Isnin, 25 Julai 2016

Tahukah Anda... Asal-Usul Simbol Ikan Dalam Kristian?


Kata Yunani untuk ikan ialah "ichthys." Seawal abad yang pertama, umat Kristian menggunakan akrostik (huruf pangkal) dari kata ini: Iesous Christos Theou Yios Soter, iaitu, Yesus Kristus, Anak Allah, Juruselamat. Ikan itu juga mempunyai banyak pengertian lain secara teologi, kerana Kristus memberi makan 5,000 orang dengan 2 ikan dan 5 roti (satu hidangan yang diadakan secara simbolik dalam jamuan kasih Kristian) dan telah menggelar murid-murid-Nya, "penjala-penjala manusia." 

Baptisan air, yang diamalkan secara diselam dalam air oleh gereja awal, telah menghasilkan perbandingan di antara ikan dan orang-orang yang masuk Kristian. Ahli teologia abad kedua, Tertullian menyatakannya seperti ini: "kami, ikan-ikan kecil, mengikut imej Ichthys kami, Yesus Kristus, telah dilahirkan di dalam air."



"Ichthys" yang bererti ikan dalam bahasa Yunani terdiri daripada akrostik
(huruf pangkal) kata-kata Yunani yang bererti "Yesus Kristus, Anak Allah,
Juruselamat." Simbol ini sering digunakan oleh orang-orang Kristian pada
abad-abad pertama selepas Kristus untuk mengelak penganiayaan Rum.


Orang-orang Yunani, Rum, dan ramai lagi orang-orang pagan telah menggunakan simbol ikan sebelum orang-orang Kristian. Oleh itu ikan, tidak seperti contohnya, salib, kurang menarik rasa syak wasangka, menjadikannya simbol rahsia yang sempurna untuk orang-orang Kristian yang mengalami penganiayaan. Ketika menghadapi ancaman daripada orang-orang Rum pada abad-abad yang pertama selepas Kristus, orang-orang Kristian menggunakan simbol ikan untuk menandakan tempat-tempat pertemuan dan batu nesan, atau untuk membezakan antara kawan atau musuh.

Menurut satu cerita kuno, apabila seorang Kristian bertemu dengan seorang asing dalam perjalanan. orang Kristian itu akan melakarkan satu lengkok garis kasar ikan yang ringkas di atas tanah. Jika orang asing itu melukis lengkok yang satu lagi, kedua-dua mereka akan tahu bahawa mereka adalah seiman. Pada zaman kini, penggunaan ikan pada pelekat kereta dan pada kad perniagaan mencerminkan kembali amalan ini. 



Para pengkritik simbol ikan ini yang samada menyatakan bahawa ianya adalah perlambangan yang kurang bergaya atau menyatakan bahawa ikan itu masih ada saki-baki kaitan dengan waktu dulu bila orang-orang pagan menggunakannya untuk melambangkan kesuburan, atau lebih khususnya, organ persenyawaan wanita. Walau pun saya bersetuju bahawa simbol ichthys dalam iklan-iklan buku telefon kelihatan mengkomersialkan iman, saya mendapati hujah perihal pagan itu tidak menyakinkan. Tidak ada simbol yang mempunyai erti yang sama untuk semua orang untuk semua zaman. Hakikat bahawa orang-orang Kristian yang awal telah berjaya mentransformasikan satu simbol yang sudah dikenali membuktikan daya penafsiran kreatif mereka, bukannya kebodohan mereka mahupun kecenderungan mereka untuk mencampur-aduk kepercayaan agama. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Today bertajuk, "What Is The Origin Of The Christian Fish Symbol?" yang ditulis oleh Conrad / Elesha Coffman bertarikh 8 Ogos 2008)