Selasa, 26 Mei 2015

Dari Rumah Panjang Menjadi Biskop Besar Pertama Iban

Biskop Besar Datuk Bolly Lapok,
Biskop Besar Wilayah Asia Tenggara
Sebagai seorang kanak-kanak yang membesar di sebuah rumah panjang di Sebemban, lebih kurang 30 minit dari Sri Aman, dia berasal dari latar belakang yang sangat sederhana. 

Dilahirkan pada 10 Ogos 1952, biskop Diosis Kuching, Datuk Bolly Lapok memulakan kehidupannya sebagai anak kampung, kehidupan yang dekat dengan alam semulajadi bersama ibu bapanya yang menjadi petani. 

Tetapi kini untuk Bolly, anak Iban dan Sarawak yang pertama menjadi Biskop Besar bagi Wilayah Asia Tenggara, pendidikan adalah sesuatu yang tidak harus diabaikan. 

The Star cuba mendalami apa yang menjadi sumber motivasi biskop ini.

Soalan: Anda dilahirkan di kampung di sebuah rumah panjang, bagaimanakah persekolahan anda?

Jawapan: Persekolahan saya bermula di Sekolah Rendah Selanjan. Saya belajar di situ dari Darjah 1 sampai Darjah 4 sebelum berpindah ke Sekolah Rendah Pantu. Selepas itu saya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Simanggang sehinggalah Tingkatan Enam. 

Apakah yang menyebabkan anda menjadi paderi?

Bolly Lapok sewaktu muda
Pada waktu itu, ada banyak pilihan untuk saya. Saya boleh memilih menjadi guru, askar, kakitangan kerajaan. Tetapi kerohanian adalah hal yang penting dalam keluarga kami. Ianya adalah sejajar dengan pegangan keluarga kami. 

Saya memasuki House of Epiphany (HOE) di Kuching untuk dilatih menjadi paderi sebaik sahaja menamatkan Tingkatan 6. Pada waktu itu biskop pertama Iban untuk Diosis Kuching, Biskop Basil Temenggong adalah pengetua HOE. 

Biskop Basil berkata saya berada di situ untuk diuji. Tidak ada tekanan supaya saya meneruskan pelajaran di situ, tetapi saya meneruskan juga di situ. 

Tetapi yang saya tidak tahu ialah sejak hari pertama di HOE, terbanyak banyak buku-buku dan peluang akademik. Peluang untuk belajar tidak ada kesudahannya di situ, itu lebih lagi memberi inspirasi kepada saya. 

Saya terhutang budi kepada Biskop Basil untuk panggilan saya. 

Bercakap tentang peluang akademik, apakah latar belakang akademik anda?

Setelah mengikuti pelajaran di HOE, saya dijadikan Deacon pada Mac 1975. Selepas itu, saya mendapat Diploma Teologia (Australia) sebelum ditahbiskan menjadi paderi untuk gereja St. Luke di Sri Aman pada 7 Disember pada tahun yang sama. 

Pada tahun yang berikutnya, saya meneruskan pendidikan saya dan mendapat Kelayakan (Licentiate) dalam Teologia (Australia), dan pada tahun berikutnya Sarjana (Scholar) dalam Teologia (Australia).

Persijilan terbaru saya ialah Masters of Arts Distinction daripada Universiti Birmingham pada 2007.

Di manakah anda melayani sejak ditahbiskan menjadi paderi?

Selepas St. Luke di Sri Aman, saya dihantar ke St. Boniface berdekatan Mamut, Miri. di situlah saya telah bertemu dengan isteri saya, Lily Unchau.

Kami telah berkahwin pada 1981 sebelum saya dipindahkan ke St. John di Sibu pada 1983. Pada tahun yang sama saya telah dihantar ke England untuk pengajian Pastoral Studies and Ecumenism for Anglican and Roman Catholic Relations.

Saya juga telah dihantar ke Rom sewaktu pengajian itu. Sayangnya saya tidak dapat bersama ketika kelahiran anak pertama saya, seorang anak laki-laki pada tahun itu. 

Selepas saya kembali pada tahun 1984, saya dipindahkan sekali lagi, kali ini ke St. Thomas di Bintulu sebagai seorang Archdeacon. 


