Oleh Jarrid Wilson:
Pernyataan: Aku tidak semestinya sudah melakukan semua perkara berikut dengan sempurna, tetapi 20 perkara ini adalah apa yang aku usaha lakukan secara harian. Aku berusaha secara berterusan untuk menjadi hamba Tuhan, suami dan kawan yang lebih baik kepada mereka di sekelilingku. Sertaiku dalam perjalanan untuk menjadi lelaki yang lebih baik.
1. Melayani wanita dengan hormat.
Jelas. Semua lelaki harus berusaha melayani wanita dengan hormat dan kesucian seperti yang seharusnya.
2. Bekerja kuat menyara keluarga mereka.
Tidak mengira apakah status perhubungan anda, bekerja keras untuk menyara rumahtangga anda adalah sesuatu yang semua lelaki harus lakukan secara harian.
3. Menjauhi bahan-bahan pornografi.
Ianya tidak berbaloi. Bukan saja ianya melukakan hati anda sendiri, tetapi anda juga meletakkan bahan-bahan dalam kepala anda yang akan selamanya mengubah cara anda menanggapi perhubungan peribadi anda. Usahakan kesucian. Tidak ada wanita yang seharusnya dibandingkan dengan apa yang anda telah tonton secara online. Belum lagi disebut berapa ramai wanita yang telah dijual dalam industri seks setiap tahun. Menonton pornografi bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk mendapatkan nikmat beberapa detik waktu. Perlukan pertolongan untuk mengatasi ini? Cari laman web seperti xxxchurch.com, atau mencari seorang yang merupakan pakar dalam bidang ini.
4. Memimpin keluarga mereka secara rohani.
Semua lelaki adalah terpanggil untuk memimpin keluarga mereka secara rohani. Samada ini melalui doa, membaca Alkitab, ataupun membangunkan semua orang untuk pergi gereja, anda dipanggil untuk memimpin keluarga anda dalam jalan Tuhan.
5. Menunaikan janji-janji mereka.
Seorang yang jujur adalah orang yang disukai. Bukan saja ini akan membina perhubungan peribadi yang lebih kukuh, tetapi ianya juga memberi anda kelebihan di tempat kerja. Tidak berbaloi kehilangan ketulusan anda oleh kerana beberapa janji yang tidak ditepati. Tunjukkan bahawa anda serius tentang apa yang anda katakan. Kalau ya katakan ya dan kalau tidak katakan tidak.
6. Mengekalkan reputasi yang baik.
Setiap orang berhak memiliki pendapat mereka masing-masing, tetapi saya menggalakkan anda untuk melakukan apa saja yang perlu untuk mengekalkan reputasi yang baik dengan orang-orang di sekeliling anda.
7. Berusaha belajar dan bertumbuh.
Belajar kemahiran baru, mencuba sukan yang baru, atau meminta orang lain mengajar anda sesuatu hal yang anda selalu impikan untuk melakukan. Jangan membatasi diri anda dengan kehidupan biasa saja apabila Tuhan telah memanggil anda untuk menjalani hidup yang luar biasa.
8. Mengampuni orang lain untuk kesalahan mereka.
Ingatlah bahawa orang lain pernah mengampuni anda untuk sesuatu yang anda lakukan di masa lepas. Pengampunan sangat penting dalam perhubungan, persahabatan, dan juga di tempat kerja. Janganlah dikenali sebagai orang yang menyimpan dendam. Tidak pernah ada orang yang terlampau mengampuni.
9. Tawarkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.
Samada seorang kawan, ahli keluarga, ataupun seseorang yang anda baru temui di jalan, tawarkan pertolongan anda jika anda melihat bahawa mereka memerlukan pertolongan. Tidak ada yang sepertinya untuk dikenali sebagai orang yang rela bersusah payah menolong orang yang memerlukan.
10. Tunjukkan bahawa mereka memperhatikan orang-orang kesayangan mereka.
Jangan biarkan sehari berlalu tanpa menunjukkan kasih dan perhatian kepada mereka yang anda anggap terdekat dengan anda. Hidup itu singkat dan anda tidak tahu apa yang akan berlaku.
