Jumaat, 21 Ogos 2015

Rancangan TV "Answered Prayers" Diberi Waktu Siaran Utama Selepas Ulasan Memberangsangkan

Roma Downey, penerbit rancangan TV "Answered Prayers"

Rancangan TV baru penerbit Kristian Roma Downey yang dinamakan "Answered Prayers" (Jawaban Doa) telah diberikan waktu siaran yang lebih bagus setelah ianya menerima ulasan memberangsangkan daripada para peminat dan pemimpin-pemimpin doa dari seluruh Amerika Syarikat. 

The Learning Channel membuat keputusan untuk menyiarkan rancangan TV yang berdasarkan iman itu pada 8 malam Ahad, dan Downey sungguh gembira dengan respons positif terhadap rancangan itu. 

"Kami merasa terharu dengan sokongan begitu ramai pemimpin doa nasional, dan bersyukur bahawa rancangan ini telah menginspirasikan ramai orang untuk berdoa lagi. Sekarang pada waktu 8 malam, ianya akan memberi lebih banyak keluarga kesempatan untuk menontonnya bersama-sama," dia menulis dalam satu emel kepada Gospel Herald.

Terdapat enam bahagian dalam siri "Answered Prayers", yang diterbitkan oleh LightWorkers Media. Ianya memaparkan kisah benar orang-orang yang telah diberkati oleh Tuhan selepas mereka berseru kepada-Nya dalam doa. Downey menceritakan kisah mereka dalam rancangan ini dengan mengadakan temuramah, menunjukkan video sebenar kejadian itu, ataupun menyediakan lakonan semula yang dramatik.


"Answered Prayers" ditayangkan oleh The Learning Channel

Episod minggu lepas menceritakan pengalaman menakutkan seorang guru yang memandu keretanya melalui sebuah jambatan yang sedang runtuh, dan kisah inspirasi seorang wanita Chicago yang telah dapat bertemu dengan cinta sejati dalam hidupnya. Pada minggu ini, episod rancangannya akan menumpukan kepada kisah yang sukar dipercaya mengenai seorang pelajar kolej yang terlibat dalam kemalangan lompat tinggi bergalah, dan juga kisah mengenai seorang pastor yang masih hidup walaupun selepas ditikam 37 kali oleh seorang penyerang.

Sebelum ini Downey memberitahu The Christian Post bahawa dia telah mengunjungi ke pelbagai gereja di Amerika untuk mengumpulkan kisah-kisah yang menginspirasikan itu yang mereka kini gunakan dalam rancangan TV itu. "Kita mungkin boleh lakukan penyiaran untuk 20 tahun dengan kisah-kisah menakjubkan yang kita ada," katanya. "Suatu kebetulan itu adalah cara Tuhan menolong kita tanpa menunjukkan Diri-Nya. 'Answered Prayers' adalah peringatan mengenai kuasa doa. Ianya mengingatkan kita bahawa kita tidak bersendirian. Tuhan mendengarkan kita."

Oleh kerana isi kandungannya, "Answered Prayers" telah menerima sokongan kuat daripada pergerakan-pergerakan doa kebangsaan seperti US Prayer Centre, Promise Keepers, One Million Praying, Prayer Force One, Generals of Intercession, Florida Prayer Network, Congressional Prayer Caucus, Pray California, National Prayer Committee, Hollywood Prayer Network, Pray America, International House of Prayer, dan National Day of Prayer.

(Diterjemahkan daripada artikel Christian Today bertajuk, "Roma Downey's 'Answered Prayers' Gets Better Time Slot AfterDrawing Rave Reviews" penulisan Czarina Ong bertarikh 8 Ogos 2015)