Jumaat, 21 November 2014

Tidak Produktif Mengharamkan Semua Perkataan Berkaitan Islam, Kata NGO

Terdapat sebilangan perkataan seperti "Allah" yang dilarang
  penggunaannya oleh orang-orang bukan Islam

Langkah kerajaan negeri melarang orang bukan Islam menggunakan beberapa perkataan berkaitan Islam mesti dikaji semula kerana ia tindakan yang tidak produktif dan hanya mempersendakan bahasa kebangsaan dan Bahasa Arab, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) berkata, larangan itu seharusnya hanya dikenakan terhadap cubaan menyebarkan agama lain selain Islam kepada orang Islam atau sebarang tindakan berniat jahat.

"Ini termasuk contohnya, seorang bukan Islam menggelar dirinya haji atau merujuk tempat ibadatnya sebagai masjid," kata Presiden Bersama Cenbet Gan Ping Sieu.

Gan dalam satu kenyataan berkata, NGO itu menghormati Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri yang melarang penyebaran ajaran selain Islam kepada orang Islam.

"Tetapi jika hampir semua berkaitan diharamkan, ia hanya mempersendakan bahasa kebangsaan dan Bahasa Arab, ia juga hanya menjarakkan lebih sempadan antara kumpulan etnik berbeza di negara kita pada ketika kita perlu memperkukuhkan perpaduan negara.

"Pengharaman yang menyeluruh akan lebih mewujudkan halangan kepada orang bukan Islam dalam mempelajari dan lebih memahami Islam," katanya.

Gan berkata beliau membuat kenyataan itu ketika kerajaan negeri Kedah baru-baru ini meminda enakmen negerinya bagi menambah bilangan perkataan yang tidak boleh digunakan orang bukan Islam dari 24 ke 55.

Katanya, tiada kumpulan yang harus memiliki monopoli atas perkataan tertentu dalam mana-mana bahasa, terutamanya Bahasa Melayu yang sudah lama diterima sebagai bahasa kebangsaan.

"Bagaimana orang bukan Islam boleh bertutur dalam bahasa Melayu tanpa menggunakan perkataan biasa seperti syariah, masjid, surau, ulama, Quran, haji dan solat?

"Bagaimana dengan orang bukan Islam yang menyanyikan lagu negeri yang mengandungi perkataan Allah? Bagaimanapun, kita meragui sama ada undang-undang begitu boleh dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam," katanya.

Berdasarkan hujah itu, Gan menyeru pihak berkuasa negeri dengan segera mengkaji semula pengharaman menyeluruh ke atas penggunaan perkatan-perkataan tersebut.

Malah, katanya, sesetengah ulama Islam juga tidak menganggap satu masalah apabila orang bukan Islam menggunakan perkataan Assalamualaikum, iaitu satu lagi perkataan yang dilarang.

"Membenarkan orang bukan Islam menggunakan ucapan itu dan perkataan lain yang dilarang, bagi tujuan komunikasi dan rujukan, sebaliknya akan menguatkan lagi rasa muhibbah antara berlainan bangsa di negara ini." – 21 November, 2014.

(Diambil dari artikel The Malaysian Insider bertajuk "Tidak Produktif Mengharamkan Semua Perkataan Berkaitan Islam, Kata NGO" bertarikh 21 November 2014)