Isnin, 6 Julai 2015

Pelakon "Hercule Poirot" Selesai Rakam Bacaan Seluruh Alkitab

David Suchet semasa melakonkan watak "Hercule Poirot" dalam siri televisyen ITV

David Suchet telah menyelesaikan dua projek yang paling dekat di hatinya dua tahun lalu. Yang pertamanya dia telah selesai penggambaran sebagai "Hercule Poirot" dalam siri televisyen popular ITV yang telah berlangsung selama 25 tahun. Selepas 25 tahun sebagai "Hercule Poirot", detektif lagenda ciptaan pengarang Agatha Christie, Suchet dianggap pelakon yang paling menjiwakan watak itu dalam siri yang paling dekat jalan ceritanya dengan buku-buku karangan Christie. 

Yang keduanya, David Suchet telah selesai merakam pembacaan seluruh Alkitab dalam terjemahan NIV. Itu adalah projek impiannya selama 27 tahun sejak dia menjadi orang percaya setelah membaca Alkitab di sebuah hotel ketika berumur 40 tahun pada 1986. Suchet telah memberikan 200 jam masanya untuk membuat rakaman audio itu dengan suaranya yang merdu, dan telah mendermakan yuran yang diterimanya kepada kebajikan.


Alkitab audio dalam bentuk CD yang dibaca oleh David Suchet

Ianya merupakan versi penuh yang pertama keseluruhan Alkitab NIV dibacakan oleh seorang pelakon British. Alkitab audio itu telah dilancarkan dalam bentuk CD pada April 2014 dan dipasarkan dengan harga 39.99 paun British. 

Suchet yang sendiri telah mencadangkan projek itu, berkata imannya telah mendorongnya untuk melakukannya. Setelah menjadi Kristian, Suchet mula menyedari bahawa dia boleh menggunakan bakatnya untuk mengongsikan imannya yang baru. 

"Saya berfikir, 'Satu hal yang saya boleh lakukan, atau fikir saya boleh lakukan, ialah untuk membaca.' Dan saya telah merasakan selama bertahun-tahun bahawa saya boleh menggunakan suara saya untuk membaca Alkitab, bukan untuk bahagian-bahagian kecil sahaja, tetapi keseluruhannya.  

"Ianya akan, bagi saya, memenuhi apa yang saya kira ialah cita-cita selama 27 tahun," katanya mengenai pelancaran Alkitab audio itu.


Mengenai watak Hercule Poirot yang dilakonkan oleh David Sucret



Suchet juga telah memberitahu Christian Today mengenai pentingnya mendengar pembacaan Alkitab, "Apabila Alkitab dituliskan pada asalnya, jauh sebelum ianya digabungkan dalam bentuk buku, ianya telah ditulis untuk didengar, sebab tidak ada orang yang tahu membaca! Ianya dimaksudkan untuk didengar, dan apabila saya membaca dalam suara jelas untuk rakaman, kata-kata 'Dengarlah perkataan Tuhan' selalu datang ke fikiran saya. Jadi sekarang, apabila saya membaca Alkitab, saya akan membacanya dengan suara yang jelas, walaupun di rumah.

"Ianya pengalaman yang sukar dipercaya semasa rakaman dijalankan, sebab sambil saya merakam, saya memakai headphone, dan mendengar diri saya membaca pada waktu yang sama. Alkitab terdiri daripada koleksi sastera yang paling indah; ianya mempunyai cerita, puisi, lagu, drama dan nubuatan - ianya benar-benar koleksi buku-buku yang sungguh indah. Apabila anda memegang Alkitab, anda sedang memegang sebuah khazanah," katanya. 


Alkitab Audio NIV: Dibaca Oleh David Suchet


(Sumber: Artikel Metro dan Christian Today kedua-duanya bertarikh 21 April 2014)