Selasa, 21 Jun 2016

"Injil Isteri Yesus" Kemungkinan Adalah Palsu, Begitu Pengakuan Sarjana Yang Telah Menemukannya


Secebis papirus dengan tulisan Koptik kuno yang merujuk kepada “isteri” Yesus adalah hampir pasti palsu, begitu pengakuan professor Harvard yang telah menemukannya.

“Injil Isteri Yesus” telah dikemukakan kepada umum pada 2012 oleh Dr. Karen King, dan sejak itu dia telah membela kesahihannya terhadap dakwaan bahawa ianya adalah palsu.

Walau bagaimanapun, pada 16 Jun, King telah berkata: “Ianya menjurus ke arah kepalsuan”.

Pengakuannya adalah berikutan suatu siasatan yang diterbitkan oleh The Atlantic ke atas pemilik cebisan itu, Walter Fritz.

“Kelihatannya kini bahawa semua bahan yang Fritz telah berikan kepada saya mengenai asal-usul papirus itu… adalah palsu,” King memberitahu Boston Globe.

Dia berkata bahawa kesimpulan yang “mutlak” bahawa papirus itu adalah palsu tidak dapat dibuat sehingga bukti saintifik menunjukkannya, tetapi mengakui kepada The Atlantic bahawa bukti-bukti masa kini “menjurus ke arah kepalsuan”.

Fritz telah menafikan bahawa dia membuat dokumen palsu itu.

Cebisan yang sebesar kad perniagaan itu mengandungi ayat yang menyatakan: “Yesus berkata kepada mereka, ‘Isteri saya…’” dan “dia boleh menjadi muridku”.

Ianya juga mempunyai rujukan mengenai “Maria”, yang telah ditafsir sebagai merujuk kepada Maria Magdalena.

Ujian-ujian carbon-dating mengusulkan bahawa papirus itu bertarikh sekitar 741 Tahun Masihi, dan dakwatnya mungkin juga dari zaman kuno.

Bagaimanapun, ramai sarjana telah mempersoalkan kesahihannya sepanjang empat tahun yang lepas.

Jurnal Kajian Perjanjian Baru dari Universiti Cambridge pada tahun lepas telah mengkhususkan satu edisi kepada kontroversi itu, dengan sumbangan artikel daripada sarjana-sarjana penting yang memberi kritikan yang menjejaskan terhadap serpihan itu.

Salah seorang daripada mereka, Dr. Christian Askeland, telah mendapati semasa kajian intensif ke atas teks itu bahawa ianya telah ditulis dengan dakwat yang sama, alat penulisan yang sama dan menunjukkan tulisan tangan yang sama dengan sekeping serpihan Injil Yohanes, yang ditulis dalam suku bahasa Koptik Lycopolitan – yang mana telah disalin hampir bulat-bulat daripada sebuah buku bertarikh 1924 mengenai Injil Yohanes bahasa Lycopolitan yang telah ditemui dalam sebuah pasu di Qau el-Kebir pada tahun sebelumnya. Askeland mengatakan bahawa oleh kerana kedua-duanya telah ditulis oleh orang yang sama dan kerana satu daripadanya ternyata palsu, maka yang satu lagi juga adalah palsu.  

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "'Gospel of Jesus' Wife' Was Probably Forged, Academic Who Discovered It Concedes" yang ditulis oleh Carey Lodge bertarikh 20 Jun 2016)