. Saya telah datang dari Hawaii, dan dia datang dari Missouri. 

Apabila saya bertemu dengannya, ianya seperti pertemuan dengan posmen. Dia tidak menarik perhatian saya, tetapi dalam gambar kumpulan yang kami ambil bersama, dia berdiri betul-betul di belakang saya.

Kami sering bertembung satu dengan lain dalam tahun-tahun berikut kerana kami mempunyai ramai kawan bersama yang aktif dalam pelayanan. Pada waktu itu, saya sedang menuntut di Universiti Hawaii dan sangat aktif dalam gereja saya. Dia adalah sebahagian daripada pasukan yang sedang memulakan gereja di Universiti Missouri, Columbia, Mo.

Beberapa tahun kemudian, saya berpindah ke Gainsville, Fla., untuk bekerja di bahagian majalah pelayanan itu. Saya bertembung dengan Jerome lagi apabila dia datang melawat ibu pejabat pelayanan itu untuk mengikuti seminar kepimpinan. Saya rasa dia sungguh kelakar tetapi saya tidak menyangka bahawa bertahun kemudian saya akan menuju ke alam perkahwinan bersamanya.

Selepas itu saya bertembung dengan Jerome lagi di sebuah konferensi pastor di Indianapolis. Pastor-pastornya mengenali saya dan sangat bersetuju saya dan Jerome keluar makan tengah hari. Saya ingin makan tengah hari dengan Jerome kerana ingin tahu khabar mengenai kawan-kawan kami yang lain.

Makan tengah hari itu beralih menjadi perbualan tiga jam di mana saya merasakan saya baru sahaja bertemu dengan kawan terbaik saya. Saya kagum kami mempunyai persamaan dalam banyak hal. Untuk sejenak, ia seperti kami telah bertemu di lebuh raya kehidupan setelah kami telah memandu di jalan menghala arah yang sama selama bertahun-tahun. Kami mempunyai visi yang sama dan pengalaman pelayanan yang sama. Itu adalah petanda Jerome bukan sekadar seorang kawan biasa sahaja tetapi seorang kawan seumur hidup.

2. Para pemimpin atau para pastor anda berpendapat berkahwin dengannya adalah langkah yang bijak.

Beberapa bulan selepas konferensi itu, Jerome melamar saya untuk berkahwin  dengannya. Itu sungguh cepat, tetapi kami sudah berkenalan selama tujuh tahun. Begitu pun, saya menanya beberapa pemimpin yang mengenali kami berdua untuk pandangan mereka. Mereka semua mengatakan yang baik tentang kejujuran, kesetiaan, komitmen dan pengorbanan Jerome.

Jerome mempunyai reputasi yang baik setelah melayani dalam pelayanan selama bertahun-tahun dan telah membawa separuh daripada kaum lelaki di gerejanya kepada Tuhan. Dia telah memuridkan mereka dan menjadi bapa mereka di dalam iman. Dia bukan seorang yang kurang berpengalaman dalam iman. Itu satu petanda lagi yang Tuhan sedang memimpin saya untuk berkahwin dengannya.

Gereja saya mengesyorkan agar orang bujang yang berminat pada orang yang baru percaya memberikan mereka waktu setahun. Saya suka ujian ini sebab ia akan menunjukkan sama ada orang yang baru percaya itu serius mengenai iman mereka atau kepercayaan mereka pada Tuhan hanya bersifat sementara.

Leilani dengan suaminya Jerome Haywood

3. Ibu bapa anda sukakan dia.

Kali pertama saya bertemu dengan bakal bapa mertua saya, Erdis, di Natchez, Missouri, dia sedang mengupas kulit tupai. Saya kurang memahami loghat pelat Selatannya, tetapi dia bersetuju dengan pilihan Jerome. Apabila Jerome bertemu dengan ibu saya, Aloha dan bapa angkat saya, Celes, di Stockton, California, mereka serta-merta sukakan dia.

Jerome pandai berjenaka dan senang berhubungan, dan dia membuat mereka rasa seperti kawan baiknya. Persetujuan ibu bapa saya adalah satu petanda bahawa dialah orangnya.

