Jumaat, 16 Jun 2017

Ribuan Orang Kristian Menghadiri Perhimpunan Di Sabah Meskipun Terdapat Usul Mengharamkan Evangelicalisme

"Kebaktian Penyembuhan Kebangunan Rohani Borneo" berjalan tanpa masalah
di Sandakan pada Rabu lalu (Foto The Malaysian Insight)

Kira-kira 20,000 orang Kristian telah menghadiri "Perhimpunan Peyembuhan Kebangunan Rohani Borneo" di Telupid, Sandakan dan Ranau, Sabah dalam seminggu lepas tanpa sebarang gangguan selepas perhimpunan-perhimpunan yang serupa telah diharamkan dan dibatalkan di Melaka dan Sarawak pada awal bulan ini.

Satu lagi perhimpunan Kristian telah dirancangkan pada minggu depan di Keningau sambil penganjur-penganjurnya mengatakan bahawa mereka mendapat sokongan pihak berkuasa negeri Sabah.

"Jika kami membatalkan acara-acara di sini, masyarakat Kristian akan kecewa kerana kami telah membuat perancangan selama setahun. Tambahan lagi tidak ada pengharaman di sini," seorang jurucakap penganjur memberitahu The Malaysian Insight.

Awal bulan ini, protes daripada kumpulan-kumpulan Melayu terhadap "Jubli Jerusalem" telah membawa kepada pengharamannya di Melaka, manakala pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak telah membatalkan acara Kristian di Miri meskipun telah mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin negeri.

Perhimpunan-perhimpunan di Telupid, Sandakan dan Ranau telah diadakan masing-masing mengikut urutan pada 9, 14 dan dan 15 Jun, manakala acara di Keningau akan diadakan pada 20 Jun.

The Malaysian Insight telah melawat ke Keningau semalam, sebuah bandar yang terletak dua jam perjalanan dari ibu negeri Kota Kinabalu, dan bertemu dengan Pastor Mic Azari dari Sidang Injil Borneo (SIB) Ria, Keningau, yang mengatakan bahawa acara Ahad ini dianjurkan oleh Majlis Gereja-Gereja Keningau.

Perhimpunan di Keningau digelar "Konsert Kebangunan Rohani Seluruh Sabah", yang merangkumi sesi pujian dan penyembahan, penyembuhan mukjizat dan ceramah oleh penginjil-penginjil undangan.

"Tidak ada publisiti mengenai acara itu. Jemputan dikongsikan secara peribadi di kalangan orang-orang Kristian, melalui kumpulan Interior Prayer Network (IPN) kami. 

"Kami perlu berhati-hati kerana mungkin ada orang lain di luar sana yang ingin mengganggu acara ini," kata Mic, sambil menambah bahawa mereka menyedari apa yang telah terjadi pada perhimpunan-perhimpunan yang dirancang di Melaka dan Sarawak.

Keningau mempunyai populasi seramai 200,000 penduduk, dengan lebih 60% terdiri daripada bukan Muslim. 

"Kami di Keningau masih berpegang teguh kepada jaminan Batu Sumpah Keningau yang menjaminkan kebebasan beragama," kata Mic, yang merujuk kepada tugu yang dibina untuk memperingati syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaya dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia. 

"Ini juga termaktub dalam Rukunegara. Islam adalah agama rasmi negara tetapi semua orang lain bebas untuk mengamalkan agama mereka," kata Mic, yang menambah bahawa pihak penganjur menjangka kehadiran yang besar pada Ahad ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd Amin telah menyarankan bahawa "gerakan berbahaya iaitu evangelicalisme" dikawal kerana ianya "mengancam keharmonian agama di Malaysia."

Azril menggesa kerajaan untuk menimbangkan agar memperkenalkan undang-undang anti-evangelicalisme untuk memastikan usaha-usaha kumpulan evangelical untuk mendominasi pergerakan Kristian tidak terjadi. 

Pada perhimpunan-perhimpunan sebelum ini di Telupid, Sandakan dan Ranau, seorang jurucakap jawatankuasa penganjur berkata hampir 20,000 orang Kristian telah menghadiri acara-acara itu.

Jurucakap itu berkata bahawa perhimpunan itu berjalan tanpa gangguan di Sandakan. Acara itu telah dirasmikan oleh ahli dewan undangan kawasan Kamunting, Charles O. Pang dari Parti Demokratik Liberal, sebuah parti komponen Barisan Nasional.

Jurucakap itu berkata pemimpin-pemimpin gereja telah berucap di perhimpunan itu, dan kemuncak acara itu adalah penyembuhan-penyembuhan mukjizat. 

(Dipetik dan diterjmeahkan daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Thousands of Christians Attend Sabah Rallies Despite Calls To Ban Evangelicalism" yang ditulis oleh Jason Santos dan Noel Achariam bertarikh 16 Jun 2017)