Dr. Chew (dua dari kiri) menyampaikan tongkat Biskop kepada Biskop Besar Datuk Bolly Lapok
dalam upacara pentahbisan Datuk Bolly sebagai Biskop Besar bagi Wilayah Asia Tenggara
di St. Thomas Cathedral di Kuching pada 12 Februari 2012 (Gambar The Borneo Post)

Pada tahun 1999, saya telah dilantik sebagai Pembantu Biskop Diosis Kuching dan berpindah ke St. Thomas, Kuching.

Pada waktu itu juga saya telah dilantik menjadi pengetua HOE, mengikut jejak guru saya Biskop Basil. 

Saya telah dilantik menjadi Biskop Diosis Kuching yang ke-13 pada 2007 hinggalah sekarang. Pada bulan September 2011, dalam satu mesyuarat khas oleh Wilayah Asia Tenggara, saya telah dilantik menjadi Biskop Besar keempat untuk Wilayah Asia Tenggara. Pada 2009, saya juga telah dilantik menjadi pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS).

Apakah cabaran-cabaran yang anda hadapi sepanjang kerjaya anda?

Pada waktu kini terdapat banyak jenis fahaman politik. 

Semua orang mengatakan mengenai kemajuan, semuanya mengatakan hal yang sama tetapi kebanyakan mereka tidaklah bersatu. 

Cabaran yang paling besar ialah bagaimana untuk membawa bersama orang-orang ini dengan matlamat yang sama untuk membawa kemajuan untuk kesejahteraan masyarakat. 

Kita di Malaysia memiliki kepelbagaian bukan saja dalam kepercayaan, tetapi juga dalam bangsa, fahaman dan pandangan politik. Saya fikir kita perlu mengetepikan perbezaan kita untuk melihat keperluan bersama kita. 


Biskp Besar Datuk Bolly Lapok dengan isterinya, Datin Mary Jean, dan anak-anak mereka
(dari kiri) Fiona, Nigel, Nathanael dan Laura (Gambar The Borneo Post)

Apakah cabaran-cabaran yang anda hadapi secara peribadi?

Sebagai seorang biskop dan seorang pemimpin dalam masyarakat, selalunya ada beberapa orang yang akan menentang idea saya dan cara saya memimpin. Oleh itu saya perlu untuk terus cekal dan melakukan yang terbaik. Terdapat juga pergumulan di antara Anglikanisme dengan budaya dan modernisasi, yang sedang saya kaji pada waktu ini. Ianya adalah pergumulan di antara kepercayaan lama dan baru. Sebagai Biskop Besar, saya menyedari ini adalah isu yang semakin ditimbulkan di kalangan orang-orang Kristian Dayak. 

Tugas saya sebagai Biskop Besar ialah untuk menjadi suara umat, terutama umat pribumi di rantau ini kepada dunia.

Apakah pandangan anda mengenai toleransi dan keharmonian di antara kaum dan agama di negara ini pada masa kini?

Sedih untuk mengatakan, ianya tidak sama seperti dulu-dulu. Tetapi kalau di Sarawak, kami tidak begitu dikesani seperti saudara-saudara kita di Semenanjung. Sedih untuk melihat bahawa ramai orang kini merasa diri mereka dicamkan melalui agama mereka. 

Apakah cara untuk mengatasi ini?

Pada pendapat saya, kita mesti belajar bertoleransi satu dengan lain dengan menerima perbezaan kita dan merayakan.

Maksud saya merayakan ialah kita mesti merayakan Malaysia seperti adanya. Samada Tahun Baru Cina, Hari Raya, Krismas, Gawai Dayak atau Deepavali, kita merayakan satu dengan lain dan tidak membezakan agama satu sama lain.

Sebagai Biskop Besar, apakah harapan anda untuk Wilayah anda?

Mesej saya kepada masyarakat Anglikan di kawasan-kawasan lain dunia ialah untuk menyedari kemajmukan di Malaysia. Sambil kita menyedari kemajmukan dunia luar, kita akan belajar untuk lebih bertoleransi satu dengan lain. Juga kita tidak boleh memaksakan rangka peraturan dari wilayah-wilayah lain ke atas sesebuah wilayah kerana apa yang boleh digunapakai di situ mungkin tidak sesuai di sini. 

(Diterjemahkan daripada artikel The Star Online bertajuk, "From Just Another Longhouse Lad To First Iban Archbishop" penulisan Nigel Edgar bertarikh 24 Oktober 2011)