Rabu, 27 Mei 2015

Denzel Washington Kepada Para Graduan: "Utamakan Tuhan Dalam Segala Yang Kamu Lakukan"

Pelakon dan pemenang Academy Award Denzel Washington memberi ucapan kepada
para graduan di majlis konvokesyen di Universiti Dillard, New Orleans 

Dalam menyampaikan ucapan konvokesyen di Universiti Dillard pada hari Ahad lepas, pelakon yang meraih Academy Award, Denzel Washington memberitahu para graduan untuk "utamakan Tuhan" dalam segala yang mereka lakukan, dengan menambah bahawa segala sesuatu yang telah dia capai dalam hidup ini adalah kerana "kasih karunia Tuhan."

"Saya hanya akan memberi ucapan pendik," kata Washington, yang menerima kedoktoran kehormat Humane Letters di upacara itu. 

"Nombor satu: Utamakan Tuhan," katanya. "Utamakan Tuhan dalam segala yang kamu lakukan."

"Segala yang kamu lihat pada saya, segala yang telah saya capai, segala yang kamu fikir saya ada - dan saya ada serba sedikit," kata Washington. "Segala yang saya miliki adalah kerana kasih karunia Tuhan. Fahamilah itu. Itu adalah pemberian."

Mendahului kata-kata itu, bintang filem-filem seperti Malcolm X, Training Day, Glory, The Book of Eli dan The Equalizer, berkata, "Sewaktu saya muda dan mula benar-benar berhasil sebagai seorang pelakon, saya datang kepada ibu saya dan berkata, 'Mak, pernahkah emak fikir bahawa ini akan berlaku? Saya akan begitu berjaya dan saya akan dapat jaga semua orang dan saya dapat lakukan ini dan lakukan itu."

"Dia berkata, 'Nak, hentikan di situ, hentikan di situ, hentikan di situ!'" Washington meneruskan. "Dia berkata, 'Seandainya kamu tahu berapa orang yang telah berdoa untuk kamu.' Berapa kelompok doa yang telah diaturnya, berapa ucapan doa yang telah diberikannya... untuk menyelamatkan saya"

Denzel Washington
"Dia berkata, 'Oh, kamu telah lakukan semuanya sendiri.'" Washington mengingat lagi. "'Saya beritahu kamu apa yang kamu boleh buat sendiri. Pergi ke luar dan dapatkan mop dan baldi dan bersihkan tingkap-tingkap itu - itulah yang kamu dapat lakukan sendiri, bintang besar.'"

"Jadi saya mengatakan semua itu kerana saya ingin ucapkan tahniah kepada semua ibu bapa dan kawan dan keluarga dan makcik dan pakcik dan nenek dan datuk, semua orang yang telah membantumu sehingga berjaya hari ini," Washington memberitahu para graduan. "Saya akan memberitahu kamu tiga cerita. Saya akan memberi ucapan pendik. Saya masih ingat penceramah semasa saya jadi graduan, dia naik ke pentas dan berucap tak henti-henti, blah, blah, blah, blah, blah, blah."

"Saya akan berikan ucapan pendik," dan dia kemudian mengatakan mengenai Tuhan dan mengutamakan-Nya dalam hidup kita. "Nombor satu: Utamakan Tuhan. Utamakan Tuhan dalam segala yang kamu lakukan. Segala yang kamu lihat pada saya, segala yang telah saya capai, segala yang kamu fikir saya ada - dan saya ada serba sedikit. Segala yang saya miliki adalah kerana kasih karunia Tuhan. Fahamilah itu. Itu adalah pemberian."

Pada penghujung ucapannya, Washington mengulangi beberapa komen yang pernah diucapkannya selama bertahun-tahun mengenai perlunya bergantung kepada Tuhan. Dia mengingatkan para hadirin bahawa tidak kira betapa banyak milik kebendaan yang mereka perolehi, "kamu tidak akan pernah melihat lori sewa pengangkutan U-Haul di belakang kereta keranda."

Dia juga memberitahu para graduan kolej persendirian yang kecil dan memiliki tradisi penuntut kulit hitam di New Orleans itu, "Saya berdoa kamu akan meletakkan seliparmu di bawah katil malam ini, supaya bila kamu bangun pagi, kamu perlu melutut untuk mengambilnya."

"Dan sementara kamu di situ, ucapkan terima kasih," katanya. "Terima kasih untuk kasih karunia, terima kasih untuk rahmat, terima kasih untuk pengertian, terima kasih untuk hikmat, terima kasih untuk ibu bapa, ... Keinginan sejati di hati untuk sesuatu yang baik adalah bukti Tuhan kepadamu, yang telah dihantar terlebih dahulu, untuk menandakan bahawa ianya adalah milikmu."

Selain daripada lakonan filemnya, Denzel Washington juga pernah berlakon dalam teater dalam produksi Richard III, Julius Caesar, dan A Raisin in the Sun. Dia telah memenangi Academy Award untuk pelakon lelaki terbaik dalam filem 2001 Training Day, dan Academy Award untuk pelakon sampingan lelaki terbaik dalam filem 1989 Glory.

Pada Januari 2008 dalam temuramah bersama Oprah Winfrey, dia telah menanya Washington, "Apakah yang paling membanggakan kamu?" Dia menjawab, "Saya sangat berhati-hati menggunakan perkataan 'bangga.' Saya gembira dapat membaca Alkitab dari kulit depan hingga akhir. Saya sedang membaca untuk kali yang kedua - saya membaca satu fasal sehari. Sekarang saya sedang membaca Yohanes. Dia baru selesai makan malam dengan Maria, dan keadaan bakal menjadi buruk."

Denzel Washington, berusia 60 tahun, sudah berkahwin, memiliki lima anak dan adalah Kristian aliran Pentakosta. 


Video: Ucapan Denzel Washington kepada Para Graduan (11 minit)


(Diterjemahkan daripada artikel CNS News bertajuk, "Denzel Washington To College Grads: 'Put God First'" penulisan Michael W. Chapman bertarikh 11 Mei 2015)