Selasa, 16 Ogos 2016

Lelaki Terpantas Dunia, Usain Bolt Mengucap Syukur

Usain Bolt sering berdoa sebelum perlumbaan dan mengucap syukur selepas kemenangannya

Pelari pecut Usain Bolt dikenali sering membuat tanda salib sebelum berlumba dalam pertandingan. Dia kini juga dikenali sebagai pelari pecut pertama yang memenangi tiga pingat emas berturut-turut dalam perlumbaan 100m Olimpik. Reaksinya secara umum telah dimuatkan di laman Facebooknya lewat Ahad. "Terima kasih untuk segala sokongan kawan-kawanku #diberkati"

Diberi nama samaran "Lightning Bolt", pelari pecut ini berasal dari kawasan luar bandar di pesisiran laut utara Jamaica, dan adalah seorang Katolik. Nama tengahnya St. Leo, telah diberikan kepadanya untuk memperingati salah satu Paus yang terawal Gereja Katolik.


Usain Bolt dengan gaya halilintarnya (lighning bolt) selepas memenangi emas 100m di Rio 2016

Bolt berpegang kuat pada imannya, dengan rujukan dalam Hollow Verse yang menggelarnya, "seorang Kristian yang mempercayai Alkitab, memuliakan Tuhan dan menyembah Yesus."

Di Twitter, Bolt menyatakan, "Dengan Tuhan apa pun mungkin... saya menghancurkan latihan hari ini #thankuGod4"

Imannya dan popularitinya telah menyebabkan Vatikan mengundangnya berucap dalam satu persidangan mengenai kebebasan keagamaan global melalui program popular TED (technology, entertainment and design).


Usain Bolt memenangi perlumbaan akhir 100m lelaki di Olimpik Rio 2016

Bagaimanapun, Bolt telah membuat permulaan yang perlahan dalam perlumbaan akhir di Rio pada Ahad, manakala pelari pecut Amerika, Justin Gatlin kelihatan menuju untuk meraih emas yang tidak dijangka. Tetapi Bolt kemudiannya memintas Gatlin dan sekali lagi sampai ke garis penamat jauh di hadapan pelumba-pelumba lain. "Saya seharusnya lebih baik," kata Bolt mengenai dirinya dan permulaannya, dalam satu temuramah dengan NBC. 

Gatlin mendapat perak, dan Andre de Grasse dari Kanada mendapat gangsa.

Bolt menyertai Olimpik Rio dengan penuh tanda tanya, setelah menarik diri daripada kelayakan Olimpik Jamaica lima minggu sebelum Kejohanan dengan gangguan dari kecederaan urat otot lutut, begitu dilaporkan oleh Yahoo. Dia tanpa ragu-ragu lagi adalah "Lelaki Terpantas Dunia," setelah tiga kali memecahkan rekod dunia 100 meter dan dua kali rekod 200 meter.


Usain Bolt berlutut dan berdoa sejurus selepas memenangi perlumbaan 100m lelaki
di Kejohanan Olimpik Rio 2016 (Foto dari cetakan skrin video Astro Arena)

Bolt akan berusia 30 tahun pada Ahad ini, 21 Ogos. Bila dia tidak berlumba, Bolt suka menari dan muzik, di samping bermain kriket dan bola keranjang. Dia juga memasarkan pakaian jenamanya sendiri yang diusahasama dengan Puma; jamnya sendiri yang dibuat oleh Hublot; restorannya sendiri, "Tracks & Records" di Kingston, Jamaica. 

Tambahan lagi, misi Yayasan Usain Bolt yang dimulakannya adalah untuk mencipta kesempatan melalui pendidikan dan kemajuan budaya untuk membawa perubahan positif dalam pemuda-pemudi. Pertubuhan itu didedikasikan untuk menjadi legasi kanak-kanak bahagia dan untuk memperkuatkan karakter kanak-kanak.





(Diterjemahkan dari artikel The Gospel Herald bertajuk, "Usain Bolt. The Fastest Man In The World And God Honoring Christian, Makes Olympic History" yang ditulis oleh Julie Brown Patton bertarikh 15 Ogos 2016)