Marcus, abang Christina Grimmie menyampaikan ucapannya dalam kebaktian peringatan. |
MEDFORD - Satu kebaktian peringatan yang sangat mendorong untuk penyanyi Christina Grimmie yang terkorban telah bermula dan berakhir dengan muzik istimewa, tetapi tidak ada penyanyi jemputan yang menyampaikannya.
Mereka yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada bintang pop yang semakin meningkat itu telah disambut oleh suara yang dikenali dari Christina sendiri sambil dia bernyanyi dan bermain keyboard dipaparkan di dua skrin video di bahagian atas pentas sebuah gereja South Jersey di mana dia sering beribadah.
Lagu-lagu itu berkenaan cinta dan keselamatan Kristian - dua tema yang sama dengan kebaktian itu di mana kawan-kawan, keluarga dan peminat-peminat lain mendengar daripada mereka yang paling rapat dengan Christina mengisahkan kenangan akan penyanyi itu serta iman dan kasihnya untuk Yesus di atas segala sesuatu.
Ribuan peminat dan kawan-kawan menyampaikan salam tangisan terakhir pada hari Jumaat kepada Christina, seorang bintang pop yang kian meningkat dari South Jersey yang telah ditembak oleh seorang yang asing kepadanya seminggu lalu semasa dia menandatangan autograf selepas konsert di Orlando, Fla.
Para peminat dan kawan-kawan datang memberikan penghormatan terakhir mereka |
Orang ramai yang berkabung telah datang secara berterusan sepanjang hari dalam masa lima jam yang diperuntukkan untuk kunjungan awam sebelum kebaktian peringatan yang beremosi dan menginspirasikan di Fellowship Alliance Chapel di Medford.
Christina yang telah dibesarkan di Evesham dan menghadiri Cherokee High School, telah meninggalkan Burlington County pada 2012 dan berpindah ke California selatan untuk mempercepatkan kemajuan karir muziknya. Tetapi dia masih mengingati Marlton sebagai kampung halamannya meskipun karir muzik yang semakin marak termasuk menjadi terkenal di rancangan NBC "The Voice."
Suara Christina yang disayangi itulah yang telah memulakan kebaktian peringatan itu: satu rakaman dirinya menyampaikan "In Christ Alone," iaitu salah satu lagu yang paling digemari Christina menurut kata Pastor Senior Marty Berglund.
Ayah dan emak Christina |
Emaknya yang sedang bergelut dengan penyakit kanser, berkata bahawa dia tidak meradang mengenai tragedi itu tetapi mengakui bahawa dia tidak kuat. "Saya nak beritahu bahawa saya tidak kuat... dan menyatakan sandaran saya ialah pada Yesus Kristus."
Berglund ada jawapan untuk soalan kenapa: Tuhan mengizinkan manusia membuat pilihan. Ada yang membuat "pilihan yang teruk," katanya, merujuk kepada penembak itu, tetapi Christina memilih Kristus dan kini memiliki hidup yang kekal.
Ayah Christina, Bud, berkata, "Ada satu lubang yang sangat besar di hati saya yang tak pernah akan hilang, tetapi Tuhan lebih besar daripada lubang itu."
Dia berkata bahawa dia tahu dia akan bertemu dengannya lagi di syurga. "Dia dalam keadaan lebih baik sekarang. Dia tidak akan dilukakan lagi... (dan) rancangan Tuhan lebih baik daripada rancangan saya.
"Saya tidak dapat merancangkan makan malam pun," dia berkata berseloroh. Isterinya mencelah, "Saya tahu kau tak dapat!" dalam salah satu ketika yang lebih melucukan yang menyebabkan para hadirin tertawa semasa kebaktian hampir 90 minit itu.
Abang Christina, Marcus, yang telah menyaksikan pembunuhan itu, cuma ada beberapa kata pada kebaktian Jumaat itu.
"Ketika penembak itu datang, tangan Christina terbuka kepadanya," katanya. "Tangannya sentiasa terbuka setiap masa. Yang saya ingin katakan ialah syukur pada Tuhan atas kesan yang ditinggalkannya ke atas dunia. Ianya menjadi lebih dan lebih jelas kepada saya sekarang berbanding sebelumnya."
Video: Kebaktian Peringatan Untuk Christina Grimmie
Polis Orlando telah mengenalpasti pembunuhnya sebagai Kevin James Loibi, 27 tahun, dari St. Petersburg, Fla. yang berbaris dalam barisan yang menunggu tandatangan Christina selepas pertunjukan malam itu. Polis belum menjelaskan sebab untuk penembakan itu, tetapi polis mengatakan bahawa Loibi kemungkinannya seorang peminat yang gila.
Serta-merta selepas menembak Christina beberapa kali, Loibi telah direbahkan oleh abang Christina, Marcus, 23 tahun, yang menemaninya semasa jelajah; dalam pergelutan itu penembak itu menembak dan membunuh dirinya. Polis berkata bahawa Marcus kemungkinan sekali telah menyelamatkan nyawa-nyawa lain dengan tindakan beraninya.
Loibi telah membawa dua handgun, dua kelongsong peluru yang diisi penuh dan sebilah pisau pemburu bersamanya ke dalam bangunan itu. Dia tidak mempunyai rekod jenayah, tetapi dia juga tidak mempunyai permit untuk membeli senjata api.
Jurucakap Jabatan Polis Orlando, Sarjan Wanda Miglio berkata minggu ini dia tidak ada maklumat baru untuk diumumkan mengenai penyiasatan itu. Laporan bedah siasat belum lagi dikemukakan kepada umum.
Christina telah menjadi sensasi di YouTube semasa remaja dengan menyanyi versi sendiri lagu-lagu daripada artis-artis lain, dan kemudian lebih disanjung lagi selepas mendapat tempat ketiga dalam "The Voice" musim 2014 dengan penyanyi utama Maroon 5, Adam Levine sebagai jurulatihnya. Sejak masa itu dia telah mendapat hampir 3.5 juta orang yang mendaftar sebagai pengikut YouTubenya.
(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Courier-Post bertajuk, "Christina Grimmie's Life Celebrated At Memorial Service" yang ditulis oleh Carol Comegno dan Kyle Sullender bertarikh 19 Jun 2016)