Selasa, 6 Jun 2017

Nasrudin Ajak Umat Islam Bangkit Lawan Mubaligh Kristian

(Dari kiri: Ketua penerangan PAS Nasrudin Hassan dan peguam Syahredzan Johan)

PETALING JAYA: Sehari selepas menuduh sebuah gereja cuba membawa fahaman Zionis menerusi penganjuran program keagamaan, Nasrudin Hassan sekali lagi melancarkan serangan terhadap penganut Kristian, mengundang reaksi keras daripada seorang peguam yang berkata ketua penerangan PAS itu “tidak bertanggungjawab”.

Nasrudin dalam catatan Facebook hari ini menyerang kumpulan “evangelis Kristian” sebagai ancaman kepada umat Islam.

“Mereka agresif dan licik merencana gerakan menguasai politik negara. Melampau dan keterlaluan memusuhi Islam. Umat Islam bukan sahaja wajib pertahan aqidah malah wajib menentang anasir yang mengancam cara hidup Islam,” katanya.

Evangelis merujuk kepada mubaligh Kristian yang mengembangkan agama mereka.

Golongan itu bagaimanapun dibataskan undang-undang Malaysia daripada menyebarkan agama kepada umat Islam.

Kenyataan Nasrudin itu menerima teguran peguam Syahredzan Johan, yang mengingatkan ahli Parlimen Temerloh itu supaya jangan menuduh semua evangelis Kristian sebagaimana umat Islam terpaksa menanggung tuduhan berkait keganasan.

“Melalui kenyataan ini… (Nasrudin) telah pukul rata suatu komuniti penganut Kristian di Malaysia ini hanya kerana politik beliau. Jijik!

“Bila orang pukul rata semua Muslim sebagai pengganas, kau marah! Tetapi kau pukul rata macam ni, boleh pula?” kata Syahredzan dalam kiriman Twitter.

Tuduhan “ancaman Kristian” mula kedengaran baru-baru ini selepas seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Yusoff menuduh DAP membawa agenda Kristian.

Semalam, Nasrudin membangkitkan program Jerusalem Jubilee oleh sebuah gereja di Melaka, mendakwa ia merupakan agenda “Kristian Zionist” untuk bertapak di Malaysia.

Susulan bantahan beberapa pihak, penganjur membuat keputusan membatalkan program itu, sambil menafikan ia bagi menyambut ulang tahun kejayaan tentera Israel dalam Perang 6 Hari pada 1967.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Nasrudin Ajak Umat Islam Bangkit Lawan Mubaligh Kristian" bertarikh 6 Jun 2017)