Jumaat, 2 Oktober 2015

5 Bahasa Cinta - Rahsia Untuk Cinta Yang Berkekalan



Oleh Gary Chapman:

Selepas 30 tahun sebagai kaunselor pernikahan, saya yakin bahawa ada lima bahasa cinta yang asas - lima cara untuk mengekspresikan kasih secara emosi. Setiap orang memiliki satu bahasa cinta utama yang perlu kita pelajari untuk ungkapkan jika kita ingin orang itu merasa dikasihi.


Kata-Kata Penguatan




Pada suatu ketika sewaktu saya dan isteri saya sedang mengunjungi anak perempuan kami dan suaminya dan dua cucu kami, menantu kami mengangkat sampah keluar selepas makan malam. Ketika dia memasuki semula bilik di mana kami sedang berbual-bual dengan anak perempuan kami, anak kami menoleh ke atas dan mengatakan, "Terima kasih John kerana mengangkat sampah keluar." 

Di dalam hati, saya mengatakan "Ya!" sebab saya tahu kuasa mengucapkan penghargaan. Saya tidak dapat memberitahu anda berapa ramai laki-laki dan wanita yang pernah duduk di pejabat saya selama 30 tahun yang lepas dan mengatakan kepada saya, "Saya bekerja keras setiap hari, tetapi pasangan saya berkelakuan seolah-olah saya tidak pernah melakukan apa-apa. Saya tidak pernah mendapat satu pun ucapan penghargaan."

Jika bahasa cinta utama pasangan anda ialah kata-kata penguatan. ucapan pujian dan penghargaan anda akan jatuh ke tanah umpama hujan ke atas tanah yang kering. Tidak lama lagi anda akan melihat tunas hidup yang baru bertumbuh dalam pernikahan anda sambil pasangan anda respon kepada kata-kata cinta anda. 


Tindakan Membantu




Masihkah anda ingat ungkapan lama "Cakap Tak Serupa Bikin"? Untuk setengah-setengah orang, ini adalah benar mengenai cinta. Jika tindakan membantu adalah bahasa cinta utama pasangan anda, tidak ada apa pun yang akan berbicara dengan begitu berkesan kepadanya secara emosi daripada tindakan membantu yang ringkas. 

Maxine, yang telah berkahwin selama 15 tahun telah datang ke pejabat saya pada suatu hari kerana dia berasa kecewa mengenai perkahwinannya. Dengarlah apa yang dia katakan, "Saya tidak dapat memahami David. Setiap hari dia mengatakan bahawa dia mengasihi saya, tetapi dia tidak melakukan apa pun untuk membantu saya. Dia hanya duduk di kerusi panjang menonton TV sementara saya mencuci piring, dan dia tidak pernah terfikir untuk menolong saya. Saya sudah meluat mendengar ucapan, 'Aku cinta padamu,' Jika dia mencintai saya, dia akan melakukan sesuatu untuk membantu saya."

Bahasa cinta utama bagi Maxine adalah tindakan membantu (bukannya kata-kata penguatan), dan walaupun suaminya. David mengasihinya, David tidak pernah belajar untuk mengungkapkan kasihnya dengan cara yang akan membuat Maxine merasa dikasihi. Namun begitu, selepas saya dan David berbual-bual dan dia membaca The Five Love Languages, dia mula mengerti dan mula mengungkapkan bahasa cinta Maxine. Dalam masa kurang sebulan, tangki kasihnya mula dipenuhi, dan perkahwinan mereka beralih dari musim dingin ke musim bunga. 


Menerima Hadiah




Dalam setiap budaya sepanjang sejarah manusia, pemberian hadiah telah dianggap sebagai suatu pengungkapan cinta. Memberi hadiah adalah sesuatu yang sejagat sebab ada sesuatu dalam naluri manusia yang menyatakan bahawa jika anda mengasihi seseorang, anda akan memberi kepadanya.

Apa yang tidak difahami oleh ramai orang ialah bagi setengah-setengah orang, menerima hadiah adalah bahasa cinta utama mereka. Itulah hal yang membuat mereka rasa paling dikasihi. Jika anda bernikah dengan seorang yang bahasa cinta utamanya ialah pemberian hadiah, anda akan membuat pasangan anda merasa paling dikasihi dan dihargai dengan memberi hadiah semasa harijadi, hari-hari cuti, ulangtahun-ulangtahun dan hari-hari tidak "istimewa."

Hadiah-hadiah itu tidak semestinya mahal atau terlalu rumit; yang paling penting ialah keinginan untuk memberi. Sesuatu yang seringkas kad buatan sendiri ataupun beberapa kuntum bunga yang ceria akan menunjukkan kasih anda kepada pasangan anda. Perkara-perkara yang kecil membawa pengertian yang besar bagi orang-orang yang bahasa cinta utamanya ialah menerima hadiah.


Waktu Berkualiti




Jika bahasa cinta utama pasangan anda ialah waktu berkualiti, memberikannya perhatian tak berbelah bahagi adalah salah satu cara terbaik untuk anda menunjukkan cinta anda. Setengah-setengah lelaki berbangga bahawa mereka boleh menonton televisyen, membaca majalah, dan mendengar isteri mereka, semuanya pada waktu yang sama. Itu adalah satu kebolehan yang boleh dikagumi, tetapi ianya tidak mengungkapkan bahasa cinta waktu berkualiti. 

Sebaliknya, anda harus menutupi televisyen, menyimpan majalah itu, menatapi mata pasangan anda, dan mendengar dan berinteraksi. Bagi isteri anda, 20 minit perhatian dari anda yang tak berbelah bagi - mendengar dan berbual-bual - adalah umpama pengisian semula selama 20 minit tangki cintanya.

Para lelaki, jika anda ingin mengagumkan isteri anda, pada kesempatan akan datang apabila isteri anda memasuki bilik sewaktu anda sedang menonton rancangan sukan, padamkan suara televisyen anda, dan jangan berhenti memandang pasangan anda selagi dia berada di bilik itu. Jika dia memulakan perbualan, padam terus televisyen itu dan berikannya perhatian anda yang tak berbelah bahagi. Anda akan mendapat seribu markah dan tangki cintanya akan berkelimpahan. 


Sentuhan Fizikal




Kita sudah lama mengetahui mengenai kuasa emosi dari sentuhan fizikal. Itulah sebabnya kita menggendong bayi dan menyentuhnya dengan lembut. Lama sebelum seorang bayi dapat memahami erti perkataan cinta, dia telah merasa dikasihi melalui sentuhan fizikal.

Dalam perkahwinan, sentuhan kasih melibatkan segalanya dari meletakkan tangan anda pada bahu pasangan anda sambil anda sedang berlalu, menyentuh kakinya sewaktu anda sedang memandu, berpegangan tangan semasa anda berjalan bersama sampailah kepada berciuman, berpelukan dan hubungan  seks.

Jika sentuhan fizikal adalah bahasa cinta utama pasangan anda, tidak ada sesuatu yang dapat menunjukkan cinta dengan lebih jelas daripada anda mengambil inisiatif mendekati dan menyentuh pasangan anda. 


Apakah bahasa cinta utama pasangan anda? Ungkapkan cinta anda dengan bahasa cinta pasangan anda, dan anda akan melihat perbezaannya!

Gary Chapman telah menghuraikan 5 Bahasa Cinta ini dalam bukunya "The 5 Love Languages"
(semua grafik diambil daripada laman Parents in Education, MOE Singapore)


(Diterjemahkan daripada artikel Focus on the Family bertajuk "Understanding The Five Love Languages" penulisan Gary Chapman)