Itu adalah pagi yang selepasnya. Orang-orang majus telah pun memulakan perjalanan pulang yang jauh. Para gembala telah kembali menjaga domba-domba di padang. Langit sunyi semula. Yusuf dan Maria, yang telah menerima amaran daripada malaikat, keluar dengan senyap dari kampung, untuk mencari perlindungan di Mesir, untuk melepaskan diri daripada keberangan Herodes yang teramat marah, ketika dia mendapat tahu bahawa orang-orang majus telah memperdayakannya.
Kadangkala, sambil kita merayakan Krismas, di tengah-tengah kegembiraan suasananya, lagu-lagu karolingnya, pemberian dan penerimaan hadiah-hadiah, sorakan ho-ho-ho oleh Santa, jamuan ayam belanda, atau apa pun makanan lazat yang kita lahap pada musim perayaan ini (semua rancangan diet ditangguhkan), minuman wain (yang tidak terlalu banyak), kita seketika waktu terlupa bahawa dunia masih dalam kehancuran, penuh dengan pertelingkahan, dengan jumlah yang ramai tertekan di bawah pemerintahan yang korup dan zalim dan sebagainya.
Pada malam sebelum Krismas pada 1914, semasa Perang Dunia Pertama, satu genjatan senjata yang ajaib berlaku apabila askar-askar Jerman dan tentera Bersekutu meletakkan senjata mereka, dan menyanyi "Malam Kudus" bersama-sama. Tetapi pada hari selepasnya, dengan sedihnya pembunuhan diteruskan lagi. Apabila peperangan berhenti akhirnya, anggaran 17 juta orang telah maut. dan 20 juta tercedera.
Ketika orang-orang majus dan para gembala tiba untuk menyembah Yesus, kita boleh diampuni jika kita terlupa sejenak Herodes yang pembunuh itu, dan menyanyi "Malam Kudus" bersama-sama. Saya masih ingat tetesan air mata kegembiraan di mata saya sambil kami menyanyi kepada pelanggan-pelanggan yang terkejut di kedai-kedai kopi yang biasa di kawasan kami. Sambutan baik mereka kepada gangguan yang tidak dirancang kepada makan malam biasa keluarga mereka sangatlah menyenangkan hati.
Tetapi kini adalah pagi yang selepasnya. Saya membaca dalam Injil Matius, keluarga Yusuf itu perlu melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka, mengingatkan saya akan imej-imej pelarian-pelarian hari ini yang mencari keselamatan daripada pembunuhan-pembunuhan yang tidak masuk akal dan pembunuhan kejam ke atas orang-orang yang tidak bersalah. Kawan-kawan, Krismas juga harus menjadi waktu kita berdiam sebentar dan berdoa untuk pelarian-pelarian di seluruh dunia - bukan sahaja saudara-saudara Kristian di Syria dan Iraq, tetapi juga kaum-kaum minoriti agama yang dianiayai semata-mata kerana mereka berbeza,
Penulis wahyu akhir zaman berpenglihatan jelas dan tidak sentimental apabila mengisahkan versi Krismasnya, "Dan naga itu berdiri di hadapan perempuan yang hendak melahirkan itu,
untuk menelan Anaknya, segera sesudah perempuan itu melahirkan-Nya" (Wahyu 12:4). Hari ini masih Krismas - tetapi marilah kita tidak lupa akan Herodes-Herodes yang masih ada di dunia.
Penulis Injil mengulas mengenai "pembunuhan anak-anak yang tidak bersalah" dengan mengingati ratapan Yeremia apabila Yehuda ditawan oleh orang-orang Babel di tengah-tengah kesakitan, penderitaan dan kematian:
Terdengarlah suara di Rama, tangis dan ratap yang amat sedih; Rahel menangisi anak-anaknya dan ia tidak mau dihibur, sebab mereka tidak ada lagi.
Marilah kita juga berdoa:
"Tuhan Allah, tidak ada orang yang asing bagi-Mu dan tidak ada seorangpun yang jauh daripada kasih-sayang-Mu. Dalam kemurahan-Mu, perhatikanlah para pelarian dan mangsa-mangsa peperangan, mereka yang terpisah daripada orang-orang kesayangan mereka, orang-orang muda yang terhilang, mereka yang telah meninggalkan kampung halaman atau yang telah melarikan diri dari kampung halaman. Bawalah mereka dengan selamat ke tempat yang mereka rindukan, dan tolong kami sentiasa menunjukkan kemurahan-Mu kepada orang-orang asing dan kepada semua yang memerlukan. Kabulkanlah ini melalui Kristus, Tuhan kami. Amen.
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel blog Generous Pentecostal bertajuk, "The Morning After..." bertarikh 26 Disember 2016)