Selasa, 30 April 2013

Kisah Di Sebalik Lagu "How Great Thou Art" (Ajaib Tuhan)

Gidong Linog menyanyikan lagu
"How Great Thou Art" versi Dusun
Sewaktu melayari Facebook minggu lepas, aku terjumpa video lagu "How Great Thou Art" versi Dusun yang dinyanyikan oleh Gidong Linog (gambar sebelah). Menarik dan menyayat hati!

Kebetulan pula aku sedang mencari maklumat mengenai lagu "How Great Thou Art" dan George Bev Shea yang telah mempopularkan lagu itu di Amerika Syarikat sejak 1957. Berikut bacalah kisah di sebalik lagu itu yang asalnya ditulis dalam Bahasa Sweden pada tahun 1885 oleh seorang pastor...


Tontonlah Video "How Great Thou Art" Versi Dusun - Gidong Linog


Asal Usul Lagu

Pada 1885, seorang pastor muda Swedish bernama Karl Gustaf Boberg sedang berjalan pulang dari gereja apabila dia terperangkap dalam hujan ribut yang kuat. Kemudiannya dia melihat ribut itu berlalu, mentari pun keluar lagi dan menyinari air laut, dan burung-burung pun bernyanyi di atas pohon.

Karl Gustaf Boberg telah
menulis rangkap asal
puisi yang kemudian
telah dijadikan lagu
"How Great Thou Art"
Pada malam itu, Boberg mendapat ilham untuk menulis puisi - menggambarkan kebesaran Tuhan di atas alam semesta dan keindahan alam yang telah diciptakan-Nya. Dia menamakan puisi itu "O Sture Gud" (Tuhan Yang Berkuasa) dan menghantarkan puisi itu ke akhbar tempatan yang menerbitkannya. Itulah kesudahannya... begitulah fikirnya.

Beberapa tahun kemudian Pastor Boberg sedang mengikuti suatu konferensi apabila dia mendengar sekumpulan orang menyanyikan sebuah lagu dengan melodi lama rakyat Sweden. Dia terkejut mendengar senikata lagu itu adalah dari puisinya! Lagu baru ini telah menjadi popular di seluruh Sweden, dan dengan cepat tersebar ke utara Eropah termasuk Estonia.

Dari Bahasa Ke Bahasa

Di Estonia, lagu itu telah diterjemahkan ke Bahasa Jerman oleh Manfred von Glehn, anak seorang bangsawan pada tahun 1907. Lagu itu menjadi popular di Jerman dan sering dikenali dengan nama "Wie gross bist Du."

Tidak lama kemudian, lagu versi Jerman itu pun sampai ke Rusia, di mana Ivan S. Prokhanov telah menterjemahkannya ke Bahasa Rusia pada tahun 1912 dengan judul "Velikiy Bog" (Tuhan Yang Agung). Lagu itu dengan cepat tersebar ke seluruh Rusia dan wilayah-wilayah Soviet Union.

Stuart Hine dan keluarga
Pada tahun 1927, mubaligh-mubaligh dari England ke Ukraine, Stuart Hine dan isterinya telah mendengar lagu versi Rusia itu semasa misi penginjilan di pergunungan Carparthia, berdekatan sempadan Poland. Mereka meminati lagu itu lalu mempelajarinya dan menggunakannya dalam Bahasa Rusia dalam rapat penginjilan yang mereka adakan.

Kemudiannya Hine telah menambah rangkap ketiga dan keempat kepada lagu itu. Hine juga telah menterjemah lagu itu ke dalam Bahasa Inggeris. Kisahnya, Hine telah mendapat ilham untuk rangkap ketiga setelah menyaksikan orang-orang Ukraine di sebuah kampung bersungguh-sungguh menerima Yesus setelah mendengar kisah kematian Yesus untuk dosa manusia.

Rangkap keempat telah ditulis oleh Hine bertahun kemudian setelah dia kembali ke England. Hine bertemu dengan seorang lelaki yang menjadi pelarian perang yang berlangsung di Eropah. Lelaki itu telah terpisah dengan isterinya di penghujung perang. Lelaki itu sedar bahawa dia mungkin tidak dapat bertemu lagi dengan isterinya tetapi melafazkan keyakinan bahwa mereka akan dipertemukan satu hari kelak di syurga kerana mereka berdua pun sudah menerima Yesus.




Lagu Sampai Ke Amerika Syarikat

Pada tahun 1925, lagu itu telah sampai ke Amerika apabila Covenant Community menerbitkan terjemahan yang dilakukan oleh Gustav Johnson dari Bahasa Sweden ke Bahasa Inggeris. Namun begitu lagu itu tidak tersebar luas, hanya dikenali dan digunakan oleh ahli-ahli Covenant Community.

Pada tahun 1954, semasa Billy Graham dan rombongannya berada di London untuk rapat penginjilan di Harringay, mereka telah diberikan risalah yang mengandungi lagu terjemahan Hine. Pada mulanya mereka tidak memberi perhatian kepada lagu itu. Kemudiannya, mereka telah bekerjasama erat dengan Hine untuk menyediakan lagu itu untuk acara-acara penginjilan mereka.

Lagu itu telah digunakan pertama kalinya dalam rapat penginjilan Billy Graham di Toronto pada tahun 1955, tetapi tidak mendapat perhatian ramai ketika itu, sehinggalah mereka membawa lagu itu ke Madison Square Garden, New York pada tahun 1957. Menurut Cliff Barrows, rakan pelayanan Billy Graham, lagu itu telah dinyanyikan 100 kali kerana permintaan dan sambutan kuat dari orang ramai semasa rapat penginjilan di New York yang telah berlangsung selama enam belas minggu.


George Beverly Shea menyanyikan "How Great Thou Art" (1969)



George Beverly Shea yang menjadi penyanyi utama lagu "How Great Thou Art" dalam rapat umum di New York dan juga rapat-rapat umum seterusnya sering dikenali dan dikaitkan sebagai orang yang telah mempopularkan lagu itu di Amerika Syarikat. (Beliau telah meninggal dunia baru-baru ini 16 April 2013 pada usia 104 tahun).  

Billy Graham mengatakan tentang lagu itu, "Sebabnya aku suka 'How Great Thou Art' ialah kerana ianya memuliakan Tuhan. Aku menggunakannya sekerap mungkin kerana ianya lagu yang sangat mempermuliakan Tuhan."

Kesimpulan

Dalam satu tinjauan yang telah dilakukan oleh majalah Today's Christian pada 2001 untuk lagu-lagu hymn paling popular sepanjang zaman, "How Great Thou Art" telah menduduki tempat kedua di belakang "Amazing Grace."

Begitulah kisah di sebalik lagu "How Great Thou Art" yang bermula sebagai sebuah puisi di Sweden yang telah menjadi lagu hymn popular di seluruh dunia dan dinyanyikan dalam pelbagai bahasa di merata dunia.


"How Great Thou Art" (Ajaib Tuhan) versi Indonesia oleh Voc Evan