Khamis, 28 Mei 2015

Ulasan Terhadap Cadangan Baru Melarang Alkitab Diimport Ke Semenanjung Malaysia


Malaysia ialah negara bermasyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama yang telah lama hidup bersama dengan aman dan harmoni. Oleh itu, saya terkejut pagi tadi membaca artikel The Malaysian Insider mengenai cadangan garis panduan baru yang menyatakan bahawa Alkitab yang mengandungi kalimah Allah tidak dibenarkan diimport ke Semenanjung Malaysia. 

Ianya juga menyatakan bahawa Alkitab dari Sabah dan Sarawak boleh dibawa masuk tetapi hanya untuk kegunaan peribadi, kemungkinan mengiktiraf Bumiputera Kristian dari 2 negeri tersebut yang tinggal, bekerja dan belajar di Semenanjung.

Sebelum ini dalam Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui dan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia pada April 2011 menjelang pilihanraya negeri Sarawak, kitab tersebut boleh diimport ke dalam negara. 

Jika cadangan baru ini dilaksanakan, bagaimanakah orang-orang Kristian yang berbahasa Malaysia di Semenanjung akan mendapat Alkitab mereka? Cuba fikirkan nasib golongan-golongan Kristian berikut;

1. Orang-orang Asli yang beragama Kristian - mereka terdiri daripada pelbagai suku kaum dan tinggal di pelbagai negeri di Semenanjung, dan mereka sudah lama menggunakan Alkitab berbahasa Malaysia atau Indonesia, kerana itulah bahasa yang difahami mereka.

2. Bangsa Baba Nyonya yang beragama Kristian - mereka juga sudah lama menggunakan Alkitab berbahasa Malaysia/Indonesia. Sebenarnya mereka sudah lama menggunakan Alkitab bahasa Malaysia/Indonesia sebelum Merdeka lagi. 

3. Bangsa Cina dan India Kristian yang berpendidikan Bahasa Malaysia - saya mempunyai kawan-kawan dari bangsa Cina dan India yang lebih fasih berbahasa Malaysia daripada bahasa ibunda mereka. Sebabnya mereka telah bersekolah di sekolah kebangsaan berbahasa Malaysia dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah, dan kemudian ke kolej/universiti tempatan.  Sebagai produk dasar pendidikan negara yang mengutamakan Bahasa Kebangsaan, sekarang mereka pandai membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia, tetapi tidak tahu membaca dan menulis dalam bahasa ibunda mereka!

4. Orang-orang Kristian Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung - mereka juga memerlukan Alkitab berbahasa Malaysia/Indonesia. Sekiranya kedai buku Kristian atau kedai buku gereja di Semenanjung tidak dapat menjual Alkitab kerana dilarang pengimportannya, bagaimanakah orang-orang Sabah dan Sarawak boleh mendapatkan Alkitab mereka? Adakah mereka perlu menaiki kapal terbang kembali ke negeri mereka untuk membeli satu Alkitab dan kembali lagi ke Semenanjung? 

Dalam cadangan baru yang dikemukakan itu, juga disarankan bahawa sesiapa yang ingin membawa masuk terbitan seperti itu ke Semenanjung harus mendapatkan surat kebenaran untuk mengimport dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementrian Dalam Negeri.

Ini adalah satu hal yang menghairankan. Sejak bilakah kitab suci agama bukan Islam perlu mendapatkan kebenaran untuk diimport daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran?

Seperti dikatakan oleh Pengerusi CFM (Christian Federation of Malaysia), Rev. Dr. Eu Hong Seng, ini menafikan jaminan Perlembagaan Persekutuan terhadap kebebasan beragama dan hak menguruskan hal ehwal agama masing-masing. 

Oleh itu jelaslah cadangan garis panduan baru ini tidaklah sesuai dan tidak patut dilaksanakan kerana melanggar hak asasi dan keagamaan orang-orang Kristian di Malaysia amnya dan di Semenanjung khususnya.