Selasa, 2 Jun 2015

Orang-Orang Kristian Sabah Menolak "Pencerobohan" Kementrian Atas Bahan-Bahan Penerbitan Agama


Orang-orang Kristian di Sabah merasa terganggu oleh apa yang dikatakan sebagai, "pencerobohan yang tidak peka dan pelik" oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementrian Dalam Negeri dalam hal ehwal agama mereka dengan adanya cadangan baru prosedur operasi standard (SOP) mengenai kemasukan Alkitab yang mengandungi kalimah Allah ke Semenanjung.

Dalam surat terbuka kepada menteri persekutuan dari Sabah, Tan Sri Joseph Kurup yang telah menunjukkan SOP yang dicadangkan itu kepada pemimpin-pemimpin Kristian Sabah dan Sarawak pada bulan April, Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Rev Datuk Jerry Dusing telah menggambarkan garis panduan yang dicadangkan itu sebagai langkah pentadbiran yang keterlampauan yang harus dibendung. 

Dia berkata ianya juga tidak dapat diterima jika dalam keadaan yang sama, umpamanya Al-Quran tertakluk kepada peraturan dari bahagian teks orang-orang Kristian. 

"Langkah ini tidak munasabah dalam dua cara. Mengapakah bahan-bahan penerbitan orang-orang Kristian tertakluk kepada peraturan dan proses di bawah selubung prosedur operasi standard (SOP) dan mengapakah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran menetapkan peraturan dan proses mengenai amalan Kristian? 

"Langkah ini hanya akan dianggap sebagai menceroboh dalam hak dan amalan keagamaan orang-orang Kristian," Dusing mengatakan dalam surat yang diterbitkan dalam penerbitan Kristian Herald.

Dia menambah bahawa ianya masih tidak masuk akal bagi orang-orang Kristian bagaimana - dengan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian yang ditulis dalam bahasa kebangsaan untuk merujuk kepada Tuhan akan membawa kekeliruan kepada mana-mana individu - memandangkan penerbitan-penerbitan itu adalah sangat jelas diterbitkan oleh dan untuk orang-orang Kristian. 

Dusing, dalam menolak SOP itu, berkata adalah tidak dapat diterima bahawa bahan-bahan penerbitan Kristian menjadi tertakluk kepada peraturan, seolah-olah ianya adalah barangan larangan atau berbahaya.

"Kami, dengan itu dengan tegas membantah, dan dengan ini memohon kepada kerajaan persekutuan menarik balik draf cadangan SOP itu.

"Sebenarnya kami berpandangan bahawa sebarang persepsi salah bahawa ada keperluan untuk usaha pengawalan adalah tanda kegagalan gerakan persekutuan untuk melaksanakan tanggungjawabnya secara moral dan perundangan untuk mempromosikan keharmonian dan kefahaman antara agama," tambahnya.  

Dia menyeru kepada Kurup, sebagai seorang Kristian dari Sabah agar menyampaikan pandangan masyarakat itu kepada kerajaan persekutuan dan menarik balik draf SOP tersebut.

Di bawah garis panduan baru yang dicadangkan oleh Putrajaya, Alkitab bahasa Melayu dengan kalimah Allah boleh dilarang di Semenanjung, dan jika dibawa masuk, hanya dibenarkan jika destinasi akhirnya ialah Sabah dan Sarawak.

Draf peraturan itu juga menyatakan bahawa Alkitab berbahasa Melayu, boleh dibawa masuk dari Sabah dan Sarawak tetapi hanya untuk kegunaan peribadi, kemungkinan satu pengiktirafan bahawa ramai Kristian Bumiputera dari dua negeri itu yang tinggal, bekerja atau belajar di Semenanjung.

Draf ini, jika dilaksanakan, akan bererti bahawa Alkitab tidak boleh diimport secara langsung ke Semenanjung dan hanya boleh dibawa oleh orang-orang Kristian dari Sarawak dan Sabah untuk kegunaan peribadi mereka.

Ianya mengesyorkan bahawa sesiapa yang membawa bahan-bahan penerbitan seperti itu ke Semenanjung mestilah mendapatkan surat keizinan untuk import dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran.

(Diterjemah daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Sabah Christians Reject Ministry's 'Intrusion' In Religious Materials"  bertarikh 30 Mei 2015)