Ahad, 10 Mei 2015

3 Perkara Mengenai Seorang Wanita Bernama Hana


Kebanyakan orang pernah membaca kisah Hana dalam Alkitab. Oleh kerana hari ini ialah Hari Ibu, saya ingin kongsikan 3 perkara mengenai Hana dan hal-hal yang kita dapat lakukan untuk "Hana" dalam hidup kita.  

Berikut ialah 3 perkara menarik mengenai Hana;


1. Hana ialah seorang Wanita yang memiliki Perasaan

Ya benar, Hana ialah seorang wanita, dan dia memiliki perasaan. Lihatlah bagaimana hati Hana terguris apabila Penina, madunya sering menyakiti hati Hana yang tidak dapat melahirkan anak.

Tetapi madunya selalu menyakiti hatinya supaya ia gusar, karena TUHAN telah menutup kandungannya. Demikianlah terjadi dari tahun ke tahun; setiap kali Hana pergi ke rumah TUHAN, Penina menyakiti hati Hana, sehingga ia menangis dan tidak mau makan. (1 Sam 1:6,7)

Apakah yang dapat kita lakukan untuk wanita "Hana" dalam hidup kita?

a) Berusaha Memahaminya: Seorang pastor pernah mengatakan, "Seorang wanita diciptakan bukan untuk difahami tetapi untuk dikasihi." Saya rasa kenyataan itu benarlah (dan cukup romantik!). Tetapi secara praktikal, yang menjadi suami perlu berusaha memahami isteri, kalau tak dapat memahaminya 100% pun, janganlah hanya memahaminya 20% sahaja, usahakanlah memahami isteri anda sekurang-kurangnya 70%!

b) Berusaha Memperhatikannya: Yang menjadi suami perlu memberi lebih perhatian kepada isteri. Dalam zaman kesibukan internet dan pelbagai gadget, perhatian suami terhadap isteri semakin berkurang. Jika si suami lebih memperhatikan isterinya, dia akan lebih memahami isterinya. 

c) Berusaha Membahagiakannya: Apabila si suami lebih memperhatikan isterinya, dia akan lebih memahaminya dan dengan itu dapat lebih membahagiakannya. Kalau si isteri suka makan daging ayam KFC, janganlah bagi daging itik ABC! 

"Hana" dalam hidup kita ialah wanita yang memiliki perasaan. Marilah kita memahaminya dan menjadi orang yang membawa kebahagiaan kepada "Hana" yang Tuhan berikan kepada kita.


2. Hana ialah seorang Ibu yang memiliki Kasih

Hana berdoa kepada Tuhan dan mendapat seorang anak lelaki. Lihatlah betapa Hana mengasihi anak yang diberikan Tuhan kepadanya.

Maka setahun kemudian mengandunglah Hana dan melahirkan seorang anak laki-laki. Ia menamai anak itu Samuel, sebab katanya: "Aku telah memintanya dari pada TUHAN." (1 Samuel 1:20)

Setiap tahun ibunya membuatkan dia jubah kecil dan membawa jubah itu kepadanya, apabila ia bersama-sama suaminya pergi mempersembahkan korban sembelihan tahunan. (1 Samuel 2:19)

Apakah yang dapat kita lakukan untuk ibu "Hana" dalam hidup kita?

a) Berusaha Menghargainya: Kita semua menyedari betapa kasih dan pengorbanan ibu untuk anak-anaknya. Bagaimanakah kita dapat membalas kasih seorang ibu? Pertamanya, kita menunjukkan penghargaan kita kepadanya. Ibu tidak memerlukan hadiah yang mahal atau besar. Hadiah yang terbaik ialah apabila kita menghargainya baik dalam perkataan ataupun perbuatan kita.

b) Berusaha Mengasihinya: Itulah sebabnya kita merayakan Hari Ibu! Supaya kita dapat menghargainya dan menunjukkan kasih kita kepadanya. Cuma janganlah kita lakukannya hanya setahun sekali. Tunjukkanlah kasihmu kepada ibu yang menjadi Pemberi kasih yang setia dalam keluarga. Kasih seorang ibu itu luarbiasa, begitu juga seorang anak yang benar-benar mengasihi ibunya!