4. Dia memiliki pekerjaan.

Jerome merupakan seorang jurujual elektronik di syarikat Sears. Gajinya terdiri sepenuhnya dari komisen, dan dia sangat berhasil dalam kedudukannya, dan itu merupakan petanda bagi saya bahawa dia seorang yang bekerja keras. Apabila anda bekerja dalam pekerjaan yang gajinya hanya komisen, anda tidak makan kalau anda tidak bekerja.

Saya pernah melihat wanita-wanita yang menolak lelaki-lelaki yang memiliki pekerjaan kerana pekerjaan itu tidak mencapai taraf mereka. Wanita itu menginginkan seorang lelaki yang mendapat gaji seorang pengurus, tetapi dia bekerja di kedai runcit. Walaupun lelaki itu mengasihi Tuhan, dan sangat terlibat di gereja, saya telah melihat gadis-gadis yang menolak mereka untuk seseorang di luar gereja yang mendapat lebih gaji dan yang kelihatan lebih tampan.

Orang yang tidak mengasihi Tuhan tetapi mempunyai pekerjaan yang hebat dan kelihatan lebih tampan mungkin akan menarik anda jauh daripada iman anda. Sebenarnya, saya akan bertaruh $20 anda tidak ada lagi di gereja setelah sebulan berdating dengan lelaki itu. Saya telah melihat corak sebegini berulang kali dan ia sungguh menyedihkan.

Saya percaya jika lelaki itu bekerja kuat dalam pekerjaannya sekarang, Tuhan akan menaikkan pangkatnya. Hai para gadis, anda hanya perlu bersabar dan mengizinkan Tuhan membentuknya menjadi siapa yang dia seharusnya jadi dalam Tuhan. Jika dia seorang yang setia, bekerja keras dan seorang pendengar yang baik dan mengasihi Tuhan, dia akan maju dalam hidupnya. Jangan tolak seorang lelaki kerana dia mungkin mendapat gaji yang kurang daripada anda pada ketika ini. Berikan dia beberapa tahun bekerja kuat dan melayani Tuhan, dan kesetiaan akan mendapat ganjarannya.

5. Dia tidak menekan anda untuk mengadakan hubungan seks sebelum nikah.

Jerome berhenti berdating pada umur 21 tahun dan memelihara kesuciannya selama 13 tahun sehingga kami berkahwin. Saya tidak kenal ramai lelaki yang memiliki rekod seperti itu. Jika lelaki itu berdoa dalam bahasa roh, membaca Alkitabnya setiap hari dan menghafal ayat Alkitab, tetapi memberi tekanan kepada anda untuk tidur bersamanya, dengan mengatakan bahawa anda boleh bertaubat dan Tuhan akan menunjukkan kasih kurnia, cepat-cepat lari!

Lelaki yang dapat menguasai dirinya semasa bujang juga akan setia semasa berumah tangga. Saya tahu bahawa kedaraan dan menjaga kesucian diri bukanlah topik khutbah yang popular di gereja. Tetapi Tuhan ada banyak untuk dikatakan mengenai ketidaksucian seks, “Hendaklah kamu semua penuh hormat terhadap perkahwinan dan janganlah kamu mencemarkan tempat tidur, sebab orang-orang sundal dan penzina akan dihakimi Allah.” (Ibrani 13:4)

Dengan lima petanda ini digenapi, anda akan mempunyai pertimbangan yang baik sama ada lelaki yang baru saja melamar anda untuk perkahwinan adalah benar-benar “orang itu.” Jika salah satu petanda itu menunjukkan isyarat merah, saya mengesyorkan anda menunggu sehinggalah isyarat itu bertukar warna ke hijau.

Apakah petanda-petanda lain pada fikiran anda akan menunjukkan seorang lelaki ialah calon yang tidak baik untuk perkahwinan?

(Diambil daripada artikel di Blog Cinta Bijak 101 bertajuk "Lima Petanda Yang Dialah Orangnya" bertarikh 22 Februari 2014)