Khamis, 28 Mei 2015

Cadangan Baru: Alkitab Dengan Kalimah "Allah" Tidak Boleh Diimport Ke Semenanjung Kecuali Untuk Kegunaan Peribadi


Cadangan garis panduan baru mengharamkan Bible Bahasa Melayu mengandungi kalimah Allah daripada dibawa ke Semenanjung Malaysia, bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada April 2011 sebelum pilihan raya Sarawak iaitu kitab tersebut boleh diimport ke dalam negara.

Draf bagi prosedur operasi standard (SOP) itu didedahkan kepada pemimpin Kristian di Sabah dan Sarawak pada April, dan kepada Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) pada 18 Mei, oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Prinsip umum dalam peraturan baru tersebut ialah, terbitan Kristian dengan perkataan "Allah" tidak boleh diimport ke dalam Semenanjung Malaysia, dan jika dibawa juga, ia hanya boleh melepasi dengan destinasi terakhir ke Sabah dan Sarawak.

Ia juga menyatakan, Al-Kitab dari Sabah dan Sarawak boleh dibawa masuk ke Semenanjung tetapi hanya untuk kegunaan peribadi, kemungkinan mengiktiraf Bumiputera Kristian dari 2 negeri tersebut yang tinggal, bekerja dan belajar di semenanjung.

Sekiranya draf ini dikuatkuasakan, ia bermakna Al-Kitab tidak boleh diimport secara langsung ke Semenanjung Malaysia dan hanya boleh dibawa oleh Kristian dari Sabah dan Sarawak bagi kegunaan peribadi.

Ia juga menyarankan, sesiapa yang membawa terbitan seperti itu ke Semenanjung harus mendapatkan surat kebenaran untuk mengimport dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

SOP baru ini juga kelihatan mengatakan, sebarang import Al-Kitab ke dalam Semenanjung harus bertujuan ke Sabah dan Sarawak sebagai destinasi terakhirnya, kerana menurutnya, bagi pemprosesan di terminal lapangan terbang, pembawa perlu menunjukkan tiket penerbangan mengesahkan mereka penumpang transit.

"Sekiranya tiket menunjukkan ia bukan untuk pelepasan segera atau bukan untuk perjalanan pada hari sama, barangan tersebut akan ditahan sementara dan dilepaskan kembali pada hari perjalanan," menurut garis panduan baru itu.

Susulan taklimat yang dibuat kepada CFM itu, badan Kristian tersebut pada minggu lepas dalam satu kenyataan menolak SOP tersebut, mengatakan ia menafikan jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap kebebasan beragama dan hak menguruskan hal ehwal agama masing-masing.

Pengerusi CFM Rev Dr Eu Hong Seng berkata dalam kenyataan tersebut, mengimport Al-Kitab bukan di bawah bidang kuasa negeri, kerana undang-undang agama negeri hanya untuk agama Islam saja.

"Syarat yang menghendaki penganut bukan Islam mendapatkan kebenaran agensi agama kerajaan Persekutuan bagi mengimport bahan keagamaan jelas melanggar peruntukan Perlembagaan dan perjanjian 10 perkara," katanya.

Menurut taklimat SOP tersebut, draf garis panduan itu selari dengan undang-undang seperti Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 – yang ‘mengawal pencetakan, import, jualan, penerbitan dan pengedaran teks Al-Quran dan membuat peruntukan bagi perkara yang berkaitan’.

Seorang pemimpin Kristian di Petaling Jaya memberitahu The Malaysian Insider, garis panduan baru tersebut tidak boleh diterima kerana ia mengekang import Bible Bahasa Melayu ke Semenanjung Malaysia.

"Kami sepatutnya boleh menggunakan Bible Bahasa Melayu di seluruh negara.

"Namun SOP kini mengekang pengimportan Bible secara langsung ke pelabuhan masuk ke Semenanjung, walhal tiada undang-undang dalam negara mengharamkan pengimportannya," katanya.

Seorang lagi pemimpin Kristian bersetuju dan mempersoalkan mengapa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran kementerian patut berkuasa menentukan apa yang boleh dibaca penganut Kristian.

"Kelihatan seperti mereka ingin mengawal apa yang kami baca tentang agama kami.

"Adakah mereka ingin menguruskan hal ehwal keagamaan Kristian kami juga?" soalnya.

SOP baru tersebut kelihatan bertentangan dengan janji10-perkara Najib kepada penganut Kristian pada 2011, ketika beliau mengatakan Bible Bahasa Melayu yang diimport ke Semenanjung Malaysia perlu mengandungi frasa 'terbitan Kristian' dan salib pada kulitnya.

Ini bermaksud Bible Bahasa Melayu masih boleh diimport ke dalam semenanjung asalkan ia memenuhi ciri tersebut.

"Mengambil kira komuniti Islam yang besar, di Semenanjung Malaysia, Bible dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, yang diimport atau dicetak perlu mengandungi perkataan 'terbitan Kristian' dan salib di kulit buku tersebut," kata Najib dalam surat perjanjian 10-perkara pada April 2011 ditujukan kepada Pengerusi CFM Bishop Ng Moon Hing.

SOP baru tersebut dirangka berikutan perampasan CD Kristian dan buku-buku dari seorang pastor Kristian dari Sabah, November lalu.

Maklin Masiau yang sedang pulang ke Kota Kinabalu dari Medan, Indonesia melalui lapangan terbang di Sepang dilaporkan membawa 574 buku dan 419 CD.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyalahkan rampasan tersebut sebagai kegagalan pihak Jabatan Kastam menyelaraskan perkara itu dengan kementerian.

Bagi menjelaskan masalah antara jabatan tersebut, Kurup berkata garis panduan baru akan dirangka untuk memastikan bahan Kristian menuju ke Malaysia Timur tidak akan dirampas di pelabuhan dan lapangan terbang.

Kristian merangkap 9% rakyat Malaysia, atau 2.6 juta penduduk.

Hampir dua pertiga daripada mereka adalah Bumiputera dan kebanyakan tinggal di Sabah dan Sarawak, di mana mereka kebiasaannya menggunakan Bahasa Melayu dan bahasa asal dalam upacara keagamaan mereka, termasuklah memanggil Tuhan mereka “Allah" dalam sembahyang dan kitab suci mereka. – 28 Mei, 2015. 

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Ikut Peraturan Baru, Bible Melayu Haram Di Semenanjung Kecuali Kegunaan Peribadi" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 28 Mei 2015)