Jumaat, 21 Ogos 2015

Kota Kediaman Maria Magdalena Telah Ditemui

Kota Magdala yang ditemui di tebing barat Laut Galilea

Ahli-ahli kaji purba telah menemukan apa yang kemungkinan adalah rumah ibadah di bahagian tengah Magdala, kota kediaman Maria Magdalena, saksi penyaliban dan kebangkitan Yesus Kristus.

CNN melaporkan bahawa Father Juan Solano telah membeli tanah di utara Israel untuk membina sebuah pusat retret Kristian enam tahun yang lalu. Mengikut undang-undang, dia dikehendaki melakukan penggalian ujian, dan dengan cepat menemukan sebuah rumah ibadah abad pertama di bawah tanah itu. 

"Ini adalah tapak suci, saya pasti tentang itu," Solano memberitahu para wartawan. 

Mengikut nas Alkitab, Yesus dikatakan telah berkhutbah di rumah-rumah ibadah di wilayah Galilea. Rumah ibadah yang telah digali baru-baru ini adalah satu-satunya yang wujud di tempat itu semasa hayat Yesus, jadi sangat mungkin Yesus juga telah berkhutbah di situ. 

"Maria tinggal di sini dan bertemu Yesus di sini dan dia terus mengikuti-Nya. Ya, itulah tempatnya," ahli kaji purba senior Israel, Arfan Najar, yang menyelia penggalian di Magdala memberitahu CNN News.

"Ini adalah rumah ibadah terdekat dengan Kapernaum di mana Yesus tinggal. Jadi kemungkinan Dia pernah ke sini berkali-kali," tambah Solano. 

Setakat ini ahli-ahli kaji purba telah menemukan lantai mozek, fresco (lukisan dinding), barang tembikar, dan syiling. Bagaimanapun penemuan yang terbesar adalah Batu Magdala, iaitu suatu mezbah atau bimah.


Batu Magdala dari rumah ibadah di tengah kota Magdala

Sambil menceritakan mengenai mezbah yang berukiran itu, "Ini adalah kali pertama menorah (kaki dian berlilin tujuh) yang diukir pada batu ditemui di luar Yerusalem."

Tambahan lagi, ahli-ahli kaji purba telah menemukan tempat mandi penyucian di kota itu dan sebuah periuk yang kemungkinan digunakan oleh untuk mencuci tangan sebelum warga kota memasuki rumah ibadah. Periuk itu melebihi 2,000 tahun, dan Yesus sendiri mungkin pernah mencuci tangan di situ.


Tempat mandi penyucian yang masih boleh digunakan telah ditemui di kota Magdala,
di bahagian bawah anak-anak tangga yang dapat dilihat di bahagian tengah gambar.

(Diterjemah daripada artikel Newmax bertajuk, "Possible Home Of Mary Magdalene Unearthed In Israel" penulisan Nick Sanchez bertarikh 18 Ogos 2015)