Rabu, 27 Mei 2015

Video Graduan Tampil Berdoa Semasa Kecemasan Menjadi Viral

Graduan Christian Crawford tampil ke depan untuk memimpin doa semasa kecemasan perubatan

Di majlis konvokesyen untuk Clay-Chalksville High School di Jefferson County, Alabama minggu lepas, graduan Christian Crawford memimpin orang ramai dalam doa apabila seorang wanita yang hadir di majlis itu mengalami kecemasan perubatan.

Video Crawford, yang sebelum itu telah membuka majlis konvokesyen dengan satu doa yang telah disediakan, kemudiannya melangkah kembali ke mimbar untuk membawa satu doa secara spontan untuk wanita itu. Sehingga Isnin, video itu telah mendapat lebih daripada 318,000 lawatan di YouTube.

Crawford berkata para graduan sudah mula menerima sijil-sijil diploma mereka apabila mereka mendengar panggilan untuk "doktor, doktor, doktor" di kalangan hadirin, dia memberitahu Fox and Friends pada hari Isnin.

"Saya membuka mulut dan Tuhan mula berbicara melalui saya," katanya. "Saya tidak boleh menerima sebarang pujian untuk apa yang Tuhan lakukan melalui saya untuk kemuliaan-Nya."

Dalam temubual dengan Fox News, Crawford mengatakan: "Saya menyedari bahawa bukan sahaja wanita itu yang disembuhkan pada malam itu. Dalam doa saya, Roh Kudus mula berbicara kepada saya. Dia berkata Tuhan ialah penyelesai masalah, Tuhan ialah pembebas, Dia berkata Tuhan ialah penebus.


Video: Graduan Berdoa Semasa Kecemasan Perubatan Di Majlis Konvo



Sambil saya duduk semula, saya fikir bahagian saya sudah selesai, tetapi apabila saya meninggalkan majlis, sebilangan orang memberitahu saya bahawa apa yang saya doakan itu sangat berkuasa, mereka memberitahu saya bahawa ianya memberkati mereka, bahawa iman mereka dipulihkan."

Crawford memberitahu Channel 42 News di Birmingham bahawa dia memberi penghargaan kepada datuk dan neneknya, yang dibesarkan di Butler, dan seluruh keluarganya atas pengaruh mereka terhadap imannya.

"Mereka telah memberikan saya keinginan untuk mengubah dunia dan membawa perubahan," Crawford menegaskan. "Datuk saya, dia sangat tegas. Dia banyak membantu saya dan dia mengajar saya bagaimana berdoa, begitu juga ibu bapa saya telah mengajar saya bagaimana berdoa."

"Orang memberitahu saya setiap waktu, 'Oh, kamu sudah terkenal sekarang. Kamu terkenal sekarang.' Dan saya pula balas, 'Tidak, saya tidak terkenal. Tuhan yang terkenal,'" katanya. "Jika Tuhan terkenal, dimuliakan kerana apa yang saya doakan, itu bererti saya telah melakukan apa yang saya seharusnya lakukan."

Ayah Crawford, Terence berkata kepada Channel 42 News, "Saya rasa takjub. Pada ketika itu, bila anda berdoa dan Tuhan mengambil alih, anda tidak menyedari apa yang anda lakukan."

"Dia memakai anda sebagai bejana-Nya," kata Terence. "Jika anda dapat membawa kesan kepada kehidupan orang-orang lain atau sesuatu seperti itu melalui kasih karunia Tuhan, ianya menjadi nyata sekali."

Crawford menambah bahawa "semua kemuliaan diberikan kepada Tuhan." Wanita yang mengalami kecemasan itu telah mendapat serangan sakit mendadak dan dilaporkan dalam keadaan baik sekarang. 

Trussville Tribune di Alabama melaporkan bahawa Crawford telah diminta untuk membawa doa pembukaan di Dewan Perundangan Alabama minggu depan oleh wakil tempatan Rep. Danny Garrett. 

Clay-Chalksville High School ialah sekolah awam di Clay, Alabama. Crawford beribadah di New Rising Star Missionary Baptist Church di Birmingham dan berminat dalam kerjaya politik. Crawford akan menuntut di Auburn University, Montmomery pada musim luruh depan di mana dia merencana untuk mengambil dua major dalam komunikasi dan sains politik.

(Diterjemah daripada artikel The Christian Post penulisan Ray Nothstine bertarikh 25 Mei 2015)