Jumaat, 9 Oktober 2015

Cop Mohor Kuno Abad Ke-10 Sebelum Masihi Ditemukan Oleh Projek Pencarian Temple Mount

Foto-foto cop mohor yang telah ditemukan oleh Projek Pencarian Temple Mount

Cop mohor batu yang kuno yang diberi tarikh abad ke-10 Sebelum Masihi telah ditemukan dalam tanah yang diambil daripada Temple Mount di Yerusalem, menurut satu siaran berita yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Projek Pencarian Temple Mount, yang pada waktu ini sedang menyelidiki tapak itu, Pengarah-pengarah Projek Pencarian Temple Mount, Dr. Gabriel Barkay dan Zachi Dvira meletakkan waktu cop mohor itu pada zaman Daud dan Salomo dalam Alkitab Ibrani.  

Ukiran pada cop mohor
Cop mohor itu adalah satu ketulan kecil batu kapur yang kemungkinan bertujuan untuk mengesahkan dokumen-dokumen. Foto-foto yang diterbitkan oleh Projek Pencarian Temple Mount menunjukkannya berbentuk kon, dengan permukaan cop yang bulat bersaiz hujung jari. Bentuk-bentuk yang terukir ke atasnya menunjukkan satu haiwan di atas haiwan yang lain, kemungkinan mangsanya. Cop itu ditebuk lubang, supaya benang dapat dimasukkan melaluinya dan digunakan untuk dikalung pada leher seseorang. 

Cop mohor itu dijumpai oleh seorang anak kecil berbangsa Rusia berumur 10 tahun, bernama Matvei Tcepliaev, yang sedang melawat Yerusalem dan secara sukarela bekerja di tapak itu. Projek Pencarian itu telah berjalan selama 11 tahun dan telah dibantu oleh 170,000 sukarelawan dari sekeliling dunia yang datang untuk memeriksa tanah dari Temple Mount. 

Sambil menerangkan kepentingan penemuan itu, Gabriel Barkay dan Zachi Dvira mengatakan, "Cop mohor itu adalah yang pertama mengikut jenisnya untuk ditemukan di Yerusalem... perletakan tarikh untuk cop itu seiring dengan zaman bersejarah orang-orang Yebus dan penaklukan Yerusalem oleh Raja Daud, juga pembangunan Bait Allah dan pelataran di raja oleh anaknya, Raja Salomo."


Matvei Tcepliaev yang berusia 10 tahun
menunjukkan cop mohor yang ditemuinya
"Yang membuatkan penemuan ini lebih penting ialah ianya berasal dari Temple Mount sendiri," tambah pengarah-pengarah itu. 

Menurut ahli-ahli kaji purba itu, cop-cop mohor yang serupa yang lain telah dijumpai di Israel, di tapak-tapak seperti Tel Beth Shemesh, Tel Gezer dan Tel Rehov, dan telah diberi tarikh abad ke-11 dan ke-10 Sebelum Masihi, dan juga penemuan-penemuan lain dari Temple Mount dan tapak-tapak lain di Yerusalem memberi petunjuk bahawa penceritaan dalam Alkitab mengenai Yerusalem pada waktu itu, "mungkin benar secara fakta." 


(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Biblical Archaeology bertajuk, "Twentieh-Century B.C. Stone Seal Discovered By The Temple Mount Sifting Project" penulisan Henry Curtis Pelgrift bertajuk 10 Ogos 2015)