Jumaat, 3 Mei 2013

Pertikaian Kalimah ‘Allah’ Kerana Undang-Undang Tak Munasabah, Kata Gereja Malaysia Timur


Rev. Datuk Bolly Lapok
KUALA LUMPUR, 3 Mei — Kontroversi isu kalimah “Allah” bukan tentang agama, tetapi kerana “polisi dan undang-undang kerajaan”, kata wakil gereja Sabah dan Sarawak hari ini menjelang pilihan raya pada Ahad ini.

Gereja bumiputera di Sabah dan Sarawak mengeluarkan kenyataan pastoral semalam menggesa penganut Kristian untuk bersuara terhadap ancaman membakar kitab suci mereka dan polisi kerajaan yang menghalang kumpulan minoriti itu daripada menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk Tuhan mereka.


“Dalam menghadapi perkara tidak munasabah, kita tidak boleh dan kekal berdiam diri,” kata Rev Datuk Bolly Lapok, Uskup Gereja Anglikan untuk Kuching dan Uskup Agung Gereja Anglikan bagi rantau Asia Tenggara, dalam kenyataan pastoral.

“Masa untuk kita bersuara sudah tiba... Kita perlukan komitmen yang teguh daripada pihak berkuasa supaya menghormati dan mengekalkan kebebasan bersuara yang dijanjikan dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang ulung negara. Kami percaya bukan Kristian, termasuk Muslim berkongsi kebimbangan ini,” tambah beliau.

Kenyataan keras daripada ACS itu hadir ketika negara akan menghadapi pilihan raya paling sengit dalam sejarah dua hari lagi, di mana sejumlah besar pengundi Sabah dan Sarawak adalah bumiputera yang membaca Alkitab, atau kitab Injil berbahasa Melayu.

Komuniti Kristian yang membentuk suku daripada populasi Sabah dan hampir separuh daripada populasi Sarawak beribadat di gereja menggunakan Bahasa Melayu dan membaca kitab Injil berbahasa Melayu.

Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mempertahankan tindakan kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pada 2009 ke atas keputusan membenarkan masyarakat Kristian untuk menggunakan perkataan kalimah “Allah”.

Tan Sri Bernard Dompok,
Presiden UPKO
Malah, Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok di mana partinya sebahagian daripada gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) juga menegaskan penganut Kristian tidak akan berhenti memanggil Tuhan mereka “Allah” walaupun mahkamah menghalang mereka melakukannya di negara majoriti Islam Malaysia.

Mahkamah Rayuan Malaysia telah menetapkan 30 Mei sebagai tarikh untuk satu lagi kes pengurusan terhadap kerajaan dan rayuan Kementerian Dalam Negeri mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, perkataan “Allah” boleh digunakan oleh akhbar mingguan Katolik, Herald.

Lapok hari ini berkata penganut Kristian hanya menuntut hak mereka dalam perlembagaan ditegakkan.

“Sesungguhnya jalan ke hadapan tidak lagi berada dalam status quo yang menjangkakan gereja bumiputera di Sabah dan Sarawak untuk berdiam diri,” kata beliau.

Kumpulan pendesak Melayu Perkasa pada Januari lalu mengancam untuk membakar Injil berbahasa Melayu.

Kempen Pilihan Raya 2013 sejak dua minggu lalu juga dipenuhi dengan papan tanda yang menggambarkan gereja sebagai merampas kalimah “Allah”, dan juga risalah-risalah yang memberi amaran kepada orang Melayu tentang penganut agama lain yang menggunakan kalimah “Allah”.

Lapok menegaskan orang asli di Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan “Allah” sejak generasi lamanya sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Orang asli menggunakan kalimah  “Allah” dalam semua aspek kehidupan dan amalan di dalam agama Kristian daripada pembaptisan kepada upacara akhir dan ini termasuk dalam perkhidmatan, doa, pujian, ibadat dan pendidikan agama,” katanya.

Pentadbiran Najib walau bagaimanapun mengemukakan formula 10 perkara bagi Malaysia Timur sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2011 untuk menyelesaikan sekatan penghantaran kitab Injil berbahasa Melayu yang digunakan terutamanya oleh orang Kristian Bumiputera.

Dalam resolusi 10 perkara berkenaan, Kabinet melalui menterinya, Datuk Seri Idris Jala menjamin populasi Kristian yang besar di Sabah dan Sarawak mereka bebas menggunakan dan memiliki kitab Injil dalam bahasa Melayu mahupun bahasa ibunda mereka.


(Dipetik daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Pertikaian kalimah 'Allah' kerana undang-undang tak munasabah, kata gereja Malaysia timur" bertarikh 3 Mei 2013 penulisan Boo Su-Lyn)