Rabu, 3 Jun 2015

Baik Terima Penyelesaian Tak Sempurna Daripada Tiada Langsung, Kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau percaya ada penyelesaian kepada 
setiap masalah, walaupun jawapan itu tidak sempurna. Beliau berkata demikian semasa 
pelancaran organisasi Kristian baru Christians for Peace & Harmony Malaysia (CPHM)
di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 2 Jun, 2015.   

Penyelesaian hanya sebahagian pertikaian agama kadang-kadang lebih baik daripada tiada penyelesaian langsung dan lebih baik daripada mengambil tindakan undang-undang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam ini, pada majlis pelancaran sebuah organisasi Kristian baharu. 

Bercakap pada pelancaran Christians for Peace and Harmony Malaysia (CPHM) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Najib berkata beliau percaya ada penyelesaian kepada setiap masalah, walaupun jawapan itu tidak sempurna.

"Kadang-kadang, lebih baik menerima penyelesaian yang 70% daripada tidak mempunyai satu pun.

"Saya percaya kita tidak perlu mengambil jalan keluar dengan proses undang-undang. 

"Jika ada masalah, duduk dan bawa berbincang, makan besar seperti ini," katanya disambut gelak ketawa hadirin yang termasuk wakil dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan kumpulan hak Melayu Perkasa.

Najib berkata terdapat keperluan untuk membenarkan ruang demokratik dan wacana yang sihat di Malaysia, tetapi ia mesti dilakukan dalam batasan yang tertentu.

Ucapan Najib dibuat ketika baru-baru ini, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) berkata ia menolak cadangan prosedur operasi standard (SOP) baru berhubung pengimportan Bible versi Melayu, atau Al Kitab.

Di bawah draf peraturan Kementerian Dalam Negeri itu, Bible versi Melayu yang diimport, yang mengandungi perkataan "Allah", hanya boleh melalui Semenanjung Malaysia tetapi destinasi terakhirnya mesti di Sabah atau Sarawak.

Ia hanya boleh dibawa masuk ke Semenanjung dari Sabah dan Sarawak untuk kegunaan peribadi.

Pertikaian sama ada kalimah "Allah" boleh digunakan oleh orang bukan Islam juga menyaksikan tindakan undang-undang diambil Gereja Katolik dan Gereja Protestan SIB terhadap kerajaan.

Najib berkata, walaupun rakyat Malaysia secara amnya tenang dan damai, "suhunya" kadang-kadang boleh meningkat dengan sangat cepat.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kuat menganjurkan kesederhanaan, perdana menteri berkata, terdapat mereka yang menyalahgunakan agama untuk keuntungan peribadi yang sempit dan untuk tujuan politik.

Beliau berkata, mereka yang menyalahgunakan agama menjadi fanatik dan berkata, orang seperti inilah yang "kita mesti hadapi, tangani dan tolak habis-habisan".

Mengakui beliau sangat percaya kepada dialog, beliau melahirkan rasa gembira melihat anggota Abim dan Perkasa pada majlis makan malam itu.

"Kita mesti duduk bersama sesama kita dengan lebih kerap, kemudian barulah anda rasa selesa antara satu sama lain.

"Oleh itu, saya menyeru kepada anda penganut Kristian dan Islam, saya percaya Perkasa dan Abim juga di sini, dan saya harap Perkasa boleh perlahankan sikit rentak mereka," katanya disambut sorakan dan tepukan.

Beliau juga berkata, banyak masalah dibuat dan ditimbulkan sendiri oleh manusia, dan menggesa rakyat Malaysia percaya kepada peluang yang tidak terbatas dan masa depan yang dikongsi bersama di negara ini.

"Saya percaya kita boleh merangka takdir kita bersama-sama. Walaupun kita berbeza dari segi latar belakang agama, kepercayaan dan budaya, dan rupa kita tak sama, tetapi kita semua rakyat Malaysia.

"Tidak sepatutnya terjadi menggelar satu sama lain 'pendatang' sebagai contoh," katanya.

Najib juga memberi komitmen beliau ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

"Sebagai perdana menteri anda, saya komited menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

"Saya percaya dalam menyelesaikan masalah, saya tidak percaya dengan pergaduhan," katanya.

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin korporat Tan Sri Francis Yeoh yang menaja majlis makan malam tersebut.

Kristian membentuk kira-kira 9% daripada penduduk Malaysia, atau 2.6 juta orang. 

Dua pertiga daripada mereka adalah Bumiputera, terutamanya di Sabah dan Sarawak, di mana bahasa asal dan bahasa Melayu digunakan dalam amalan agama mereka.

Mereka turut menggunakan perkataan "Allah" bagi menggambarkan Tuhan mereka dalam upacara sembahyang dan kitab suci mereka.

Isu berhubung penggunaan kalimah "Allah" di Malaysia menarik perhatian antarabangsa, serta menjadi bahan ejekan, termasuk di kalangan mereka yang berpendapat "Allah" ialah nama generik bagi Tuhan dan terbuka untuk digunakan baik oleh orang Islam mahu pun bukan Islam.

CPHM berkata, ia tidak akan mengamalkan pendekatan "konfrontasi" dalam isu kebebasan beragama, walaupun ia bersetuju matlamat memelihara hak asasi bagi minoriti agama ialah satu amalan mulia. – 2 Jun, 2015.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Baik Terima Penyelesaian Tak Sempurna Daripada Tiada Langsung, Kata Najib" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 2 Jun 2015)