Rabu, 19 Ogos 2015

Cinta Tidak Mengenal Agama Di Sabah

Reverend Father Abel Madisang menerima ucapan tahniah daripada ahli-ahli keluarga dan
 kawan-kawan selepas upaca pentahbisannya di Gereja Katolik Ranau pada 3 Mei 2015
(Foto yang di pos ke Facebook ini telah diambil oleh Bro Benn)

Imbas kembali - terjemahan artikel Rakyat Post penulisan Sandra Sokial beberapa bulan lepas:

KOTA KINABALU, 5 Mei 2015:

Pentahbisan untuk melayani Tuhan adalah satu penghormatan dan itulah yang dirasakan oleh Reverend Father Abel Madisang, terutamanya apabila dia dikelilingi oleh orang-orang tersayang.

Tetapi apa yang membuat peristiwa penuh kenangan ini lebih unik lagi, adalah hakikat bahawa kawan-kawan dan keluarga Abel telah mengetepikan seketika kepercayaan agama mereka untuk merayakan hari istimewanya.

Seorang bernama Japiril Suhaimin pada hari ini telah mengepos beberapa foto oleh Bro Ben di dinding Facebooknya, menceritakan mengenai kasih dan hormat yang menjadi ikatan kuat untuk menyatukan orang.

Gambar-gambar itu menunjukkan paderi yang baru ditahbis Reverend Father Abel Madisang, dari Kampung Marakau, Ranau bergambar dengan ahli-ahli keluarga Muslimnya.

Beberapa orang yang berpakaian hijab, kelihatan tersenyum, sama-sama berbangga akan acara itu.


Reverend Father Abel Madisang dikelilingi keluarga dan kawan-kawan selepas pentahbisannya

Japiril telah menulis di Facebooknya,  “Hanya di Sabah — Pentahbisan menjadi Paderi, Father Abel di gereja Roman Catholic Pekan Ranau hari ini 4 May 2015 turut dihadiri oleh Keluarga Muslim. Wanita berbaju putih bertudung bernama Annie Anne Gindalu, berkhawin dengan Amilin Baranting, saudara saya di Kundasang. Photo by Bro Benn.”

Ketika dihubungi oleh Rakyat Post, Japiril, seorang Muslim sejak lahir menceritakan bahawa senario seperti itu adalah perkara biasa di Sabah, dan menambah bahawa memiliki latar belakang agama yang berbeza, tidak pernah menjadi masalah bagi mereka.

"Isteri saya dulunya Kristian sebelum memeluk Islam, dan ahli-ahli keluarga ibu bapa saya kebanyakannya juga Kristian. Tapi kami semua hidup dalam harmoni.

"Saya akan pergi ke gereja untuk menghadiri perkahwinan dan upacara pengkebumian, dan sebahagian ahli-ahli keluarga saya yang beragama Kristian juga mengikuti akad nikah anak lelaki saya di masjid baru-baru ini,

"Dalam keluarga kami, kami tidak melihat kepada simbol-simbol agama. Ianya tidak membuat kami kurang Islamnya kerana melihat salib setiap hari.

"Sebenarnya saya percaya saya diberkati kerana tinggal dalam masyarakat berbilang budaya. Saya rasa kaya bukan dengan harta, tetapi dengan keamanan dan keharmornian.

"Adalah sedih sebahagian saudara-saudara saya di Semenanjung Malaysia tidak berkesempatan untuk menikmati kasih seperti ini untuk dan daripada orang yang mempunyai amalan kepercayaan yang berbeza daripada mereka.

"Sehinggalah mereka terasa terancam hanya dengan melihat salib. Percayalah saya, anda tidak akan bertukar agama dengan hanya melihat salib atau berkawan dengan orang-orang Kristian.

"Mereka pun manusia juga," katanya.

Posnya telah mendapat 2,684 "likes" dan telah dikongsikan oleh 420 orang.

Sebilangan orang juga telah berkongsi foto keluarga-keluarga dari pelbagai latar belakang agama, menikmati waktu mereka bersama-sama.

Seorang bernama Patrick Morton menulis, "Tuhan mahu kita hidup secara harmoni sebagai satu keluarga besar. Sabah menjadi teladan!"

(Diterjemah daripada artikel The Rakyat Post bertajuk "Love Knows No Religion In Sabah" penulisan Sandra Sokial bertarikh 5 Mei 2015)