Jumaat, 29 Mei 2015

Menteri Perlu Jelaskan Adakah Kabinet Sudah Tinggalkan Penyelesaian 10 Perkara


Tan Sri Joseph Kurup mestilah menjelaskan adakah dan mengapakah Kabinet meninggalkan Penyelesaian 10 Perkara:

Adalah mengejutkan untuk membaca laporan berita bahawa Putrajaya telah mencadangkan satu set garis panduan baru yang akan menyebabkan Alkitab bahasa Melayu dengan kalimah Allah dilarang diimport ke Semenanjung Malaysia.

Cadangan itu sama sekali tidak dapat diterima kerana pertamanya ianya bertentangan dengan prinsip Perlembagaan mengenai kebebasan beragama dan keduanya, ianya melanggar Penyelesaian 10 Perkara yang telah disahkan oleh Kabinet pada 2011.

Saya tidak dapat memahami bagaimana Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, dirinya seorang Kristian, boleh membentangkan garis panduan seperti ini kepada pemimpin-pemimpin Kristian di Sabah dan Sarawak pada bulan April dan juga kepada Christian Federation of Malaysia pada 18 Mei. 

Beliau seharusnya tahu bahawa masyarakat Kristian mengharapkan beliau selalu berada di barisan depan menentang sebarang cadangan, rancangan atau dasar Kerajaan yang tidak adil dan tidak dapat diterima, yang akan melanggar prinsip Perlembagaan mengenai kebebasan beragama. 

Beliau seharusnya menolak cadangan itu, daripada membentangkannya kepada pemimpin-pemimpin Kristian. Atau adakah cadangan itu datang dari dirinya sendiri?

Adakah beliau secara serius berfikir bahawa pemimpin-pemimpin Kristian akan menerima cadangan yang begitu tidak dapat diterima itu?

Jika beliau telah terlupa mengenai Penyelesaian 10 Perkara yang telah diisytiharkan pada 2011, biarlah saya lampirkan di sini enam perkara yang paling atas:

1. Alkitab dalam semua bahasa boleh diimport ke negara ini, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia.

2. Alkitab-alkitab ini boleh dicetak secara tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ini adalah perkembangan baru yang wajar diterima oleh kumpulan-kumpulan Kristian.

3. Alkitab dalam bahasa suku kaum tempatan di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang juga boleh dicetak secara tempatan dan dimport. 

4. Untuk Sabah dan Sarawak, memandangkan masyarakat Kristian yang besar di negeri-negeri itu, tiada syarat dikenakan atas pengimportan dan percetakan tempatan untuk Alkitab dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia dan bahasa-bahasa suku kaum tempatan. Tidak ada syarat dikenakan untuk meletakkan sebarang cop atau nombor bersiri. 

5. Dengan mengambil kira kepentingan masyarakat Islam yang berbilangan lebih besar, di Semenanjung Malaysia, Alkitab dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, samada diimport atau dicetak, perlu ada perkataan-perkataan "Penerbitan Kristian" dan lambang salib dicetak pada kulit muka depannya.

6. Dalam semangat 1Malaysia dan memandangkan ramai orang yang merantau di antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tidak akan dikenakan larangan atau sekatan untuk orang-orang yang membawa Alkitab mereka serta bahan-bahan Kristian dalam perjalanan seperti itu. 

Tan Sri Joseph Kurup mestilah menjelaskan adakah dan mengapakah Kabinet meninggalkan Penyelesaian 10 Perkara.


- Oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh.


(Diterjemah daripada catitan Facebook YB Teresa Kok pada 28 Mei 2015)