11. Doa untuk hikmat dan bimbingan.
Jangan berusaha melakukan sesuatu hal secara sendiri. Cari dan dapatkan hikmat dan bimbingan Tuhan dalam segala hal.
12. Menguruskan kewangan mereka secara bertanggungjawab.
Jangan membazir dengan kewangan anda. Belajar menggunakan wang anda dengan bijak, amanah dan tekun. Jika anda tidak sangat mahir dalam hal kewangan, mintalah pertolongan orang lain untuk menjadi lebih mahir. Anda akan selalu mendapat faedahnya belajar menguruskan kewangan anda.
13. Mempelajari kemahiran atau bakat baru.
Jangan berhenti dengan kemahiran yang anda sudah miliki. Ambillah pelajaran, tontonlah video pengajaran, ataupun secara sendiri mencuba sesuatu. Anda tidak mungkin memiliki terlalu banyak kemahiran dan aku percaya ini akan meluaskan pandangan anda mengenai hidup dan masa depan anda.
14. Menunjukkan kepimpinan.
Kepimpinan tidak terbentuk dalam sehari, tetapi ianya boleh ditunjukkan dalam setiap hari. Jadilah orang pertama untuk menerima tanggungjawab, dan tunjukkan kepada orang lain bahawa anda rela untuk memimpin apabila kepimpinan diperlukan.
15. Menguasai kemarahan mereka.
Bukan semua lelaki memiliki masalah berhubung dengan kemarahan, tetapi anda akan terkejut dengan berapa ramai yang sebenarnya menghadapi masalah itu. Berusaha menguasai kemarahan anda setiap hari, dan selalu berfikir dulu sebelum mengatakan sesuatu.
16. Menawarkan pertolongan kepada orang yang tidak dikenali.
Bayar untuk minuman atau barang runcit seseorang, ataupun menolongnya menukar tayar yang pancit. Mengambil usaha untuk menolong seorang yang anda tidak kenali. Mengapa? Kerana melaluinya anda mungkin akan mendapatkan kawan baru. Memang ada ramai orang yang tidak baik di dunia, dan sudah tiba waktunya laki-laki bangkit untuk membawa perubahan dalam segi ini.
17. Baca sebuah buku atau blog.
Cari sesuatu yang anda minati. Seorang pemimpin adalah seorang pembaca. Dan samada anda suka membaca buku, artikel ataupun blog daripada penulis kegemaran anda, aku menyarankan agar anda berusaha untuk membaca setiap hari.
18. Makan sesuatu yang berkhasiat.
Sebiji epal setiap hari menjauhkan penyakit. Ya, ianya juga menjadikan anda lebih sihat dan lebih bertenaga. Tidak ada salahnya makan burger atau kentang goreng, tetapi aku mencadangkan agar anda menambahkan makanan yang berkhasiat dalam hidangan harian anda. Tuhan memberikan kita tubuh ini, jadi adalah tanggungjawab kita untuk berusaha memeliharanya.
19. Lakukan sesuatu yang di luar kebiasaan.
Beranikan diri, lakukan sesuatu yang dianggap luar dari kebiasaan. Jangan hidup dalam keselesaan. Pergilah kembara, belajar sesuatu yang baru dan bukalah mata anda kepada pengalaman yang baru.
20. Hidup dengan kerendahan hati.
Bekerja kuat. Hidup dengan rendah hati. Tidak ada orang yang suka bergaul dengan orang yang sombong. Ingatkan diri untuk terus rendah hati dalam segala yang anda lakukan. Bukan saja orang akan suka bergaul dengan anda, tetapi perhubungan anda dengan kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga akan berubah menjadi lebih baik.
Apa lagi yang lelaki harus buat? Berikan komen anda.
(Diterjemah daripada artikel Jarrid Wilson bertajuk "20 Things All Men Should Strive To Do Daily" bertarikh 8 Mac 2014)