Selasa, 14 Mac 2017

Suspek Dalam Kes Pastor Koh Akan Didakwa Peras Ugut

PETALING JAYA: Suspek berusia 30 tahun yang telah ditangkap berkenaan penculikan Pastor Raymond Koh Keng Joo (foto) dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari Rabu.

Berkenaan penangkapan itu, Ketua CID Selangor SAC Fadzil Amat berkata orang yang telah ditahan itu tidak terlibat dalam kes itu.

"Dia dijangka didakwa di bawah Seksyen 385 Akta Keseksaan untuk cubaan memeras ugut keluarga mangsa. Penyiasatan mendapati bahawa suspek itu tidak terlibat dalam penculikan itu," katanya, sambil menambah bahawa penyiasatan kes itu masih diteruskan. 

SAC Fadzil menggesa mereka yang memiliki maklumat untuk tampil ke hadapan untuk membantu siasatan.

Telah dilaporkan bahawa lelaki itu telah ditangkap sehari selepas menghubungi keluarga mangsa untuk wang tebusan untuk membebaskan pastor itu Rabu lepas. 

Koh telah diculik dari keretanya oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya pada 13 Februari. 

Satu rakaman CCTV, yang dipercayai mengandungi rakaman berkenaan penculikan itu, menunjukkan tiga kereta SUV hitam berhenti di tengah jalan. 

Tidak lama kemudian, dua daripada SUV itu telah dipandu pergi diikuti oleh kereta berwarna cerah yang dipercayai kereta Honda Accord milik Koh dan SUV yang satu lagi. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Star Online bertajuk, "Suspect In Pastor Koh's Case To Be Charged With Extortion" yang ditulis oleh Nadirah H. Rodzi bertarikh 14 Mac 2017)