3. Hana ialah seorang Insan yang memiliki Iman

Hana ialah seorang insan yang memiliki iman. Semasa dia berdoa kepada Tuhan, dia berjanji bahawa jika Tuhan memberikannya seorang anak, dia akan menyerahkan anak itu untuk melayani di rumah Tuhan. Bacalah kata-katanya yang penuh iman ini:

"Untuk mendapat anak inilah aku berdoa, dan TUHAN telah memberikan kepadaku, apa yang kuminta dari pada-Nya. Maka akupun menyerahkannya kepada TUHAN; seumur hidup terserahlah ia kiranya kepada TUHAN." Lalu sujudlah mereka di sana menyembah kepada TUHAN. (1 Samuel 1:27-28)

Seperti dikatakan sebelum ini, kasih seorang ibu sangatlah besar. Jadi bagaimanakah Hana sanggup memberikan anaknya kepada Tuhan? Jawapan yang ringkas ialah kerana Hana seorang insan yang beriman.  

Tetapi mungkin anda akan bertanya, bagaimanakah mungkin iman Hana sebagai seorang insan dapat mengatasi kasihnya sebagai seorang ibu? Bukankah kasih itu yang paling besar di antara tiga yang disebut Paulus (iman, pengharapan dan kasih dalam 1 Korintus 13:13)?

Iman menghubungkan kita
dengan Tuhan yang sangat
mengasihi kita
Saya fikir jawapannya ialah, melalui iman, Hana telah berdoa kepada Tuhan dan dalam pertemuan dengan Tuhan, dia telah bertemu dengan kasih yang lebih besar dari kasih seorang ibu - iaitu kasih Allah sendiri. Jadi iman penting kerana melaluinya kita dapat mengenali kasih Allah yang begitu besar untuk kita. Sehingga Hana rela memberikan anaknya kepada Tuhan yang begitu mengasihinya. 

Dan tidak sia-sia kepercayaan Hana kepada Tuhan sebab kemudiannya Tuhan mengurniakan kepada Hana tiga lagi anak lelaki dan dua anak perempuan (1 Samuel 2:21). 

Apakah yang dapat kita lakukan untuk insan "Hana" dalam hidup kita?

a) Berusaha Mempelajari: Pada zaman sekarang, terdapat begitu banyak pengaruh di dunia, sehingga kadang-kadang anak-anak tidak lagi mahu mendengarkan percakapan ibunya. Ibu yang beriman ialah sumber kekuatan bagi kita. Anak-anak yang mendengarkan nasihat dan perkataan ibunya yang rohani adalah anak-anak yang paling bertuah, sebab pelajaran imanlah pelajaran yang paling penting - ianya menghubungkan kita kepada Tuhan yang sangat mengasihi kita. 

b) Berusaha Mengikutinya: Kita dapat mempelajari banyak dari seorang ibu yang beriman. Kita bukan setakat dapat mendengar ajarannya, malahan kita dapat melihat dari hidupnya sendiri. Memang benar tidak ada orang yang sempurna di dunia, tetapi seorang "Hana" yang memiliki iman akan menjadi contoh yang baik untuk diikuti oleh anak-anaknya. Ungkapan yang diucapkan Paulus sesuai digunakan untuk seorang ibu yang seperti itu, "Jadilah pengikutku, sama seperti aku juga menjadi pengikut Kristus" (1 Korintus 11:1).

Kita telah mempelajari dari Alkitab mengenai seorang wanita bernama Hana. Apakah yang akan kita lakukan untuk "Hana" dalam kehidupan kita?

"Selamat Hari Ibu!"

- Si Domba Putih.